Keluarga bercadang buka 'Muzium Memorial Yasmin'

Diterbitkan: Isnin, 3 Ogos 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

"Yasmin anak mithali, satu dalam sejuta," kata ibu Yasmin, Mak Inom. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

SEPANJANG hidup Allahyarhamah Yasmin Ahmad, ibunya Mak Inom adalah segala-galanya. Begitu juga ayahnya, Pak Ahmad.

Allahyarhamah akan menuruti segala kata ibu tercintanya. Seperti yang diperkatakan Mak Inom dalam satu temubual baru-baru ini, "Jika saya kata mikrofon ini berwarna putih, maka dia akan anggap ia berwarna putih walaupun ia berwarna hitam."

Menurut Mak Inom, arwah Yasmin yang juga pengarah filem 'Sepet' dan 'Mukhsin' hakikatnya adalah anak mithali dan kehadirannya adalah satu dalam sejuta.

Menurut Mak Inom, meskipun anaknya telah pulang ke rahmatullah, dia ingin memastikan legasi anak kesayangannya itu berakar umbi dan terus segar.

Untuk itu, katanya, dia akan menyediakan satu tempat di Langkawi untuk budak-budak belajar agama, mengaji al-Quran dan bahasa Inggeris.

"Saya akan membuka sekolah itu. Saya akan keluarkan duit untuk buat rumah itu di bawah dana Yasmin.

"Selain itu, kami dalam perancangan untuk membuka Muzium Memorial Yasmin. Kita sedekahkan tanah dan bercadang bekerjasama dengan Tourism Langkawi," kata Mak Inom.

Menurut Mak Inom, impiannya itu adalah impian Yasmin juga.

"Yasmin mempercayai dan yakin sepenuhnya terhadap apa yang saya ingin lakukan."

Fasiliti tersebut katanya akan dibina di tanah berkeluasan satu ekar milik keluarganya.

Di tanah tersebut juga tersergam indah rumah yang dibina Allahyarhamah untuk ibunya.

"Rumah itu dikelilingi bendang yang menghijau. Bila buka jendela, di depan ialah gunung. Selain itu, terdapat surau "terapung"," kata Mak Inom.

Tidak keterlaluan dikatakan anugerah Ilahi paling besar kepada Mak Inom ialah anak kesayangannya, Allahyarhamah Yasmin Ahmad.

Menurut Mak Inom, anaknya itu tidak pernah merajuk dan meninggikan suaranya.

"Pernah sekali dia menyembah makcik apabila dia mendapati dirinya meninggikan suaranya," katanya.

Bagi Allahyarhamah Yasmin, syurga terletak di kaki ibunya.

Dan segala kenangan bersama anak tersayang adalah yang paling indah buat Mak Inom sekeluarga. Justru, semua itu akan terpahat kemas di dalam hati ibu penyayang ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan