Yasmin tidak mahu 'pergi' selagi belum dapat restu mak

Diterbitkan: Selasa, 4 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mak Inom mendoakan arwah Yasmin ditempatkan disisi orang yang beriman kerana anaknya itu seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Mak Inom mendoakan arwah Yasmin ditempatkan disisi orang yang beriman kerana anaknya itu seorang anak yang sangat taat kepada ibu bapanya. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

'SYURGA itu di bawah tapak kaki ibu' maka sebab itu setiap doa yang keluar dari mulut ibu sentiasa akan dikabulkan Tuhan. Dan, seandainya titisan air mata yang keluar dari kelopak mata ibu, amat besarlah dosanya buat anak-anak jika terguris hati ibu.

Tetapi tidak bagi ibu kepada arwah Yasmin Ahmad, Mak Inom. Setiap air mata yang mengalir dari matanya adalah tangisan kesyukurannya kerana memiliki anak seperti arwah Yasmin yang dianggapnya 'One in a million' (Satu dalam sejuta) di atas muka bumi ini.

Arwah Yasmin merupakan seorang anak yang taat dan patuh terhadap kedua ibu bapanya dan beliau tidak pernah sekali mengguris perasaan kedua-dua mereka.

Mengimbau kembali kenangan bersama arwah Yasmin, Mak Inom menceritakan bagaimana arwah Yasmin tidak mahu pergi meninggalkan ibunya biarpun telah terlantar koma di hospital.

Saat Mak Inom melempias segala duka yang terbuku di hati terkenangkan anak yang sudah tiada, bagaikan membuka mata untuk menyedari betapa hebatnya martabat seorang ibu di sisi Allah S.W.T.

Ketika arwah Yasmin rebah di TV3, sewaktu melakukan pembentangan pada 23 Julai, arwah didapati sudah tidak bernafas dan jantungnya telah berhenti berdenyut.

Namun satu keajaiban berlaku setiba arwah Yasmin di hospital. Jantung dan pernafasannya kembali berfungsi.

Bagi Mak Inom itu adalah petanda bahawa arwah Yasmin tidak mahu meninggalkannya selagi tidak mendapat restu dari ibu yang amat disayanginya.

"Sebelum arwah sampai ke hospital, selama 30 minit pernafasannya terhenti dan sepatutnya arwah memang dah pergi meninggalkan kita ketika itu.

"Tapi mak diberitahu, arwah kembali bernafas setelah tiba di Hospital Pakar Damansara (HPD).

"Mak tahu arwah sebenarnya dah meninggal masa tu, cuma arwah kembali semula untuk mendapatkan restu mak...," kata Mak Inom yang sedih dengan kehilangan anak kesayangannya.

Begitu hebatnya naluri seorang ibu yang dapat merasakan denyutan nadi si anak yang sedang bertarung dengan maut.

Mak Inom sendiri menceritakan bagaimana dia sendiri tidak mahu melepaskan anaknya itu dari meninggalkannya kerana dia amat menyayangi anaknya itu.

"Pada mulanya susah untuk mak redhakan pemergian arwah, sukar buat mak kerana arwah seorang anak yang sangat baik. Mak tak sanggup.

"Tapi setelah Dr Jemilah dan Orked berkali-kali pujuk mak, "Mak... Redhakan mak... Redhakan... Redhakan kak Yasmin pergi..." mak terpaksa akur.

"Sebaik saja mak cakap "mak redhakan pemergian Yasmin", secara serta-merta arwah menghembuskan nafasnya terakhir walaupun mesin bantuan hayat yang digunakan belum dimatikan lagi.

"Masa tu ramai yang menyedari bahawa arwah hanya menunggu restu dari mak," beritahu Mak Inom yang ketika itu tidak dapat lagi membendung air matanya yang tergenang.

Bagi Mak Inom sendiri, dia terasa suatu kehilangan yang besar sejak pemergian arwah Yasmin dan apa yang amat dirinduinya dari arwah adalah panggilan telefon yang sering dibuat oleh arwah.

"Mak sangat rindu panggilan telefon dari Yasmin... setiap hari dia akan telefon mak, no matter how far, arwah sangat-sangat mengambil berat tentang mak," kata Mak Inom.

Ketika itu ayah arwah Yasmin, Pak Ahmad mencelah, menceritakan bagaimana pada satu ketika dia menjawab panggilan dari Yasmin, namun perkataan pertama yang keluar dari mulut Yasmin adalah "mak mana?".

"Abah ingat lagi pada masa tu Yasmin telefon dan abah yang jawab panggilan tu, abah tak sempat cakap 'hello' pun, Yasmin terlebih dulu dah tanya "mak mana?".

"Abah ingat dia nak la bercakap dengan abah dulu, rupanya tidak, mak jugak yang dia cari.

"Tapi arwah tak pernah membezakan kasih sayang, cuma arwah sangat-sangat rapat dengan maknya," jelas Pak Ahmad yang turut terasa dengan kehilangan anaknya itu.

Biarpun Mak Inom dan Pak Ahmad sedih dengan pemergian arwah Yasmin, namun jauh di sudut hati mereka ada tanda kesyukuran dan gembira memiliki anak yang begitu menyayangi mereka sehingga ke akhir hayatnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan