Konsert Tribut MJ 'tersekat-sekat' tapi tetap berkesan

Diterbitkan: Isnin, 10 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Asian Percussion Unit mempersembahkan lagu 'Shake Your Body' dan 'Don't Stop Till You Get Enough'. -foto THE STAR oleh MOHD. SAHAR MISNI
Asian Percussion Unit mempersembahkan lagu 'Shake Your Body' dan 'Don't Stop Till You Get Enough'. -foto THE STAR oleh MOHD. SAHAR MISNI

KONSERT Tribut 'Homegrown' kepada Michael Jackson sepatutnya bermula pada 8 malam. Biarpun lambat lebih setengah jam, sebanyak 400 peminat Raja Pop tetap sabar menanti ia membuka tirainya di Auditorium, Wisma Bentley Music, Mutiara Damansara.

Dua poster besar wajah Michael dengan tertera mesej "A Homegrown Tribute to Michael Jackson (1958-2009)" digantung di kiri dan kanan skrin gergasi projektor.

Di bawahnya ialah pentas untuk 11 artis-artis solo serta band-band indie tempatan memberikan persembahan pada malam konsert itu, Jumaat lalu. Antaranya, Love Me Butch, Dejavoodoospells, Pure Vibracion, The Otherside Orchestra, Jin Hackman, Melissa Indot, Happy Nightmare, Transient Vortex dan Ferhad.

Kegelisahan menanti terubat seketika apabila melihat keletah lucu Qi dan Sarah Lian mengacarakan malam konsert itu.

Melewati sedikit 8.40p.m., Asian Percussion Unit mempersembahkan lagu 'Shake Your Body' dan 'Don't Stop Till You Get Enough' dengan tempo rancak.

Walaupun band ini menggunakan beberapa alat-alat muzik tradisional untuk mencetuskan irama berlainan, ia kelihatan janggal kerana Michael Jackson (MJ) sebenarnya ialah Raja Pop!

Itulah kelainan konsert tribut anjuran Homegrown yang menawarkan lagu-lagu hit Michael Jackson dalam genre dan `fusion' (perpaduan)tersendiri.

Bagaimanapun, kerancakan persembahan pembukaan hanya 'suam-suam kuku' kerana rata-ratanya bukan semua penonton bangun, menghentak kaki, menepuk tangan dan menjerit-jerit.

Tempo konsert ditingkatkan apabila penyanyi remaja hip-hop Jin Hackman mengambil alih pentas. Tatkala mengalunkan rap solo berima dan inovatif tentang Michael Jackson, Jin pandai mengajak para penonton rap bersama-sama.

Para penonton terikut-ikut melambai-lambaikan tangan mengikut persembahan Jin.

Seterusnya, penyanyi rap ini mempersembahkan lagu MJ 'Pretty Young Thing' dengan citarasa rap moden.

Pujian harus diberikan kepada artis dan band indie yang menyuntik kelainan pada lagu malar segar MJ. Tetapi, penulis lebih menyukai versi asal lagu-lagu asal MJ. Ini menjelaskan kenapa penulis gagal mengesan 'faktor MJ' dalam persembahan mereka.

Barangkali saya lebih menggemari lagu-lagu asal MJ yang bermain di corong radio atau klip video yang ditayangkan. Apa pun, tidak dapat dinafikan terdapat sentuhan magis pada lagu-lagu asal MJ selepas beberapa dekad - ia tetap disukai oleh beberapa generasi.

Rata-ratanya, para penonton dapat menerima lagu-lagu asli MJ dicanai artis dan band mengikut acuan masing-masing. Mereka tidak kisah terpaksa menunggu hampir lima minit untuk persembahan seterusnya.

Terima kasih kepada Qi dan Sarah Lian kerana berjaya menjadi "penyelamat" konsert malam itu. Mereka menghidupkan suasana dengan lawak jenaka, memberikan kuiz sekali gus memberikan hadiah T-Shirt kepada mereka yang berjaya menjawab soalan-soalan berkaitan MJ.

Kesian melihat mereka memerah otak mencari bahan bualan untuk menghilangkan rasa jemu para penonton. Maklumlah setiap artis dan band yang beraksi menggunakan set dan peralatan muzik tersendiri.

Sarah Lian antara lain kedengaran berkata dalam jenaka: "Anda telah membaca skrip saya, Qi! Apa nak kata lagi? Qi, awak cakaplah..." Secara keseluruhannya, Sarah dan Qi ialah penyambung untuk persembahan "tersekat-sekat" konsert tribut MJ.

Setelah penat menunggu, Transient Vortex tampil "merangsangkan" para hadirin sehingga mencapai keadaan bersawai. Resipi muzik kumpulan dianggotai dua artis ini ialah muzik ala elektronik dan tanpa melantunkan vokal mereka.

Bass and surround muzik "Rock With You" itu sangat kuat. Tempat duduk terasa bergegar. Gema saling melantun dari dinding ke dinding dewan auditorium ini.

Ketika sedutan gambar foto MJ ditayangkan, lampu-lampu neon memancarkan sinaran kuat dari pelbagai sudut.

Tiba-tiba, auditorium itu menjadi semacam disko. Silau lampu-lampu neon tersebut kadang-kala "membutakan" mata para hadirin.

Beberapa kali, penulis memejamkan mata kerana silau kesan daripada penataan cahaya berkuasa tinggi itu!

Band 'Happy Nightmare' menyusul kemudian dengan lagu 'ABC' yang pernah dimasyhurkan oleh Jackson 5's. Para penonton secara tidak langsung dibuai ke zaman kanak-kanak MJ bersama abang-abangnya seperti Tito dan Jermaine.

Antara semua artis dan band yang telah memberikan persembahan sebelum itu, Ferhad merupakan satu-satunya artis yang hampir memiliki suara emas MJ.

Penulis akhirnya dapat merasakan bayang-bayang kelibat MJ menyanyikan lagu "Man in the Mirror" dan "You Are Not Alone" berada di pentas malam itu.

Gimiknya di pentas untuk mencontohi MJ juga menjadi. Dia melipat seluar panjangnya untuk menonjolkan stoking putih. Ketawa berdekah-dekah seluruh para hadirin dewan. Malangnya, Ferhad tidak mahir menari dan melakukan Moonwalk seperti MJ. Tutup mata dan dengar suara Ferhad sahaja - anda mungkin percaya MJ beraksi dalam konsert pada malam itu.

Siulan para penonton, tepukan gemuruh mereka dan sehingga ada yang berdiri sambil memberikan tepuk sanjungan kepada Ferhad.

Penonton di sebelah penulis bangun dan berdansa kerana teruja dengan persembahan memberangsangkan itu.

Berbeza dengan Ferhad, MJ Malaysia yang bergelar MJ Nada pula lincah menari di pentas tetapi tidak melantunkan suaranya.

Dia sama seperti penari mimos semata-mata. Alangkah baiknya jika Ferhad dan MJ Nada berpadu menjadi satu!

Penampilan MJ Nada turut mencuri tumpuan para hadirin. Sekilas pandang, dia seakan-akan pelanduk dua serupa kepada arwah MJ.

Misalnya, MJ Nada bertopi, berambut panjang dengan beberapa urat rambut dibiarkan bergantungan di depan muka serta berstoking putih.

Rantai besi juga dibiarkan melilit dan berjuntai di paras pinggangnya. Aksi tariannya lebih mengagumkan. MJ Nada meniru idola terkenal itu ketika menari dan melakukan Moonwalk diiringi muzik "Dangerous".

Keistimewaan mendiang Michael Jackson tiada tolok bandingnya. Ada artis yang tahu menyanyi tetapi kurang cekap menari. Ada pula yang pandai menari tetapi suaranya kurang lunak.

Michael Jackson memiliki pakej lengkap seorang penghibur - mendiang pandai menari dan menyanyi. Kemunculan arwah dalam industri hiburan seantera dunia adalah satu dalam sejuta!

Lain-lain artis dan band yang memberikan persembahan malam itu termasuk The Otherside Orchestra dengan lagu "Thriller", Melissa Indot ("Alien Ant Farm") dan Deja Voodoo Spells ("Billie Jean").

Band reggae 'Pure Vibracion' pula menambat hati para hadirin dengan lagu "They Don’t Really Care about Us". Sementara itu, band 'Love Me Butch' menyaji lagu "Beat It" ala rock.

Walaupun vokalis band 'Love Me Butch' itu kadang-kala lebih kepada menjerit daripada menyanyi, dia tetap mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

Suaranya pecah dan garau ketika menjerit "Beat it, beat it, beat it..." Diam tak diam, konsert itu telah berlangsung lebih dua jam. Sebelum berakhir, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Idzham Omar berganding dengan vokalis jaz indie, Liyana membawakan lagu 'Smile".

Kehebatan jari-jemari Ahmad Idzham berdansa di papan keyboard ditambah kelunakan suara Liyana itu menutup acara konsert ini secara gilang-gemilang.

Walaupun durasi konsert ini boleh diringkaskan, ia tetap meninggalkan kesan mendalam dalam hati para peminat MJ. Apa yang pasti, industri hiburan tempatan tidak pernah kegersangan bakat-bakat baru.

Apa yang lebih pasti lagi, masih belum ada pelapis untuk MJ yang boleh menari dan menyanyi!

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan