Chef Zam: Lauk Siti cukup masin dan pedas!

Diterbitkan: Rabu, 5 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Chef Zam dan 'protegenya' Datuk Siti Nurhaliza menjayakan program masakan ini dengan berkesan sekali. -foto mStar
Chef Zam dan 'protegenya' Datuk Siti Nurhaliza menjayakan program masakan ini dengan berkesan sekali. -foto mStar

BIARPUN nama Datuk Siti Nurhaliza begitu tersohor kerana kemasyurannya menyanyi, namun di dapur dia tetap mendapat komen dan kritikan selebriti chef terkenal, Zamzani Abdul Wahab yang lebih dikenali sebagai chef Zam.

Siti berada dalam kelas tersendiri di persada muzik tanah air tetapi penyanyi tersohor kelahiran Rompin ini juga sebenarnya mempunyai bakat tersembunyi yang lain kerana beliau juga seorang tukang masak yang hebat.

Program Citarasa Bersama Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di kediamannya di Bukit Antarabangsa membuktikan kecekapan Siti menyediakan hidangan yang lazat, sekaligus menyerlahkan bakatnya yang tersembunyi itu.

Chef Zam yang dijemput untuk membantu menjayakan Program Siti itu mengatakan masakan Siti adakalanya terlalu masin.

"Kadang-kadang masakan Siti ada yang terlalu masin, saya pun 'takut' bila melihat Siti masukkan banyak garam dalam masakannya," katanya dengan nada berseloroh.

"Selain terlalu masin masakan Siti memang sangat pedas, bukan pedas yang biasa tapi pedas yang 'meletup'," kata Chef Zam lagi.

Walaupun makanan Siti ada kekurangan, tapi menurut Chef Zam ia sebenarnya terpulang kepada citarasa masing-masing.

"Saya tahu Siti memang suka makan makanan yang pedas dan masin, jadi perkara seperti ini sebenarnya terpulang kepada selera masing-masing.

"Yang lebih penting masakan dia (Siti) semuanya memang ok," kata Chef Zam lagi.

Mengulas mengenai penglibatannya dalam program masakan Siti, beliau memberitahu pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima yang menghubunginya untuk membantu memperkemaskan lagi persembahan masakan Siti.

Beliau juga melahirkan perasaan gembiranya dan merasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan juara lapan kali berturut-turut Artis Serantau Paling Popular Anugerah Planet Muzik itu.

"Semasa saya berada di Surabaya Kak Erma hubungi saya dan minta pertolongan supaya saya bantu Program Siti.

"Sebelum ini saya sudah beberapa kali pernah berjumpa dengan Siti, tapi belum ada peluang untuk bekerjasama denganya... inilah kali pertama dan saya sangat gembira dan bangga.

"Tugas saya mudah, saya hanya membantu Siti dari aspek teknikal sahaja, contohnya seperti memberitahu khasiat bahan-bahan yang digunakan untuk memasak makanan tersebut, cara memasak yang betul dan membantu dari segi persembahan makanan supaya ia kelihatan lebih menarik dan moden.

"Siti bijak mengunakan pengalamannya dalam bidang nyanyian dan pengalaman saya dalam bidang masakan untuk mengacara program masakannya itu dengan baik.

"Siti pun tidak kekok ketika memasak, memang dia seorang yang berbakat," katanya.

Rupa-rupanya Chef Zam juga seorang peminat setia semua album Siti apabila mengakui beliau sering membawa album Siti kemana-mana sahaja termasuklah apabila pergi ke luar negara.

"Saya memang beli semua album Siti dan bila pergi ke luar negara memang saya akan bawa bersama-sama untuk promosi kepada kawan-kawan.

"Bagi saya muzik Siti adalah satu kebanggaan kepada Malaysia," kata Chef Zam.

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan