Rakan artis: Param, antara pelawak India terbaik

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Datuk Jamali Shadat (kiri) dan Hamid Gurkha semasa berlawak di pentas.
Datuk Jamali Shadat (kiri) dan Hamid Gurkha semasa berlawak di pentas.

KALI terakhir mendiang P.Param muncul di khalayak ramai ialah pada akhir bulan Jun. Ketika itu, pelakon komedi itu kelihatan agak lemah tetapi masih bersemangat untuk berjumpa dengan rakan-rakan artis.

Ramai pelawak berjumpa dengan Param pada 25 Jun lalu bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sempena majlis mesra Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) bersama Ketua Setiausaha Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Kamaruddin Siaraf.

Rata-rata pelawak dan pelakon begitu terkejut apabila mendengar berita kematian pelakon dan pelawak Param pada pagi ini.

Pelbagai luahan rasa yang timbul apabila mendengar mendiang Param telah pergi meninggalkan industri hiburan tanah air ini.

Mereka semua menganggap Param sebagai pelawak yang susah untuk dicari ganti kerana dia merupakan satu-satunya pelawak India yang fasih berbahasa Melayu.

PELAKON DAN PELAWAK HAMID GURKHA

“Saya tak tahu dia telah meninggal dunia pagi tadi. Apa yang saya boleh katakan, dia memang seorang kawan yang baik dan tidak sombong dengan kawan-kawan.

“Dia hormat saya mungkin sebab saya lebih tua dari dia dan memanggil saya abang.

“Kemudian, ada juga saya nasihatkan dia untuk makan ubat dan melakukan ‘exercise’ tapi terpulang pada dia sama ada untuk melakukannya atau tidak kerana keadaan dia memang macam tu.

“Apabila tersilap langgar dia sikit, dia akan jatuh sebab bentuk badannya tidak seimbang iaitu badannya berat tetapi kakinya pendek.

“Semasa bergurau, dia terasa dan marah-marah juga tetapi sekejap je dia marah lepas tu ‘ok’ balik sebab dia tak ambil hati.

“Jadi, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Param.”

Menurut Hamid, dia pernah berlakon dengan Param menerusi siri ‘Hang Setia’ di RTM1 selama empat tahun berturut-turut dan siri itu selesai pada tahun 1992.

PELAKON DAN PELAWAK AHMAD BUSU

“Kita kehilangan seorang lagi ‘comedian’ yang walaupun kecil tetapi berbakat besar dan susah nak cari orang yang macam dia.

“Dia juga merupakan seorang pelawak India yang berkecimpung dalam bidang komedi yang fasih berbahasa Melayu.”

Ahmad Busu pernah berlakon dan berlawak dengan Param menerusi sitkom ‘2+1’.

PELAKON DAN PELAWAK DATUK AZIZ SATTAR

“Saya tak tahu dia telah meninggal dunia sebab baru balik dari Pulau Pinang. Yang saya tahu, dia pernah semput kerana badannya tidak kuat.

“Bagi saya, sukar untuk mencari orang sepertinya dan satu lagi yang boleh saya puji dia kerana dia fasih berbahasa Melayu dan kita tidak dengar pelat India.

“Yang kedua, semasa bergurau dengannya dia tak pernah berkecil hati. Kali terakhir saya berjumpa dengannya adalah Hari Raya tahun lalu.”

Aziz pernah bekerjasama dengan Param menerusi filem ‘Si Badul’ dan berlawak di pentas.

PELAKON DAN PELAWAK DATUK JAMALI SHADAT

“Saya terperanjat dan tak sangka apabila mendengar berita ini. Mungkin saya tak tahu sebab pagi tadi saya di kebun dan kebetulan saya tidak membawa telefon.

“Oleh kerana hari ini hari Jumaat, susah juga untuk saya pergi melawatnya.

“Tetapi kalau ada kawan-kawan lain yang nak pergi, saya memang nak ikut serta. Tengoklah macam mana..

“Bagi saya, dia merupakan pelawak yang mudah serasi dengan semua orang. Dia baik walaupun berlainan agama dan bangsa tetapi mudah ramah apabila bercampur dengan kita. Dia juga fasih bercakap Bahasa Melayu.

“Saya akan doakannya..”

PRESIDEN KARYAWAN, FREDDIE FERNANDEZ

"Amat menyedihkan kerana kita kehilangan Param yang mempunyai para peminat dari semua kaum.

"Nama Param sudah jadi nama biasa kepada kita semua. Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar.

"Tidak tahu kenapa industri hiburan kita semakin kehilangan bakat - satu demi satu," kata Freddie yang memulakan initiatif memberi pencen bulanan kepada Param dan beberapa artis veteran.

PENGARAH/PELAKON VETERAN A.R BADUL

"Bagi saya, Param merupakan seorang pelawak yang berkaliber. Pada saya dia bukan sekadar pelakon nasi tambah seperti sesetengah pelakon yang ada sekarang ini.

"Dia seorang yang berpotensi, menarik dan mempunyai peminat sehingga kita sebut saja nama Param, semua orang dah kenal sapa dia.

"Param juga antara barisan pelawak India yang terbaik selepas mendiang Ayappan. Selepas itu baru muncul Param, kemudian Acappan dan Sathiya. Kesemua mereka mempunyai peminat.

"Malah kami sebenarnya merupakan sekumpulan bersama iaitu saya (Badul), Param, arwah R. Jaafar, arwah Yusni Jaafar dan Sukarni Jaafar. Bekerja dengan Param memang tiada masalah kerana dia komitmen dengan kerjanya.

PENERBIT 'HOMEGROWN PRODUCTION SDN BHD' MICHAEL SIMON

"Param seorang yang kuat semangat. Walaupun dia berada di atas kerusi roda dia sanggup datang memeriahkan lagi program 'Raja Lawak' yang lepas. Bagi saya dia menjadi mentor kepada finalis 'Raja Lawak'.

"Semua nasihat dan didikan yang diberinya sangat berharga dan Param sentiasa profesional dalam kerjanya.

"Hari ini kita kehilangan seorang yang berbakat dalam bidang lawak dan kita sentiasa ingin menaikkan martabat pelawak-pelawak dan kita akan sentiasa mengenangnya (Param).

PELAKON/PELAWAK VETERAN ZAIBO

"Param seorang anak seni yang berdedikasi. Secara umumnya, Param seorang anak wayang yang sentiasa merendah diri, tidak kedekut, suka tolong orang dan sentiasa bersahaja.

"Mula-mula saya berlakon dengan Param pada pertengahan tahun 80an, dalam sebuah drama terbitan RTM berjudul 'Hikayat Hang Setia'," kata Zaibo yang sempat bekerjasama dengan mendiang Param dalam program realiti 'Raja Lawak 3'.

"Masa tu saya masih belajar, jadi Param selalu tolong hantar saya balik lepas shooting dan selalu jemput saya untuk pergi shooting.

"Apa yang saya menyesal, saya tak sempat nak melawat dia kerana saya sibuk. Dia ada bagitahu saya, dia sunyi sebab tak ada orang nak lawat dia," kata Zaibo dalam nada yang terkilan.

Zaibo juga melahirkan rasa kesalnya kerana tidak dapat menziarahi mendiang kerana sedang menjalani penggambaran di Melaka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan