Serina semakin terasa tekanan uruskan majlis kahwin

Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Serina tidak mahu tekanan menjadi masalah padanya dalam menguruskan majlis perkahwinannya bersama tunangnya, Gavin Edward O'luanaigh atau Salahuddin Ghaffar pada 1 Januari 2010.
Serina tidak mahu tekanan menjadi masalah padanya dalam menguruskan majlis perkahwinannya bersama tunangnya, Gavin Edward O'luanaigh atau Salahuddin Ghaffar pada 1 Januari 2010.

BIARPUN tarikh perkahwinan anak gadis kepada selebriti chef terkenal, Chef Wan ini masih lagi panjang namun aktres Serina Redzuawan sendiri mengatakan dia sudah dapat merasakan tekanan yang dihadapinya dalam menguruskan majlis perkahwinannya.

Menurut Serina sendiri dia kadangkala agak tertekan dalam menguruskan majlis perkahwinannya sedangkan pada waktu yang sama dia terpaksa berhadapan dengan kesibukan jadual tugasnya yang padat.

"Dalam saya sibuk bekerja, saya juga kadangkala agak tertekan bila fikirkan urusan majlis perkahwinan untuk uruskan senarai tetamu dan berbagai lagi.

"Sekarang pun saya sibuk dengan 'shooting' dua drama polis, selalu balik shooting pukul 4-5 pagi sedangkan pada masa yang sama saya kena uruskan juga mengenai majlis perkahwinan saya.

"Biarpun keseluruhannya diuruskan oleh ayah saya, saya tidak boleh juga lepas tangan dan ayah saya ada juga marah saya kerana terlalu sibuk dengan kerja saya.

"Tapi saya nak buat macam mana, itu tugas saya, lainlah macam setengah pengantin yang tidak ada kerja yang sibuk seperti saya, boleh juga mereka tumpukan pada majlis perkahwinan mereka," kata Serina.

Namun Serina tidak mahu tekanan itu menganggunya dan dia lebih mengamalkan untuk bersikap ceria ketika di lokasi penggambaran dan melakukan aktiviti riadah.

"Cara saya tanggani tekanan ni saya buat-buat ceria bila berada di lokasi penggambaran, saya buat macam biasa dengan krew-krew semua.

"Saya juga cuba mengambil masa untuk melakukan aktiviti riadah seperti bermain badminton dan pergi ke gym.

"Tapi bulan-bulan puasa ni saya tidak terlalu buat senaman yang berat sangat... Saya bersenam untuk hilangkan tekanan dan pada masa yang sama ia membantu untuk buang lemak di badan saya," jelasnya yang ingin menguruskan badan.

Ditanya mengapa dia ingin menguruskan badan Serina mengatakan dia ingin kelihatan cantik pada hari persandingannya nanti dengan kelihatan kurus.

"Saya nak kurus mestilah sebab nak cantik... kalau gemuk nanti nampak tak cantik masa bersanding dan tak muat pula baju pengantin saya nanti.

"Tapi saya bukannya gemuk sangat, badan saya bentuk badan orang yang sporty, jadi nampak tegap.

"Saya cuma ingin turunkan berat badan saya hingga capai berat ideal saya sahaja. Berat ideal saya 55kg, sekarang berat saya 60kg, kalau saya dapat turunkan dalam 5-6kg dah kira bagus.

"Kalau tak dapat turun pun saya tak kisah... saya tetap happy. Saya dah pergi buat 'medical check-up' doktor pun kata saya tiada sebarang masalah penyakit," katanya.

Ditanya mengenai persiapan perkahwinannya Serina mengatakan segalanya berjalan lancar dengan bantuan ayahnya dan Serina mengatakan berkemungkinan akan dilangsungkan empat majlis dalam tiga hari.

"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan mungkin sebanyak empat majlis akan diadakan iaitu majlis berinai kecil, akad nikah, berinani besar dan bersanding.

"Pada 31 Disember akan diadakan majlis berinai kecil di Tarbus, Bukit Bintang. Manakala 1 Januari tu majlis akad nikah di Masjid Wilayah pada jam 5 petang.

"Pada sebelah malam pula mungkin akan diadakan majlis berinai besar untuk meraikan pengantin di Bora Asmara, Taman Tun dan 2 Januari akan diadakan majlis persandingan di Hotel Royal Chulan," ujar Serina.

Majlis perkahwinan Serina bersama tunangnya, Gavin Edward O'luanaigh atau Salahuddin Ghaffar pada 1 Januari 2010 nanti akan mendapat sentuhan daripada pereka fesyen Jovian Mandage yang akan mereka pakaian untuk majlis akad nikah.

Bagi pakaian pengantin untuk majlis bersanding, direka oleh pereka fesyen Radzuan Radziwill. Sementara pelamin bagi upacara nikah dan malam berinai disediakan oleh Lynda Rahim manakala pelamin untuk majlis persandingan pula diilhamkan oleh Datin Seri Farida Hashim.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan