Brandon Loh, Shanjhey juarai BMW Shorties 2009

Diterbitkan: Jumaat, 14 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUAT pertama kalinya dalam penganjuran pertandingan filem pendek BMW Shorties menyaksikan dua peserta dinobatkan sebagai pemenang utama. Brandon Loh dan Shanjhey Kumar Perumal masing-masing telah diangkat sebagai juara BMW Shorties 2009, menewaskan tujuh lagi finalis.

Brandon yang mempertaruhkan karyanya, Conversation with a Mad Man serta Shanjhey yang menghasilkan filem pendeknya, Ma Chai, dilihat oleh para juri sebagai dua penyertaan terkuat dari banyak aspek dan lantaran itu, mereka sepakat untuk memilih dua pemenang utama sekaligus.

Kedua-dua pemenang berkongsi hadiah kemenangan iaitu RM75,000 yang mana masing-masing menerima RM37,500 untuk membiayai kos produksi projek filem pendek profesional masing-masing kelak.

"Proses penjurian memang cukup mencabar. Tetapi kesemua juri kali ini merasakan dua penyertaan ini memang bagus dari segi suntingan, lakonan, jalan cerita dan genre masing-masing.

"Melihat kepada kualitinya yang bagus, kami memutuskan untuk memilih dua pemenang kali ini. Bagi saya, tidak timbul isu mengapa dua sekaligus dipilih sebagai juara.

"Memang BMW Shorties adalah sebuah pertandingan, tetapi ia bukan sekadar untuk memilih pemenang. Tidak salah mengangkat dua pemenang sekaligus jika ia dilihat mampu mengembangkan lagi industri ini," kata salah seorang juri, Abdullah Zahir Omar yang juga merupakan pemenang BMW Shorties 2007.

Turut menyertai barisan juri bagi tahun ketiga penganjuran pertandingan ini yang menampilkan tema 'Life' atau kehidupan ialah Editor Eksekutif The Star, June Wong; Editor Options, Surinder Jessy; pengarah filem, Tan Chui Mui serta pelakon Ida Nerina yang tetap menjadi juri kali ini walaupun masih terlantar di hospital bagi menjalani rawatan tulang belakangnya setelah terjatuh akhir Jun lalu.

Dalam pada itu, salah seorang pemenang utama, Shanjhey berkata, karya 'Ma Chai' yang dihasilkannya itu cukup istimewa di hatinya.

"Saya sering lepak di rumah kawan saya di kawasan Sungai Besi dulu. Kemudian, pihak berkuasa ingin mengembangkan pula kawasan tersebut dengan projek lain.

"Disebabkan itu, saya terfikir untuk dokumentasikan tempat ini tetapi dalam bentuk filem pendek. Tetapi, ceritanya saya buat dalam konsep yang menghiburkan," katanya yang akan meneruskan projek filem pendeknya pada September ini berjudul Siapa Gaduh yang menerima bantuan dana daripada Finas.

Shanjhey yang merupakan produser drama Tamil juga pernah menjadi finalis pada pertandingan ini tahun lalu. Ternyata, karya komedi yang memaparkan kisah dua saudara yang dipaksa membantu bapa saudara mereka menjual ikan masin, membawa tuah buat Shanjhey.

Seorang lagi pemenang, Brandon Loh pula berkata, dia merasakan idea mengetengahkan elemen 'orang kurang siuman' di dalam karyanya, Conversation with a Mad Man adalah sesuatu yang menarik.

"Ketika mendapat skrip ini dari seorang rakan, saya memang amat menyukainya. Saya hanya olahkan sedikit untuk melengkapkan rencah filem ini. Saya juga sanggup mengambil risiko dengan menghasilkannya di dalam bahasa kantonis," kata Brandon yang merupakan pembantu pengarah dalam sebuah syarikat produksi tempatan.

Dalam pada itu, filem pendek hasil karya John Cho berjudul Resonance turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas, manakala filem Flashes oleh Prakash Murugiah telah menerima anugerah pilihan penonton berdasarkan undian secara online.

Finalis-finalis lain yang turut bertanding di dalam BMW Shorties 2009 ialah Mohamed Fazry dan Asmar Hassan (Lubang), Chua Soon Min (1.19), Mandy Yap (7), Wong Wei Jian (Le Mannequin) dan Chow Jann Rong (Codename Hashshashin).

Pada majlis penganugerahan itu, karya filem pendek profesional juara BMW Shorties tahun lalu iaitu Angel of Utopia oleh Nazim Esa turut ditayangkan.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan