Kelana Sentral akan jadi hub baru artis nasyid

Diterbitkan: Jumaat, 4 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Kelana Sentral merupakan pusat perniagaan baru yang lebih menumpukan kepada konsep-konsep Islam. - foto mStar Online
Kelana Sentral merupakan pusat perniagaan baru yang lebih menumpukan kepada konsep-konsep Islam. - foto mStar Online

RAMADAN datang dan pergi dengan berbagai peristiwa. Awal Ramadan tahun ini menyaksikan sebuah syarikat bumiputra yang berpusat di Kelana Jaya, Kumpulan Jejak, membuka pusat perniagaan Kelana Sentral dengan mengadakan promosi berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan bermula pada 22 Ogos hingga 18 September 2009.

Pengunjung dewasa akan dikenakan bayaran RM35 seorang manakala kanak-kanak dengan RM20 seorang.

Promosi berbuka puasa ini juga untuk memperkenalkan Kelana Sentral kepada masyarakat setempat dan sekitarnya yang mengandungi pusat perniagaan sederhana berbentuk 'upper market' yang berkonsepkan hub muslim setempat.

Sempena pembukaan pusat tersebut, ruang legar yang luas itu telah dijadikan ruang berbuka puasa yang dihiasi dengan suasana Arab dan Cina Muslim iaitu 'Laluan Sutera'.

Menariknya, penubuhan perniagaan ini turut mendapat sokongan dan penyertaan artis-artis nasyid seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Saujana dan In-Team.

Bagi ketua kumpulan dan vokalis Raihan, Che Amran, dia gembira dengan sambutan daripada orang ramai yang begitu menggalakkan.

"Ramai orang yang hadir ke Kelana Sentral dan sambutan yang diberikan bagus sekali kerana ia memberikan tarikan untuk pengunjung datang berbuka.

"Pada malam merdeka lalu, kami membuat aktiviti kemerdekaan sambil mengutip tabung untuk didermakan kepada Institut Jantung Negara (IJN), Persatuan Cina Muslim dan beberapa program kerakyatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Kumpulan Jejak, Haji Abu Backer Sideq, rancangan pihaknya adalah untuk menjadikan pusat perniagaan ini sebagai satu tempat makanan dan minuman berkonsepkan Arab dan Cina Muslim dari segi dekorasi dan masakannya.

"Kami merancang untuk jadikan tempat ini satu tempat makanan dan minuman berkonsepkan Arab dan Cina Muslim yang kekal.

"Dahulu Kelana Jaya terkenal dengan restoran Kelana Seafood, tapi restoran tersebut sudah tidak beroperasi sejak tahun lepas.

"Jadi kami merancang untuk menghidupkan semula suasana di Kelana Jaya dengan buat tempat makanan Arab dan Cina Muslim.

"Lagipun kat sini masih tiada lagi restoran makanan Arab dan sebenarnya pasaran makanan Arab adalah tinggi kerana ramai yang sukakan makanan Arab.

"Jadi kami ambil peluang kekosongan ini untuk mempromosikan Kelana Sentral ini," katanya yang ditemui pada majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dari Rumah Harapan Al-Khadeem di Kelana Sentral.

Bagi memastikan rancangan ini berkekalan, Abu Backer mengatakan pihaknya telah mengambil langkah bekerjasama dengan kumpulan nasyid terkemuka tanah air bagi membantu mempromosikan pusat perniagaan ini.

"Pengunjung buffet Ramadhan akan dihiburkan oleh kumpulan nasyid terkemuka tanahair seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, In-Team, Saujana dan ramai lagi sebagai rangka untuk mempromosikan pusat ini.

"Jadi, sambil pengunjung yang datang menikmati buffet Ramadhan di sini akan sentiasa dihiburkan oleh kumpulan-kumpulan nasyid ini.

"Tidaklah terlalu bosan ketika mereka menikmati juadah berbuka yang disediakan,"katanya.

Berkonsepkan motto 'Berbuka, Berhibur dan Bersolat Tarawikh bersama artis jemputan', pengunjung tidak perlu risau untuk membawa keluarga, rakan atau kakitangan untuk diraikan kerana dengan surau yang luas dan berimamkan artis nasyid tanahair atau Imam dari Arab Saudi, pengunjung dapat menyempurnakan urusan Ramadhan di Kelana Sentral.

Ditanya mengenai perancangan akan datang terhadap pusat perniagaan ini, Abu Backer mengatakan pihak mereka akan menjadikan pusat ini lebih dikenali dan menambah berbagai-bagai lagi program serta peluang perniagaan kepada peniaga tempatan.

"Perancangan mungkin kami akan sediakan tempat makan untuk keluarga sahaja di satu sudut. Selain itu kami akan beri peluang kepada peniaga tempatan untuk berniaga barangan Islam kerana ada banyak lot kedai di dalam bangunan ini.

"Kami juga ingin jadikan pusat ini sebuah hab muslim dimana hanya menjual barangan dan makanan Islam sahaja.

"Selain itu kami berhasrat untuk jadikan pusat ini sebagai pusat latihan nasyid, dimana anak-anak muda akan dicari untuk menyertai latihan ini dan mereka semua akan dilatih oleh kumpulan nasyid seperti Raihan, Rabbani dan ramai lagi untuk mencari pelapis kepada mereka.

"Mereka semua akan dilatih dari segi vokal dan ilmu muzik dimana mereka akan menjadi serba boleh dalam nyanyian dan bermain muzik," jelasnya.

Abu Backer turut memberitahu bahawa pihak mereka akan mengadakan sambutan Syawal dengan menawarkan harga dari RM 40 hingga RM 70 seorang.

Selain itu, Kumpulan Jejak juga sedang dalam usaha untuk menarik individu atau badan korporat yang ingin meraikan kakitangannya atau anak-anak yatim dengan menawarkan RM 10 ribu bagi jumlah seramai 250 orang.

"Kami ingin menarik pihak-pihak korporat yang ingin meraikan sesiapa sahaja untuk makan di sini di mana kami tawarkan harga hanya RM 10 ribu untuk 250 orang.

"Jika diikutkan logik, harga yang kami tawarkan itu adalah paling rendah dan berbaloi jika hendak dibandingkan di tempat lain," katanya.

Bagi tempahan berkumpulan, aturcara majlis berbuka, berhibur dan bersolat boleh disusun mengikut citarasa dan kesesuaian pengunjung.

Untuk maklumat lanjut dan membuat tempahan boleh menghubungi Syawal di talian 012-6503699 atau Pejabat Raihan di talian 03-6503699 (Azira).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan