Sheila Majid luaskan empayar Jerneh

Diterbitkan: Khamis, 3 September 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HASRATNYA untuk melihat Jerneh diterima ramai semakin menampakkan hasil. Bermula dengan jualan secara online sekitar Januari lalu, diva tersohor, Datuk Sheila Majid sudah mula mampu mengukir senyuman apabila melihat produk kecantikannya kini maju setapak lagi.

Berkat kesabaran dan kegigihannya bersama rakan kongsi, Jerneh kini sudah boleh didapati di kaunter Tanamera di dalam gedung jualan Parkson.

Walaupun setakat ini produk-produknya hanya boleh didapati di kaunter Tanamera Parkson Sunway Pyramid dan Parkson Kota Bharu, namun menurut penghibur berusia 44 tahun ini, dia melihat itu sebagai satu petanda positif terhadap produk Jerneh.

"Impian saya untuk menghasilkan produk sendiri sudah saya fikirkan sejak 10 tahun lalu. Ketika itu saya selalu menerima banyak produk percuma tetapi saya tidak tahu apa kandungan atau bahan-bahan dalam produk-produk tersebut.

"Tidak dinafikan, ramai wanita jarang ambil peduli tentang bahan-bahan yang digunakan dalam produk-produk kecantikan. Menerusi Jerneh, saya ingin mendidik wanita supaya menggunakan produk yang selamat.

"Apa yang menariknya, Jerneh juga adalah produk yang halal. Saya sendiri telah mencuba produk ini selama setahun setengah dan sejujurnya, saya amat berpuas hati.

"Dan saya juga rasa gembira kerana kini Jerneh dapat diletakkan di kaunter kecantikan di Parkson bersama produk-produk antarabangsa yang lain. Cuma saya berharap, satu hari nanti, Jerneh juga mampu mempunyai kaunter tersendiri dan sebaris dengan produk-produk kecantikan antarabangsa yang lain.

"Bagi saya, untuk merealisasikan impian itu, kami memerlukan sokongan ramai. Tapi adakalanya, saya lihat masyarakat kita lebih percaya dengan produk luar berbanding produk tempatan.

"Kuasa iklan itu cukup kuat untuk menarik perhatian mereka untuk memilih produk luar," kata Sheila panjang lebar.

Buat permulaan, Jerneh memfokus kepada dua bentuk produk iaitu anti-penuaan dan 'clarifying'. Menurut ibu kepada empat orang cahaya mata ini, setakat ini juga, respon yang diterima menerusi jualan secara online amat memberangsangkan.

Perkara itu turut diakui oleh rakan kongsinya, Mohamad Faisal Ahmad Fadzil yang juga pengusaha F.A Herbs Sdn Bhd.

"Sambutannya amat menggalakkan. Tapi kami memikirkan, produk kecantikan seperti ini selalunya pembeli ingin merasai dan menyentuh sendiri sebelum membeli. Jadi, agak sukar kalau kami hanya menghadkan kepada jualan secara internet saja.

"Alhamdulillah, kami rasa bangga kerana produk Jerneh adalah produk tempatan pertama dapat dipasarkan di kaunter kecantikan Parkson.

"Sudah tentu, kami juga mempunyai perancangan untuk memasarkan produk ini secara meluas lagi. Buat masa ini, Jerneh juga boleh didapati di semua rangkaian Tanamera," ujar Faisal yang menambah, Jerneh juga akan muncul dengan produk 'gel cleanser' tidak lama lagi.

Mengulas lanjut tentang Jerneh, kata Sheila, buat masa ini, dia tidak terfikir untuk mempromosi produknya di majalah.

Namun begitu, dia amat berharap Jerneh juga mampu lekat di fikiran masyarakat sebagai sebuah produk kecantikan tempatan.

"Ramai yang bertanya pada saya, kenapa saya letakkan nama 'Jerneh'. Bagi saya, kita sendiri kena bangga dengan budaya kita sendiri.

"Dan secara peribadi, saya berharap sangat orang akan terfikirkan Jerneh jika ditanya apa produk kecantikan keluaran tempatan," katanya yang menambah, harga produk keluaran Jerneh adalah berpatutan.

Segala maklumat tentang Jerneh boleh didapati dengan melayari www.jernehbysheilamajid.com

Sementara itu, ditanya tentang aktiviti seninya ketika ini, kata isteri kepada pemuzik Acis ini, seperti tahun-tahun sebelumnya, dia hanya berehat dan memberikan tumpuan kepada keluarga sepanjang bulan Ramadan.

Dan selepas Hari Raya nanti, dia akan menjayakan persembahan di Indonesia.

"Dari dulu lagi, saya memang tidak ambil sebarang 'job' sewaktu Ramadan. Tapi saya tetap jayakan program raya terbitan Astro Oasis yang telah dirakam awal.

"Insya-allah, selepas Hari Raya nanti, saya akan mengadakan 'private show' di Jakarta dan kemudiannya akan ke Bali untuk sebuah persembahan sempena dengan persidangan CEO," tutur penyanyi kecil molek ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan