Chef Wan mahu majlis yang sempurna, bukan menunjuk-nunjuk

Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chef Wan mengatakan, RM30,000 itu bukanlah satu jumlah yang besar jika hendak dibandingkan dengan hantaran artis-artis lain kerana baginya dia sentiasa beringat untuk seimbangkan antara kemampuan dan juga kehendak.
Chef Wan mengatakan, RM30,000 itu bukanlah satu jumlah yang besar jika hendak dibandingkan dengan hantaran artis-artis lain kerana baginya dia sentiasa beringat untuk seimbangkan antara kemampuan dan juga kehendak.

SERINGKALI kita dengar dan lihat jika sesuatu majlis perkahwinan yang melibatkan selebriti pasti ianya sesuatu majlis yang akan dilangsungkan secara besar-besaran, mewah, tetamu yang dijemput dari golongan kenamaan dan yang pastinya wang hantaran sentiasa mencecah RM100,000, RM60,000 dan banyak lagi.

Berlainan pula bagi Chef Wan, yang juga tidak sabar untuk menunggu hari bahagia anak perempuannya, Serina, yang bakal dilangsungkan pada 1 Januari 2010 nanti.

Isu wang hantaran sentiasa menjadi perbualan jika melibatkan perkahwinan selebriti yang akan menyaksikan wang hantaran yang diletak pihak pengantin pasti mencecah puluhan ribu malah ada yang beratus ribu.

Bagi Chef Wan, dia sendiri telah menetapkan wang hantaran sebanyak RM30,000 setelah Serina tidak dapat membuat keputusan.

Chef Wan yang ditemubual mStar online mengatakan RM30,000 itu bukanlah satu jumlah yang besar jika hendak dibandingkan dengan hantaran artis-artis lain kerana baginya dia sentiasa beringat untuk seimbangkan antara kemampuan dan juga kehendak.

"Kita semua tahu, majlis kahwin ni biasanya belanjakan duit yang banyak, tambah-tambah yang kahwin tu selebrti.

"Wan kalau boleh nak buat majlis yang sempurna tetapi tak membazir. Wan sentiasa seimbangkan antara kemampuan dan kehendak supaya tak membazir.

"Tetapi Wan nak majlis yang sempurna, kalau tak sempurna nanti jadi bahan ungkitan orang pulak, kita tahu-tahu je la perangai orang melayu kita ni kan... Patutnya bila orang kahwin, kita doakan dia agar kekal lama, ni tidak, mengata dari belakang ada la," kata bapa kepada Serina ini.

Bagi Chef Wan juga, perkahwinan bukanlah satu majlis sarkas yang perlu diadakan secara besar-besaran, di tempat terbuka seperti padang dan sebagainya.

"Wan boleh je kalau nak buat besar-besar, nak charge menantu Wan 60 ribu pun boleh.

"Tapi pada Wan, wang hantaran tu hanya untuk perbelanjaan kenduri dan pihak perempuan dan juga untuk meraikan kedua-dua mempelai.

"Lagipun, kenduri untuk pihak lelaki pun akan di buat sekali dengan pengantin perempuan, Wan rasa dah cukup memadai.

"Kalau kita buat besar-besar, nanti orang kata nak menunjuk-nunjuk pulak. Buat kecil-kecilan kata kita kedekut pulak.

"Tapi Wan tak kisah apa orang nak kata, Wan akan akan jawab balik, "ada aku kisah?, adik beradik aku korang bagi makan ke?, mak aku korang bagi makan ke?," kata Chef Wan.

Menurut Chef Wan, jumlah hantaran yang ditetapkannya itu adalah selepas beberapa kali berfikir mengenai masa depan satu-satu anaknya itu.

"Kalau ikutkan, Wan dah bagi diskaun kat menantu Wan tu, cukup lah 30 ribu je, takkan nak kurang lagi, susah-susah Wan bela satu-satunya anak dara Wan tu, nasib baik Wan tak charge 100 ribu," kata Chef Wan sambil berseloroh.

Chef Wan mengatakan dia terpaksa menjadi seorang yang realistik kerana dia tidak memikirkan dirinya, malah memikirkan anaknya, menantunya serta tetamu-tetamu yang akan dijemput nanti.

Chef Wan juga tidak mahu perkahwinan puterinya itu ditaja kerana itu akan membuatkan majlis perkahwinan itu jadi tidak bermakna dan dia tidak mahu termakan budi dengan orang lain.

"Wan tak nak orang taja-taja perkahwinan Serina sebab Wan tak nak rasa terhutang budi. Malah nanti benda ni akan dibesar-besarkan dan jadi commersial pulak.

"Bila kahwin yang ditaja ni tu yang boleh orang kahwin sampai 10 kali tu, sebab tak keluarkan duit sendiri, kahwin pun tak ada makna.

"Berbanding lah masa Wan kahwin dulu, susah-susah Wan kumpul duit sebab nak kahwin, lepas tu bila dah dapat kumpul tujuh ribu, dapat beli kain, beli cincin masa tu Wan rasa seronok sangat.

"Sebab semua duit tu hasil dari titik peluh Wan sendiri, baru lah kita seronok nak kahwin," kata selebriti yang berasal dari Raub, Pahang ini.

Sebelum mengakhiri perbualan dengan Chef Wan, sempat diajukan pertanyaan mengenai pandangannya sendiri terhadap bakal menantunya itu, Chef Wan yang begitu memuji menantunya itu mengatakan dia (Gewin Edward o'Luanaigh) atau nama Islamnya, Salahuddin Ghafar, 33, merupakan calon suami yang paling sesuai untuk Serina.

"Wan tengok dia, ada ciri-ciri seseorang yang boleh memimpin sebuah keluarga, malah dia juga seorang yang sukakan kanak-kanak dan dari situ Wan nampak Gewin ni memang betul-betul ingin mulakan sebuah keluarga.

"Dia juga hormat pada orang tua, murah hati dan dia juga teliti dari segi perwatakan dia. Pertuturan dia, cara dia senyum semua teratur.

"Dia juga sangat rapat dengan keluarga dia, jadi itu juga satu-satu tanda dia (Gewin) ni boleh jadi seorang suami yang baik, tak akan dera isteri semua tu.

"Dia minat bersukan seperti main bola sepak, sukan layar, sukan-sukan lasak seperti berbasikal dan sukan-sukan 'outdoor' ni.

"Dia juga bukan kaki 'clubbing' dan kaki minum, sebaliknya dia pandai harga masa dia dengan bersukan.

"Apa yang bonus pada dia adalah, betapa minatnya dia pada agama Islam, itu yang buat Wan agi tertarik dengan dia. Kita orang melayu yang lahir Islam ni pun tak semua nak belajar pasal agama kita," kata Chef Wan mengakhiri perbualan.

Chef Wan juga memberitahu bahawa menantunya itu merupakan seorang ahli perniagaan yang mengendalikan bidang sukan serta menguruskan membawa masuk bintang-bintang sukan ternama luar negara ke dalam Malaysia untuk sebarang tour dan sebagainya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan