Biskut 'Dayang Sayang Kamu' istimewa untuk peminat Dayang

Diterbitkan: Selasa, 8 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Dayang Nurfaizah menjual biskut 'Dayang Sayang Kamu' pada gerai jualan JuzJUMBO Suria FM di Kampung Baru baru-baru ini. -foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN
Dayang Nurfaizah menjual biskut 'Dayang Sayang Kamu' pada gerai jualan JuzJUMBO Suria FM di Kampung Baru baru-baru ini. -foto THE STAR oleh RAJA FAISAL HISHAN

SEDIKIT tanda ingat, banyak tanda ada...dan ganjaran amal jariah di bulan Ramadan berlipat ganda. Bagi mereka yang menghayati tujuan amalan di bulan mulia ini, peluang ini tidak mungkin akan dilepaskan begitu saja.

Dan tuntutan membuat kebajikan di bulan penuh berakah ini telah menggamit penyanyi genit berkulit hitam manis Dayang Nurfaizah Awang Dowty untuk turut serta di gerai SuriaFM.

Dayang sanggup meredah kesesakan jalan di Kampung Baru dan berpanas terik untuk melunaskan niat yang murni ini.

Dayang, yang tampil dengan kemeja-T dan seluar berwarna hitam, kelihatan santai ketika ditemui menjaja biskut 'Dayang Sayang Kamu' di gerai jualan JuzJUMBO Suria FM di Kampung Baru baru-baru ini.

Biskut yang dijaja dinamakan 'Dayang Sayang Kamu' mengambil sempena kejayaan album keempatnya yang juga berjudul "Dayang Sayang Kamu" pada 31 Oktober 2004.

Tiga jenis biskut iaitu perisa Almond Snow, Jam Tart dan Choc Chips, dijual dengan harga RM30 sekotak. Sebahagian hasil jualan biskut tersebut akan disalurkan kepada badan-badan kebajikan. Dan ini bukan kali pertama biskut-biskut ini dijual.

"Istimewanya biskut-biskut 'Dayang Sayang Kamu' ialah ia hanya dijual pada bulan Ramadan. Tahun-tahun sebelumnya, saya terima pesanan para peminat menerusi Facebook atau emel.

"Ini adalah kali pertama saya melakukan jualan langsung biskut-biskut tersebut di gerai SuriaFM hari ini," kata bekas peserta Top 4 One In A Million musim pertama pada tahun 2006/7.

Bagi Dayang, amalan berpuasa selama sebulan juga bertujuan menyedarkan kita agar sentiasa mengingati golongan yang kurang bernasib baik.

Kesedaran ini membuat penyanyi genre pop, R&B dan hip hop itu terpanggil untuk berbuka puasa bersama anak-anak yatim, orang-orang kurang upaya selain melakukan kerja-kerja amal.

"Baru minggu lepas, saya berbuka puasa dengan lebih 100 anak yatim piatu di Bangsar Seafood. Saya juga akan menghadiri beberapa rumah terbuka lagi sebelum pulang berhari raya di Kuching dalam beberapa hari ini," kata Dayang Nurfaizah yang berasal dari Kuching, Sarawak.

"Saya jarang dapat balik ke rumah. Setiap kali Raya, saya akan balik dua atau tiga hari sebelum Hari Raya. Kali ini saya balik dua minggu lebih awal untuk berjumpa dengan keluarga.

"Maklumlah setahun sekali saya dapat berjumpa sanak-saudara. Saya hanya ingin "lepak" bersama mereka pada masa itu," kata Dayang Nurfaizah yang telah mengambil cuti tahunan awal-awal lagi.

Mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya, Dayang Nurfaizah memberitahu dia telah habis merakamkan single 'Kutemu Cahaya' ciptaan Yassin baru-baru ini.

"Insya Allah... tahun depan boleh keluar album dan single itu adalah salah satu lagu album tersebut," kata Dayang Nurfaizah yang telah aktif menyanyi sejak 1996 lagi.

Dayang Nurfaizah menghasilkan album pertamanya berjudul 'Dayang Nurfaizah' pada Mei 1999. Kebanyakan lagu dalam album tersebut adalah bergenre pop dan R&B.

Single pertama album tersebut 'Hakikat Cinta' berjaya melonjakkan nama 'Dayang Nurfaizah' dalam industri muzik.

Sepanjang 10 tahun pembabitannya dalam industri muzik, Dayang selalu menantikan kedatangan Ramadhan.

Dan dia cukup senang melihat dirinya melakukan sesuatu ke arah kebaikan. Namun dalam soal bertudung, secara jujur Dayang mengaku dia belum bersedia.

Namun, tidak seperti sesetengah artis yang kelihatan bertudung litup hanya di bulan puasa, Dayang mempunyai pendiriannya tersendiri.

"Taklah bila Ramadan datang baru terpanggil untuk memakai tudung. Ia boleh datang pada bila-bila masa sahaja. Ini terpulang pada hati atau niat seseorang itu (untuk memakai tudung).

"Kalau sebab berfesyen, tak payahlah. Ini kerana apabila seseorang Muslim itu memakai tudung nanti dia bukan pakai sehari dua. Seseorang itu akan memakai tudung sampai bila-bila.

"Dayang susah nak cakap soal ini (dalam bab pakai tudung). Benda ini mungkin besok, lusa dan saya sendiri tak pasti lagi. Ini berhubung dengan bila seseorang itu menjawab panggilan Yang Esa. Bila saya dah bersedia, saya akan memakainya...," kata Dayang secara terus-terang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan