‘Jin Notti’ penuh ironi dan satira

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Fara Fauzana sebagai 'Notti' dalam filem 'Jin Notti'.-foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN
Fara Fauzana sebagai 'Notti' dalam filem 'Jin Notti'.-foto THE STAR oleh ABDUL RAHMAN SENIN

‘SEJAHAT-JAHAT manusia, lebih baik lagi jin’...itulah ‘ironi’ yang cuba dipaparkan dalam filem ‘Jin Notti’ yang akan ditayangkan di pawagam mulai Hari Raya Puasa nanti.

Di sebalik ironi yang cuba disampaikan, filem ini juga mampu membuatkan penonton berfikir sejenak tentang mesej sebenar yang terkandung dalam filem ini.

Semuanya bergantung kepada ‘nawaitu’ atau niat seseorang itu apabila melakukan sesuatu perkara.

Filem ini juga bukan sekadar memberikan hiburan menerusi ‘lawak antarabangsa’ yang dihidangkan malah mengajak penonton untuk sama-sama berfikir.

Walaupun pada sesetengah babak awal penulis sendiri berasa ‘mual’ dengan lawak-lawak ‘kotor’ yang dipaparkan tetapi apabila filem ini mula bergerak pantas, kita akan dapat menyaksikan adegan-adegan yang lebih menyindir secara halus yang cuba dihidangkan dalam bentuk ‘satira’.

Selain humor yang menggelikan hati penonton seperti salah satu babak di dalam bas mini dan Majlis Penghakiman Jin yang diketuai oleh Jin Samsu lakonan Bob Lokman, filem arahan Azhari Zain ini turut dilihat seperti menyindir pihak-pihak tertentu yang pernah menimbulkan beberapa isu kontroversi dalam negara.

Misalnya, ada sedikit dialog yang meminta Notti lakonan Fara Fauzana supaya membaca banyak akhbar jin yang menghebahkan kejahatan yang hendak disamakan dengan laman blog tertentu.

Tidak kurang juga dengan dialog yang lebih sinis yang hendak mengambarkan bagaimana ‘pemimpin tipu rakyat’.

Juga ditunjukkan watak Jin Tan yang digambarkan dengan simbol kepala yang pelik dan bunyi yang memualkan.

Bukan itu sahaja, dialog Jingam lakonan Acappan yang sentiasa berkata ‘correct.. correct..correct..correct’ juga berbunyi humor penuh sindiran yang boleh dikaitkan dengan satu siasatan Suruhanjaya Diraja tidak lama dahulu.

Walaupun begitu, lawak yang dihidangkan tidak mengeringkan gusi dan penonton juga mampu mendapat mesej berguna seperti jin yang mengajak manusia melakukan kebaikan.

Seperti kata Edry dan Yusry Abdul Halim mewakili pihak KRU Studios selaku penerbit ‘Jin Notti’, mereka sengaja menyampaikan mesej dalam bentuk tersirat dan ironi agar penonton akan lebih banyak berfikir dan menyerap mesej itu.

“Kita juga menggunakan jin untuk menyampaikan mesej dalam filem ini kerana ingin menunjukkan yang jin juga ada yang baik dan ada yang jahat.

Malah pemaparan Notti iaitu dari seorang jin bertukar kepada manusia ditunjukkan dalam keadaan yang ‘busuk’ sekali apabila secara sinisnya dia disalurkan dari dua dunia menerusi tempat pembuangan najis.

Notti merupakan seorang gadis baik, lembut dan jujur yang dikenakan hukuman yang sangat berat.

Sebagai hukuman, Notti dihantar turun ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang melakukan perkara-perkara yang jahat.

Notti memasuki tiga tubuh manusia yang mempunyai sifat yang berbeza iaitu Ruby (seorang gadis remaja ‘punk’ yang berasal dari keluarga yang berpecah belah, nakal dan liar), Y’vonne (seorang perempuan berbangsa Tiong Hua dan teman wanita kepada Taiko lakonan Adam Corrie, ahli kongsi gelap) dan Sharifah (seorang peguam sofistikated yang sering membela penjenayah).

Dari situ, kita boleh lihat bagaimana teknik Imejan Penjanaan Komputer (CGI) digunakan ketika Notti dipindahkan ke dunia manusia.

Tambah Yusry, banyak lagi penggunaan CGI yang dipaparkan dalam filem ini tanpa kita sedari.

“Yang paling ketara, CGI banyak digunakan ketika dalam mahkamah jin. Ikutkan, kalau kita tengok dalam filem arahan P. Ramlee pun sudah banyak menggunakan teknik CGI,” katanya lagi.

Secara keseluruhannya, cerita ini juga mungkin sedikit sebanyak memberikan kesedaran kepada orang ramai mengenai gejala rogol, gangsterism, punk dan mencuri.

Tidak lupa juga menyedarkan manusia yang suka bercakap bohong dan mengajar kita untuk mendekatkan diri kepada Allah agar dijauhkan dari hasutan syaitan dan jin.

Dari segi lakonan, penulis puji lakonan Fara, Mawi (Aziz), Cat Farish (Jinbara), Sazzy Falak Zulu), Aziz M. Osman (perogol bersiri) dan Betty Banafe (peguambela) yang mampu membuatkan penonton terhibur dengan karektor masing-masing.

Selain itu, ‘Jin Notti’ turut menampilkan Adibah Noor sebagai Sofea Jin, Hafidzuddin Fazli (Nesti), Sheila Mambo (Ibu Zulu), David Teo (Ketua Kongsi Gelap) dan Nabil Raja Lawak (penjual barang).

‘Jin Notti’ akan menjengah pawagam mulai Hari Raya pertama nanti.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan