Mawi cedera ketika buat aksi 'stunt' sendiri

Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JIKA sebelum ini filem 'Aduh Saliha' yang membariskan Mawi sebagai pelakon utamanya sepi tanpa berita, kini Mawi muncul dengan filem pertama lakonannya 'Jin Notti' terbitan KRU Studios yang akan ditayangkan pada hari raya pertama nanti.

Mawi yang memegang watak sebagai Aziz, seorang pegawai polis di dalam filem ini turut melakukan aksi 'stunt'nya sendiri tanpa sebarang bantuan daripada pelakon lagak ngeri profesional.

Namun ketika melakukan aksi dalam sebuah babak, Mawi telah mengalami kecederaan di bahagian lutut kanannya dan sedikit luka.

"Masa kejadian tu, babak pergaduhan di dalam kelab malam, saya waktu tu pakai kasut yang ada rantai. Masa saya nak melompat, rantai tu tersangkut pada satu skru meja yang telah dicabut, kemudiannya saya terus jatuh dan lutut saya terkena pada skru yang satu lagi di kawasan yang sama.

"Tapi kecederaan yang saya alami tidaklah begitu teruk, cuma sengal-sengal pada lutut saja. Waktu tu saya cuma berehat untuk 15 minit, selepas tu saya sambung penggambaran semula.

"Masa tu Ekin berada di set lokasi penggambaran, dia risau juga pada mulanya, tapi saya kata pada dia saya yakin dan dia tak perlu risau," kata Mawi yang juga memberitahu ketika kejadian itu dia dan Ekin masih belum berkahwin.

Mawi turut menyatakan kepuasan yang diterimanya setelah berjaya membuat aksi 'stunt'nya sendiri walaupun ini adalah lakonan pertama Mawi.

"Semua aksi 'stunt' saya buat sendiri dan itu satu kepuasan bagi saya sebab kalau ada 'stuntman' yang lakonkan macam tak 'best', kita tak dapat rasa sendiri.

"Lagipun dulu-dulu saya adalah belajar silat sikit-sikit... Tapi dalam filem ni kita tak tunjuk silat sangat, dia campur-campur sikit aksi berlawan tu.

"Saya akan terus buat 'stunt' sendiri jika ada peluang untuk berlakon lagi, tapi tengok pada aksi jugak, kalau aksi yang agak bahaya, saya akan serahkan pada yang pakar," jelas Mawi yang sudah mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan sejak zaman sekolah lagi.

Ditanya perasaannya setelah menyaksikan sendiri filem lakonannya pada sesi prebiu baru-baru ini, Mawi mengatakan dia agak lega tetapi masih takut dengan reaksi orang ramai nanti.

"Sebenarnya saya agak takut, takut dengan reaksi orang ramai bila mereka tonton filem ini nanti.

"Maklumlah, tidak pernah-pernah saya berlakon, tiba-tiba saya berlakon dengan tiada pengalaman langsung.

"Tapi saya banyak mendapat tunjuk ajar daripada Azhari yang mengarah filem ini dan saya rasa dia dapat apa yang dia mahukan dari semua pelakon," kata Mawi yang mengharapkan filem ini akan meletup di pawagam.

Mawi bagaimanapun masih tidak tahu perkembangan filem 'Aduh Saliha' yang sehingga hari ini masih menjadi tanda tanya buat Mawi.

Pada bulan ramadan nanti, Mawi akan ke India untuk penggambaran rancangan 'Langkah Mawi' musim ke dua yang diterbitkan oleh syarikatnya MW Entertainment Sdn. Bhd dan Mawi akan menyambut ramadan di sana.

Malah dia turut akan berlakon dalam sebuah telemovie terbitan syarikatnya yang berjudul ‘Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya’ yang akan disiarkan pada Hari Raya nanti.

Turut membintangi telemovie tersebut adalah isterinya, Ekin, Bob Kuman dan ramai lagi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan