Erma serap semangat 'Natrah'!

Diterbitkan: Sabtu, 22 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KISAH Natrah yang pernah mencetuskan tragedi berdarah di kalangan masyarakat di Singapura sekitar era 50an masih lagi berbekas di ingatan ramai.

Malah di kalangan generasi hari ini juga, ramai yang mengetahui kisah tragik yang telah membawa kepada rusuhan sehingga menyebabkan seramai 18 orang terbunuh dan lebih 200 orang cedera dalam pertempuran dengan tentera dan polis British.

Semua itu berlaku demi perjuangan mereka terhadap gadis Belanda bernama Natrah Maarof, atau nama sebenarnya Maria Hurberdina Bertha Hertogh.

Cerita Natrah yang menjadi rebutan antara ibu angkatnya dan keluarga kandungnya sehingga mencetuskan 'Rusuhan Natrah' setelah masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa gadis itu akan dimurtadkan nyata meninggalkan impak yang cukup besar.

Malah, 'kemenangan' yang diraih oleh British kerana berjaya dalam perebutan itu sebenarnya membuatkan masyarakat amat sedih dan simpati kerana impaknya adalah pada Natrah yang cukup menderita sepanjang hidupnya, sehinggalah dia meninggal dunia pada 8 Julai lalu di Huijbergen, Belanda, pada usia 72 tahun setelah menderita akibat penyakit leukemia.

Apa yang dilalui oleh Natrah setelah dia dibawa pulang ke Belanda dikatakan mengundang kesengsaraan pada gadis itu. Dan itulah yang ingin dikaji oleh sutradara tersohor, Erma Fatima yang diberi kepercayaan untuk mengarahkan teater Natrah, yang akan dipentaskan di Istana Budaya (IB) bermula 17 hingga 24 November depan.

Akui Erma, teater ini adalah antara karya yang paling berat pernah dilakukannya. Lebih merisaukannya ialah kerana kisah Natrah ini turut terselit dengan sensitiviti agama dan bangsa.

"Idea untuk pementasan ini datangnya daripada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, dan saya ditawarkan untuk mengarah teater ini.

"Secara peribadi, saya memang tertarik dengan kisah Natrah. Bagi saya, ini bukan sekadar sejarah, tetapi satu tanggungjawab yang amat besar buat saya. Di sebalik 'kehebatan' Natrah ini sebenarnya ada yang tersirat dan tersurat.

"Saya akui, elemen agama dan bangsa sebenarnya menjadikan kisah ini amat 'berat'. Dan perkara yang saya tengah pening sekarang ini ialah mesej yang bagaimana ingin saya sampaikan dalam teater ini

"Jika kita susuri cerita Natrah, ia sebenarnya memaparkan kekalahan masyarakat Islam. Itu membuatkan saya dalam dilema sama ada saya perlu mempamerkan kekalahan Islam di dalam teater ini atau sebaliknya.

"Atau meletakkan mesej tersirat adakah kita akan kehilangan lebih ramai lagi 'Natrah' tanpa kita sedari. Saya kena mengambilkira isu sensitiviti juga di sini supaya tidak menyentuh hati mana-mana pihak," kata Erma pada sidang media teater tersebut di IB, kelmarin.

Turut hadir ialah penasihat teater Natrah, Datin Fatini Yaacob, yang banyak menulis artikel dan mengkaji tentang Natrah sejak 20 tahun lalu.

Menurut pengarah itu lagi, buat masa ini, dia masih lagi meneliti kisah Natrah bersama Fatini sebelum memutuskan skop mana yang akan difokuskan di dalam teater ini.

"Saya tidak mahu teater ini dibuat seperti filem Jasmin pada tahun 1984, yang juga berkisarkan tentang Natrah. Saya ingin tampilkan kelainan.

"Jika kita lihat kisah Natrah ini, ia bukan hanya kekecewaan seorang gadis yang terpaksa berpisah dengan suami yang mana dia berkahwin ketika usia 13 tahun. Ia juga bukan setakat kisah seorang ibu angkat yang kehilangan anaknya. Tetapi ini juga tentang maruah agama Islam yang mana ketika itu kehilangan Natrah cukup dirasai oleh masyarakat Islam.

"Adakah perjuangan kita buat Natrah terhenti di sini saja kerana kita tidak tahu mungkin ada lagi ramai 'Natrah' di luar sana? Saya percaya, Datuk Seri mempunyai alasan tersendiri mengapa kisah ini ingin diangkat menjadi teater pada masa ini.

"Saya berharap bukan saya yang akan mencetuskan kontroversi dalam teater ini kerana kisah Natrah itu sendiri sememangnya pun sudah cukup kontroversi," tutur Erma.

Kata Erma, banyak perkara yang perlu diperhalusi dengan baik memandangkan teater ini dibiayai oleh kerajaan.

"Ini adalah 'duit' kerajaan dan rakyat. Saya tidak boleh hampakan mereka dan kena tampilkan yang terbaik untuk teater ini. Lainlah kalau ini produksi saya sendiri...sebab kalau karya itu 'sampah' pun, saya yang tanggung sendiri.

"Tapi bila melibatkan kerajaan, saya kena lebih teliti. Ini semua berdasarkan pengalaman saya ketika menghasilkan filem Embun beberapa tahun lalu.

"Tapi walaupun saya sedar cabarannya amat berat, saya sanggup untuk menggalasnya. Saya sudah buktikan kemampuan saya sebagai pelakon dan pengarah. Tapi saya masih ada dua perkara yang belum saya sempurnakan iaitu untuk menjadi seorang isteri dan ibu yang baik serta untuk menaikkan bangsa dan martabat agama dalam karya saya," ujarnya bersemangat.

Ditanya mengenai barisan pelakon yang akan menjayakan teater ini kelak, kata Erma, dia dan pihak IB masih belum menentukan senarai pelakon yang terlibat. Meskipun nama aktres Diana Danielle disebut-sebut bakal memegang watak Natrah, namun ujar Erma, dia juga belum dapat mengesahkan tentang perkara itu.

"Memang nama Diana ada disebut. Begitu juga pelakon-pelakon untuk watak lain seperti Remy Ishak dan Umie Aida. Tetapi buat masa ini, kami sebenarnya masih belum tahu untuk ambil siapa.

"Kami pun belum berjumpa dengan pelakon-pelakon tersebut. Saya tidak boleh bayangkan lagi sesiapa pun pada masa ini. Selagi skripnya masih belum siap dan saya belum rasa lagi semangat Natrah dalam diri saya, saya belum boleh fikirkan tentang pelakon.

"Lagipun, saya sendiri masih belum pastikan siapa yang akan saya angkat sebagai 'hero'...mungkin Natrah, suaminya Mansor Adabi, ibu angkatnya Che Aminah atau bangsa Melayu itu sendiri," katanya yang akan mengumumkan barisan pelakon sebelum berakhirnya Ramadan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan