Amy Search panik bila isteri alami jangkitan

Diterbitkan: Jumaat, 7 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Amy begitu sayangkan isterinya, Norish Hassan hinggakan sanggup menemani isterinya di hospital. - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Amy begitu sayangkan isterinya, Norish Hassan hinggakan sanggup menemani isterinya di hospital. - foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

DI pentas dirinya dikagumi sebagai ikon rock yang tiada bandingannya. Namun di rumah kehidupan lagenda rock, Amy Search sama seperti suami biasa yang lebih senang dikelilingi oleh anak-anak dan isteri.

Selepas menjayakan "Konsert Search di Awan Biru' di Bukit Kiara, Amy terpaksa memberi perhatian penuh kepada isteri dan anak-anaknya dan menguruskan hal ehwal mereka.

Ini adalah kerana isteri tersayang, Norish Hassan yang sedang sarat mengandung anak ketiga kini dimasukkan ke hospital.

Ketika artikel ini ditulis, Amy masih berada di sebuah hospital swasta menemani Norish kerana beliau mendapat jangkitan.

Begitu setia Amy menemani Norish hinggakan semua temuduga tidak dapat dilayan kerana ingin memberi tumpuan khas kepada Norish.

Ternyata Amy agak panik bila mendengar isterinya mengalami jangkitan. Ini adalah perkahwinan ketiga Amy Search dan pasangan ini sedang membilang hari menanti cahayamata ketiga selepas Alexander Zulkarnain dan Sania Samara. Amy juga mempunyai dua orang anak perempuan di perkahwinan yang dulu - aktres Nabila Huda dan Irisha Myra.

"Norish mengalami infection (jangkitan). Dia kini dalam hospital dan saya harap dia akan cepat sembuh.

"Insya Allah bulan depan Norish akan bersalin," jelas Amy.

'Konsert Di Awan Biru' hebat tapi ada masalah

Siri jelajah Konsert Di Awan Biru Search yang diadakan pada 1 Ogos di Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur itu masih diperkatakan.

Walaupun berjaya menarik perhatian kira-kira 25,000 penonton, konsert tajaan Celcom itu luar dari jangkaan. Ini adalah kerana sistem bunyi menjejaskan perjalanan konsert.

Dari segi kosmetik luaran, konsert ini nampak hebat dan 'berjaya' dengan kehadiran ramai peminat Search dan seleksi 25 buah lagu yang mendapat sambutan.

Konsert ini juga merupakan yang kelima dijayakan oleh Search selepas di Seberang Jaya, Pulau Pinang; Jengka, Pahang, Johor Bahru, Johor dan Kuala Terengganu, Terengganu baru-baru ini.

Ketika ditanya bagaimana perasaannya apabila konsert itu mendapat kritikan beberapa pihak disebabkan masalah sistem bunyi, Amy dengan nada yang merendah berkata, "memang kami agak panik juga mulanya especially part Kid menggoreng gitarnya untuk lagu Isabella.

"Namun sound system yang teruk membuat lagu ini hampir tidak kedengaran. Memang kami tidak jangka perkara sedemikian. Benda pun dah berlaku, kita tidak boleh halang.

"Untuk konsert ini, kita pakai sistem bunyi yang berbeza tapi apa yang kita nak tak dapat. Ini satu tekanan untuk kami," kata ayah kepada aktres Nabila Huda ini.

Apapun kritikan yang dilemparkan, yang penting kumpulan rock lagenda ini amat teruja dengan sambutan yang diluar dugaan oleh peminat mereka di Kuala Lumpur.

"Saya tak sangka sambutan hebat pada hari itu kerana pada waktu yang sama, Kuala Lumpur juga berdepan dengan perhimpunan haram bagi membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hingga beberapa jalan utama

terpaksa ditutup dan menyebabkan kesesakan lalu lintas," kata Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 51 tahun.

Mungkin ini konsert terakhir Search

Ikon rock negara ini juga tidak menafikan yang 'Konsert Bergerak Di Awan Biru' adalah yang terakhir dijayakannya.

Ini adalah kerana beliau sendiri sebagai penyanyi utama tidak tahu apa nasib kumpulan ini selepas konsert itu berakhir nanti.

"Nampak gaya macam tu lah. Konsert itu macam farewell. Mungkin juga bila kami tidak aktif, kami akan mencari pelapis sebagai pengganti kami.

"Soal bubar Search atau tidak, kami akan sama-sama putuskan selepas Raya nanti.

Menurut jangkaan, dua lagi lokasi konsert kemungkinan akan berlangsung di Sabah dan Sarawak. Tarikhnya akan diumumkan kemudian bagi melengkapkan siri Konsert Di Awan Biru itu.

"Kami juga sudah mendapat lampu hijau untuk terbabit dalam persembahan gig di

Manchester selama dua minggu mulai Oktober ini. Undangan membuat persembahan turut dirangka ke London dan Dublin hingga Februari tahun depan.

Dan kemungkinan akan membuat persembahan di Indonesia juga.

"Kami sangat berminat untuk membawa Search menghiburkan peminat kami di sana selama dua malam. Sudah lama kami tidak beraksi di luar negara walaupun hanya untuk menghiburkan warga Malaysia," kata Amy.

Kali terakhir Search berbuat demikian adalah di New York, Amerika Syarikat pada awal 1990-an.

Undangan yang sama diberi oleh wakil penduduk Malaysia di Dublin, Ireland.

Menurut Amy lagi, kemungkinan besar selepas tidak aktif mengadakan konsert nanti, dia akan tumpukan kepada kerja- kerja amal dengan menubuhkan Yayasan Amy Search. Yayasan ini bagi menguruskan segala kerja kebajikan untuk masyarakat yang kurang bernasib baik.

Kumpulan rock lagenda sudah berada dalam persada seni selama 28 tahun dan kini anggotanya terdiri daripada Yazid, Hillary, Kid, Din dan Nasir. Search sudah menerbitkan 18 buah album dan yang paling popular dan terpahat dalam memori hingga kini ialah Isabella, Langit Dan Bumi, Menteri Merah Di Ufuk Timur, Fenomena, Selepas Banjir, Gothik Malam Edan, Rockestra dan Bikin Wilayah.

Lagu fenomena Search yang berterusan sehingga dua abad iaitu Isabella pernah dinobatkan sebagai Lagu Terbaik dan memenangi kategori Persembahan Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu 1989.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan