Faizah: Tuntutan RM50,000 Roslin tak munasabah!

Diterbitkan: Selasa, 25 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Roslin Hashim ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini. -foto The Star oleh KEVIN TAN
Roslin Hashim ketika hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini. -foto The Star oleh KEVIN TAN

KUALA LUMPUR: Proses sulh (perbincangan) mengenai kes tuntutan ganti rugi perkahwinan lebih RM50,000 yang difailkan pemain badminton negara, Roslin Hashim terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamad tidak menemui sebarang jalan penyelesaian setelah Faizah tidak bersetuju dengan tuntutan yang difailkan.

Faizah yang ditemui setelah proses perbincangan tersebut selesai mengatakan tiada kata sepakat yang dapat dibuat pada hari ini dan dia merasakan tuntutan yang dilakukan Roslin adalah tidak munasabah dan dia perlu pertahankan haknya.

“Tuntutan yang dibuat Roslin meliputi wang hantaran dan perbelanjaan kahwin. Tuntutan itu (lebih RM50,000). Pada saya tak munasabah kerana jika diikutkan wang hantaran hanya bernilai RM15,000. Bagaimanapun, saya tetap kena pertahankan hak saya,” komen Faizah selepas proses sulh dilakukan di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, pagi tadi.

Bagi Faizah juga dia sudah dapat mengagak keputusan perbincangan hari ini akan berakhir dengan tiada kata sepakat dari kedua-dua belah pihak.

"Hari ini saya rasa biasa saja, sebab saya memang dah tahu memang tidak akan ada penyelesaian dan persetujuan bersama dalam perbincangan hari ini.

"Saya akan tunggu tarikh sebutan kes yang akan ditentukan mahkamah nanti dan saya yakin saya dapat pertahankan hak saya nanti bila kes ini sudah berjalan," katanya.

Roslin yang turut ditemui di luar mahkamah mengatakan pihaknya akan menunggu tarikh sebutan kes yang akan ditetapkan mahkamah nanti untuk meneruskan kes tuntutan ganti rugi yang telah difailkannya ini.

"Setelah perbincangan hari ini tiada jalan penyelesaian, saya hanya akan menunggu tarikh sebutan kes yang akan ditetapkan mahkamah nanti.

"Pihak dia (Faizah) pun tidak bersetuju dengan tuntutan yang saya buat jadi kes ini akan dibicarakan," jelas Roslin yang turut mengatakan proses perbincangan tersebut berjalan dengan baik.

Roslin bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada dia yakin untuk menang di dalam kes ini kerana jumlah tuntutan yang dilakukannya agak besar nilainya.

"Saya pun tak boleh nak komen banyak sebab kes ini belum lagi dibicarakan. Saya rasa elok kita tunggu sajalah bila kes ini dah berjalan nanti," katanya.

Tarikh sebutan kes bagi kedua-dua pasangan bekas suami isteri ini belum ditentukan lagi oleh pihak mahkamah namun akan diketahui dalam masa sebulan lagi.

Roslin memfailkan permohonan ganti rugi perkahwinan lebih RM50,000 terhadap Faizah pada 12 Ogos lalu dan dia menjelaskan tuntutan ganti rugi yang dibuatnya adalah meliputi seluruh wang hantaran dan perbelanjaan perkahwinannya bersama bekas isteri.

Roslin dan Faizah mula berkenalan sejak Hari Raya Haji pada tahun 2005 di rumah produser Raja Azmi.

Selepas ditunangkan pada 1 November tahun lalu, Faizah mula rapat dengan Roslin dan mula keluar berdua sebelum bernikah pada 30 Januari lalu.

Perkahwinan Roslin dan Faizah telah menimbulkan kontroversi apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya selepas 12 hari mereka bernikah dan menyatakan tiada persetubuhan berlaku antara mereka berdua sepanjang perkahwinan.

Berikutan itu, Faizah telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala Roslin juga berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah yang sama.

Roslin dan Faizah telah bercerai secara talak 'Bain Sughra' dengan satu talak pada 12 Mei lalu.

Talak 'Bain Sughra' adalah talak yang telah diucapkan oleh suami kurang daripada tiga kali tetapi pasangan tidak boleh rujuk semula melainkan dengan pernikahan yang baru walaupun isterinya di dalam edah.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan