Umie Aida akan jadi tunangan orang minggu ini!

Diterbitkan: Rabu, 12 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAGI mereka yang mengenali aktres Umie Aida secara dekat, akan tumpang gembira dengan berita pertunangan dan perkahwinannya dengan ahli perniagaan berpangkat Datuk dan berstatus duda ini.

Ini kerana bukan sekali hati Umie dilukai oleh ramai jejaka termasuk aktor tampan yang tidak tahu letaknya nilai cinta suci wanita ini.

Namun aktres yang mencipta nama dengan lakonan mantapnya dalam drama Salam Taj Mahal, Surah Terakhir dan Selamat Hari Jadi Su ini bijak memendam erat segala kisah duka cinta dulu.

Dan hari ini, lembaran pahit itu sudah jadi lipatan sejarah. Kini hari-harinya silih berganti dengan senyuman dan ayat-ayat cinta bersama orang tersayang kerana hari bahagianya semakin hampir.

Kebetulan, gerak hati semakin kuat mengatakan aktres yang dilahirkan dengan nama Umi Khalsum Rahmad Ali, 36, akan bertunang pada minggu ini.

"Mungkin ya dalam minggu ni saya akan bertunang....namun, lokasi dan tarikh pertunangan itu belum ditetapkan lagi.

"Perkara baik saya tidak akan lupakan rakan media," jelas Umie yang tidak mahu berahsia lagi. Sementelah, semua rakan media sudah tahu lelaki mana yang berjaya mencuri hatinya.

Dengan pengesahan ini, Umie bagai mengiyakan desas-desus yang mengatakan dia akan bertunang dengan Datuk K sebelum bulan puasa.

"Memang ke arah itu dan insya-Allah, saya takkan sorok...," katanya yang akan bertunang di Kuala Lumpur sebagai lokasi pertunangan.

Ditanya tentang persiapan majlis pertunangan, Umie menjawab, "Saya mahu majlis yang lebih ringkas. Kalau nak tahu kena datang dan tengok sendiri."

Kata aktres jelita ini, pada mulanya dia ingin merahsiakan tentang hari bahagia yang bakal diraikan bersama dengan lelaki yang dipanggil 'abang' itu.

"Saya akan jemput kerana orang dah tahu. Ikutkan dari merisik hingga bertunang, saya nak buat senyap-senyap sahaja.

"Mungkin ini pertama kali saya boleh berkongsi untuk peminat kerana sebelum ini saya agak privasi," jelasnya yang masih enggan bercerita lanjut tentang siapa gerangan Datuk K yang dimaksudkan.

Namun, dia hanya memberitahu yang lelaki itu berkulit cerah dan berwajah Cina.

Ibu kepada dua orang anak iaitu Mohd Daniel Firdaus, 16, dan Mohd Zulhilmy, 15, ini juga memaklumkan yang Datuk K sudah 15 tahun menduda dan mempunyai dua orang anak lelaki.

Majlis merisik antara Umie dan 'Datuk K', tokoh perniagaan yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang, telah selamat diadakan pada 17 Mei lalu dan dihadiri kaum keluarga terdekat kedua-dua belah pihak.

Yang pasti, aktres yang cukup meminati warna putih dan apa saja yang 'pastel', redup dan damai telah memilih tema putih dan bunga mawar biru untuk menghiasi kamarnya nanti.

"Tengoklah sendiri. Saya tidak mahu 'spoil the surprise'," kata Umie di corong telefon semalam.

Ketika dijemput menyampaikan anugerah untuk Aktres Terbaik Festival Filem Malaysia ke 22 bersama Eizlan Yusof, Umi diusik bila agaknya gerangan hari perkahwinannya itu.

Secara berseloroh, Umie mengatakan 5 November. Tapi sebenarnya itu adalah tarikh filem terbarunya 'Pisau Cukur' akan diedarkan.

"Allah yang menentukan jodoh seseorang. Mungkin doa saya di Makkah untuk mendapat jodoh selama ini sudah dimakbulkan Tuhan. Saya tidak sangka ia akan berlaku dengan begitu cepat sekali.

"Tetapi sebagai hambaNya, saya terima dengan hati yang reda dan syukur," jelas anak ketiga daripada enam beradik dan adik kepada pengarah terkenal Erma Fatima ini.

Bagi Umie, perkenalannya dengan Datuk K atau 'abang' (sapaan Umie pada bakal suami) lebih kepada ikut riak hatinya.

"Abang seorang yang matang, penyayang dan lembut orangnya. Usianya juga sudah pertengahan 40-an. Dan saya akur perasaan saya padanya adalah kerana jodoh kami kuat.

"Hubungan ini adalah sangat istimewa kerana kami menemui cinta di usia kami begini," kata

Tidak seperti wanita lain yang mudah cari pengganti, aktres di sebalik filem-filem hebat seperti Mrs Cinderella, Embun, Gangster, Puaka Tebing Biru, Pisau Cukur dan Dukun ini sudah rasa bagaimana perit dan sukar untuk bertukar kasih.

"Kisah lalu biarlah berlalu. Saya sukar mencari cinta baru. Kalau dah sayang orang, setengah mati tapi semua itu ada hikmahnya," kata Umie yang tidak menafikan akan mengenakan busana ciptaan pereka terkenal Bill Keith di majlis pertunangan nanti.

"Buat apa saya nak sorok perkara baik," kata Umie yang masih berteka teki tentang venue majlis pertunangan itu akan diadakan.

Bagi resepsi perkahwinan pula, sejujurnya Umie mahu segalanya sederhana.

"Kalau boleh, saya hendak majlis akad nikah di masjid saja. Tapi saya ada keluarga dan saya perlu meminta pendapat mereka," kata Umie yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke 16 (2003).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan