Norman KRU: Saya ingin cepat dapat anak

Diterbitkan: Isnin, 10 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BAHAGIA... Norman KRU dan isteri, Shireen Mardziah Hashim. -foto THE STAR oleh GLENN GUAN
BAHAGIA... Norman KRU dan isteri, Shireen Mardziah Hashim. -foto THE STAR oleh GLENN GUAN

TERSENYUM abang sulung kumpulan KRU ini apabila diusik tentang gelaran bujang yang tidak lagi dipegangnya kini.

Dalam nada ceria, Norman Abdul Halim akui dia amat bersyukur kerana akhirnya dipertemukan dengan seorang wanita yang cukup memahami dan matang untuk menjadi suri hidupnya.

Meskipun Shireen Mardziah Hashim, 44, lebih berusia daripada Norman, namun penyanyi, pelakon dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios ini tidak pernah melihat faktor usia sebagai penghalang untuknya menjadikan Shireen sebagai isteri.

Malah, selebriti berusia 37 tahun ini akui, dia banyak mengambil pengajaran dari pengalaman lalu. Dan ternyata, setelah bertahun-tahun mencari cinta 'sejati', dia yakin wanita yang bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KRU International itu memenuhi kriterianya.

Akhirnya, setelah kira-kira dua tahun menyulam cinta, pasangan ini selamat diijabkabulkan pada tanggal 7 Ogos lalu di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, dengan hanya sekali lafaz.

Menurut Norman, dia beruntung kerana sepanjang tempoh percintaanya dengan Shireen, wanita itu amat pandai 'menyimpan' kisah cinta mereka.

"Dia pandai simpan rahsia. Dia memang tidak bercerita sangat pada kawan-kawannya. Selalunya, kalau orang yang bercinta dengan golongan artis khususnya, ada sesetengahnya seperti menunjuk-nunjuk. Tetapi Shireen bukan seperti itu.

"Sepanjang tempoh itu, kami kalau pergi 'dating' pun bukan di tempat yang ramai orang. Bukan nak lari dari kebenaran, tapi kami tak nak ada tekanan disebabkan gosip atau sebagainya. Benda-benda macam ni sebenarnya boleh meretakkan hubungan," kata Norman yang ditemui sejurus majlis pernikahannya, Jumaat lalu.

Malah, kata Norman, jika diikutkan, majlis pernikahan mereka juga sepatutnya ingin dibuat secara 'low-profile' di Sydney, Australia.

Namun, untuk tidak mengecilkan hati banyak pihak, dia terpaksa membatalkan hasratnya itu.

"Memang kami ingin buat majlis ini di Australia kerana tempat itu cukup tenang dan kami tidak mahu tekanan. Tapi setelah saya fikir semula, saya tidak boleh 'lari' dan kena lakukannya di sini juga.

"Saya tidak mahu gahkan majlis kahwin saya kerana saya suka cara tersendiri. Perkahwinan adalah perkara peribadi buat saya. Bukan saja saya, isteri juga berfikiran sama dengan saya.

"Saya juga belajar dari kesilapan yang dilalui oleh orang lain. Dan kami memutuskan untuk buat secara sederhana saja. Saya ingin minta maaf pada pihak-pihak yang tidak sempat saya jemput kerana majlis ini dibuat secara kecil-kecilan.

"Memang sudah lama kami fikirkan tarikh ini untuk bernikah dan saya memang inginkan majlis ini dibuat pada hari Jumaat. Kami juga tidak ada perancangan untuk buat sebarang resepsi.

"Bagi saya, ada cara lain lagi saya boleh perkenalkan isteri seperti bawa dia ke majlis-majlis yang saya hadiri," tutur Norman yang berangkat ke New Zealand bersama Shireen keesokan harinya untuk berbulan madu selama seminggu.

Mengimbas detik perkenalan pasangan ini, Norman mula mengenali Shireen di majlis pernikahan adiknya, Edry dan isteri, Milia kira-kira 11 tahun yang lalu. Milia merupakan sepupu kepada Shireen.

Namun, hubungan mereka hanya benar-benar serius sejak dua tahun lalu. Ini merupakan perkahwinan ketiga buat Shireen. Dia bagaimanapun tidak mempunyai cahaya mata menerusi dua perkahwinan terdahulu.

Ujar Norman, untuk melihat keserasian di antara mereka di peringkat awal hubungan, dia mengambil keputusan untuk membawa Shireen bertugas di syarikatnya.

"Itu adalah ujian untuk melihat sama ada kami serasi atau tidak. Kalau orang-orang barat, mereka akan tinggal serumah untuk lihat keserasian, tetapi cara kita orang timur adalah berbeza.

"Setelah berbincang dengan adik-beradik saya, akhirnya saya bawa Shireen sertai syarikat kami. Lagipun, dia memang berkelayakan dan pernah bertugas di syarikat besar sebelum ini.

"Dan dia nampaknya amat memahami saya kerana saya memang seorang yang tegas ketika di pejabat," kata Norman.

Ditanya mengenai perancangan cahaya mata, dalam nada ceria, Norman akui, dia teringin untuk menimang cahaya mata secepat mungkin.

"Kalau boleh, saya memang ingin cepat dapat anak. Malah, salah satu sebab saya ingin berkahwin juga adalah kerana inginkan zuriat.

"Insya-allah, jika dikurniakan anak nanti, saya lebih suka lihat Shireen duduk di rumah saja dan menjaga anak. Saya melihat contoh yang dibuat oleh Edry dan isterinya.

"Lagipun, tanggungjawab suami adalah untuk mencari harta dan nafkah untuk isteri dan anak-anak," ujar Norman.

Pada majlis pernikahan mereka, selain ahli-keluarga, saudara-mara dan kenalan rapat, turut hadir ialah Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri Cik Puan Muda Julita Aishah, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta rakan-rakan artis seperti Mawi, Ekin, Maya Karin dan Datuk Shake.

Norman dinikahkan sendiri oleh bapa Shireen, Datuk Mohamed Hashim di hadapan Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Mohamad Shukeri Yaacob.

Shireen menerima mas kahwin RM3,000 serta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihaknya.

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Jumaat, 28 November 2014 12:00 AM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 4)

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan