M.Jamil: Momok masih lekat dalam hidup saya!

Diterbitkan: Isnin, 3 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Pengarah M.Jamil telah lama menyepi dari dunia pengarahan. Kini dia kembali dengan buah tangan terbarunya 'Momok The Movie'
Pengarah M.Jamil telah lama menyepi dari dunia pengarahan. Kini dia kembali dengan buah tangan terbarunya 'Momok The Movie'

SETELAH lebih 10 tahun 'berehat' daripada menghasilkan filem, pelakon dan penerbit M.Jamil akhirnya muncul dengan produk kelapannya berjudul 'Momok The Movie', yang bakal ditayangkan di pawagam-pawagam bermula Hari Raya pertama nanti, iaitu 20 September.

Filem yang memakan masa hampir enam tahun untuk dihasilkan bermula daripada penghasilan skripnya ini ternyata cukup memuaskan hati M.Jamil yang sebelum ini tampil dengan filem Momok yang dibuat dalam bentuk VCD pada tahun 2002.

Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan menerusi VCD Momok yang terjual kira-kira 300,000 unit ketika itu, anak kepada seniwati Sarimah ini akhirnya nekad untuk membawa 'subjek' yang sama, kisah seram ke layar perak pula.

"Jika diikutkan, idea untuk menghasilkan kisah Momok ini tercetus ketika saya melawat pameran hantu di Muzium Negara beberapa tahun dulu. Dari situlah, saya bersemangat untuk hasilkan kisah ini dan akhirnya saya buat dalam bentuk VCD terlebih dahulu sebagai eksperimental.

"Tidak sangka pula, sambutannya amat hebat. Secara perlahan-lahan, saya kemudiannya mula menghasilkan skrip Momok The Movie sekitar tahun 2004 dan berjaya menghabiskannya pada tahun 2006.

"Apa yang pasti, memang subjek Momok itu masih lekat dalam hidup saya. Dan saya akui, skrip ini adalah hasil terbaik saya," ujar M.Jamil yang ditemui pada sidang media filem itu, baru-baru ini.

Filem terbitan Galaksi Seni Sdn Bhd ini membariskan pelakon-pelakon seperti Faizal AF4, Datuk Aziz Sattar, Abon, Nabil Raja Lawak, Lee AF4, Mama Rina, Mimi Rahzia dan penampilan istimewa oleh seniwati Sarimah.

Secara ringkasnya, kisah Momok The Movie bermula apabila Adlin (Faizal AF4) pulang ke kampungnya untuk bercuti. Seperti biasa, setiap kali pulang ke kampung, Adlin akan bertandang ke warung Pak Ajis (Aziz Sattar) untuk menikmati mi calong dan bersembang kosong.

Bersama rakannya Kadir (Abon), Adlin telah ke warung itu pada satu malam. Setelah sampai di warung, seperti biasa mereka mula bersembang sehinggalah kepada cerita mengenai kisah-kisah seram.

Cerita pontianak, pocong, orang bunian, badi mayat, kucing hitam dan sampuk adalah kisah seram yang menjadi penglipurlara mereka pada malam itu.

Pak Ajis, Adlin dan Kadir juga mendapat teman bercerita, Noniswara, gadis India pekerja kilang yang diganggu peristiwa seram ketika pulang dari kerja pada malam tersebut.

Kisah seram serta perasaan gemuruh yang mereka alami akibat cerita-cerita tersebut bukan lagi sekadar cerita dan ilusi, tetapi bercampur aduk dengan realiti. Tanpa Adlin sedari, 'hantu' yang dia takuti sebenarnya 'wujud' bersamanya dan rakan-rakan di sepanjang malam mereka bercerita.

Mengulas lanjut tentang filem ini, kata M.Jamil, penggambarannya telah dibuat pada bulan Januari lalu yang memakan masa lebih kurang sebulan untuk dihabiskan. Kira-kira 65 peratus penggambaran dijalankan di Pahang.

"Penggambaran banyak dilakukan di tempat-tempat sebenar terjadinya enam kisah seram itu. Tiada langsung teknik CGI digunakan di dalam filem ini dan kita hanya buat secara manual saja.

"Saya amat berharap, filem ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan seperti mana VCD Momok sebelum ini. Setakat ini, kita telah pastikan tayangannya di 60 buah pawagam termasuk Singapura dan Brunei.

"Saya juga mempunyai perancangan untuk bawa cerita seram yang saya klasifikasikan sebagai kisah seram 'hantu Malaysia' ini ke Filipina. Memang inilah impian saya untuk bawa filem ini tembusi pasaran luar," katanya yang mendapat khidmat Metrowealth sebagai pengedar filem ini.

Menurut M.Jamil lagi, aktiviti promosi juga sedang giat dijalankan sejak tahun lalu menerusi internet.

"Promosi telah lama dijalankan dan salah satunya kami buat menerusi laman web Facebook, yang mana kami mendaftarkan 'page' dengan nama filem ini sendiri. Respon yang diterima memang memberangsangkan. Saya rasa, medium melalui internet ini adalah satu cara yang berkesan untuk mengadakan aktiviti promosi.

"Siri 'road tour' juga pernah dibuat di Batu Pahat tidak lama dulu. Dan kami dalam perancangan untuk menjalankan lebih banyak 'road tour' tidak lama lagi," katanya yang menambah filem ini telah mendapat kelulusan sepenuhnya daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) pada bulan Mei lalu.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan