Finalis ‘Pilih Kasih’ kejar populariti atau kebolehan?

Diterbitkan: Sabtu, 15 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sepuluh finalis 'Pilih Kasih' yang berjaya ke peringkat akhir.
Sepuluh finalis 'Pilih Kasih' yang berjaya ke peringkat akhir.

SEGALA keputusan akan terjawab pada malam Ahad ini tentang siapakah yang bakal dinobatkan sebagai juara Pilih Kasih mahupun yang menyandang gelaran Aktres Terbaik atau Aktor Terbaik.

Namun begitu, siapa yang memenangi takhta ‘terbaik’ tidak semestinya akan menjadi juara.

Kekuatan yang dimiliki oleh finalis lelaki atau wanita juga dianggap tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan siapakah antara mereka mempunyai potensi untuk meraih gelaran juara.

Apa-apa pun, seperti kata ‘pemegang veto’nya, aktor Rosyam Nor ‘tunggu dan tengok Ahad ini’.

Melihat muka-muka 10 finalis yang terpilih ke peringkat akhir iaitu Iqbal Mazlan, Zulin Aziz, Nabila Dally, Indera Hafiz, Bea Rameshan, Diwan Nawi, Sofian Bujang, Wanina Zaki, Reza Hasbi dan Fiona Benard, terdetik persoalanan adakah mereka ini benar-benar layak untuk digelar pelakon serba boleh setelah melihat persembahan masing-masing pada setiap minggu.

Atau sekadar menunjukkan rupa paras yang cantik dan kacak itu sudah mencukupi untuk meraih undian khidmat pesanan ringkas (SMS) sekaligus populariti memandangkan 50 peratus markah mereka akan dinilai menerusi SMS.

Bagaimana pula dengan kebolehan merangkumi bakat, penampilan, tanggungjawab dan budi bahasa sebanyak 50 peratus yang akan dinilai oleh Rosyam sendiri.

“Saya tiada kompromi dan pilih kasih. Bakat, penampilan, tanggungjawab dan budi bahasa mereka harus menyerlah untuk saya nilai kerana saya mengetahui perangai setiap seorangnya dan saya rasa orang luar pun dapat tahu sedikit-sebanyak apabila menonton program ini.

“Selama tiga bulan ini, saya tahu perangai mana yang ‘plastik’ dan ‘batu’. Yang terbaik sahaja akan bergelar juara. Bukan lakonan semata-mata.

“Bukan saya yang tentukan tetapi penonton seluruh Malaysia yang pilih.

“Jadi, populariti dan kerja yang baik perlu seiring,” jelas Rosyam.

Tambahnya, dia sudah nampak mana peserta ‘Pilih Kasih’ yang mempunyai masa depan yang cerah untuk berada dalam industri hiburan ini.

“Saya tengok antara mereka ada ‘future’ dan mungkin antara mereka akan meletup.

“Saya letak harapan yang besar pada mereka dan ingin menjadikan mereka dikenali oleh masyarakat kerana itu yang memberikan peluang kepada mereka untuk mendapatkan ‘job’ di luar.

“Peluang amat besar..,” luah Rosyam mengenai program tempatan pertama yang menggunakan konsep buatan Malaysia itu.

Kata Rosyam, dia yakin program ini mampu mengumpul khalayaknya yang tersendiri walaupun tanpa dikaitkan dengan mana-mana program luar negara.

Lantaran itu, Rosyam turut mengumumkan yang mereka telah menghantar slot ‘Pentas Pilih Kasih’ dan ‘Kisah Pilih Kasih’ untuk dicalonkan dalam ‘Asian Television Awards’.

Jika pemenang ‘Pilih Kasih’ akan dipilih oleh Rosyam, berlainan pula dengan cara pemilihan Aktres Terbaik dan Aktor Terbaik.

Menurut Rosyam, lima juri yang akan menilai kategori itu adalah aktivis teater Rohani Md. Yuousoff; pelakon, pengarah, penerbit dan penulis Erma Fatima; pengarah drama dan filem Along Kamaludin; pengarah drama Amie Maziah dan pengarah teater Rosminah Tahir.

Sementara pengarah filem tersohor Bade Hj Azmi akan menyampaikan anugerah untuk kedua-dua kategori itu memandangkan dia merupakan pencetus idea awal ‘Pilih Kasih’.

Sebelum program ‘Pilih Kasih’ membuka tirainya, Rosyam pernah merancang untuk menyerap pelakon-pelakon ‘segera’ ini ke dalam sebuah filem yang akan diterbitkan oleh syarikatnya, Suhan Movies Sdn Bhd.

Namun, Rosyam berkata dia masih melihat kebolehan dan populariti setiap pelakon ‘Pilih Kasih’ sama ada mereka ini mampu menarik penonton datang untuk menonton filemnya atau tidak.

“Saya tak pasti lagi tentang filem itu tetapi sekarang saya mahu fokuskan kepada drama muzikal 26 episod berkonsepkan filem ‘High School Musical’ yang akan disiarkan khas pada Hari Raya manakala dua pelakon terbaik akan berlakon dalam dua buah drama episod arahan Erma Fatima,” ulasnya yang sedang menjalani rawatan pembedahan tulang bahu kiri.

Pembedahan yang dilakukan pada 31 Julai itu bagi memasukkan besi ke bahagian bahu Rosyam setelah insiden Rosyam jatuh ketika pengambaran filem 'Libas' dijalankan dan mengalami kecederaan dibahu sebelah kirinya.

Saksikan 10 finalis di ‘Pentas Pilih Kasih’ peringkat akhir pada 16 Ogos ini, pukul 8.30 malam di Kompleks Penyiaran Tuanku Mohammad, Senawang.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan