Yatt, Aidid ingin ulangi fenomena Aznil, Rina Khan

Diterbitkan: Jumaat, 31 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BUKAN mudah untuk menggalas tanggungjawab sebagai hos program popular, apatah lagi jika program itu sebelum ini pernah mendapat sambutan yang cukup hebat daripada penonton-penonton.

Begitu juga yang dirasai oleh dua hos baru rancangan berbentuk 'game show', Pop Kuiz iaitu Aidid Marcelo dan Yatt, yang akui perlu berdepan cabaran tersendiri apatah lagi program ini pernah mencetuskan 'fenomena' ketika dihoskan oleh Aznil Nawawi dan Rina Khan sekitar tahun 90an dulu.

"Bagi saya, setiap kerja yang saya lakukan memang akan ada cabarannya. Apatah lagi Pop Kuiz yang memang merupakan sebuah program yang cukup 'meletop' satu masa dulu.

"Peluang seperti ini ingin saya gunakan sebaik mungkin untuk buktikan bahawa saya juga layak bergelar pengacara Pop Kuiz. Mungkin kami tidak sehebat pengacara lama, tetapi dapat berada sebaris dengan mereka sudah dikira cukup baik.

"Saya bersyukur kerana mendapat sokongan padu penerbit dan seluruh produksi ini. Malah, belum pun habis siaran musim pertama, saya dan Aidid terus ditawarkan untuk mengendalikan Pop Kuiz musim kedua yang sedang dalam proses rakaman," kata Yatt yang ditemui pada sidang media program itu, semalam.

Kata pengacara dan pelakon yang kini sedang hamil tiga bulan itu, dia juga tidak kisah andai kata ada pihak yang merasakan pembabitannya sebagai hos di dalam program ini membuatkan namanya lebih menonjol berbanding pengacaraannya dalam program-program lain.

"Ini adalah rezeki. Saya tidak berharap apa-apa pun. Malah, sebelum dipilih sebagai hos Pop Kuiz, saya perlu juga menghadiri sesi ujibakat.

"Tetapi apapun, saya seronok menjadi hos program ini. Memang tidak susah pun, malah saya dan Aidid tidak rasa tertekan langsung," kata Yatt yang juga mengacarakan program Joran dan Nasi Lemak Kopi O.

Aidid juga mempunyai pandangan yang sama terhadap program ini yang amat popular satu ketika dulu. Tuturnya, nama Pop Kuiz sememangnya cukup besar dan lantaran itu, hos program baru juga perlu memastikan kehebatan Pop Kuiz akan berterusan.

"Pop Kuiz pun sudah agak lama tidak keluar, jadi seluruh produksi perlu meletakkan usaha yang berganda kerana penonton juga berubah dan mereka ada banyak pilihan lain, tidak seperti dulu," katanya.

Menurut Aidid lagi, dia tidak kekok mengendalikan program hiburan seperti ini, walaupun sebelum ini sering mengendalikan program yang agak 'heavy' seperti Majalah Tiga.

Kata Aidid yang mula melonjak namanya menerusi program Remaja ini, dia sebenarnya memang amat menyukai program yang bercorak hiburan dan 'lifestyle' yang lebih santai.

"Chopp adalah program yang membawa saya ke dalam bidang hiburan. Bermula dari situ, 'bos' saya memberikan lampu hijau untuk saya terus kendalikan program hiburan.

"Apapun, sama seperti program-program lain yang saya hoskan sebelum ini, saya sentiasa mengambil pendekatan supaya menjadi diri sendiri. Sama juga seperti yang saya lakukan dalam Pop Kuiz," kata suami kepada personaliti popular Norzie Pak Wan Chik ini.

Tampil dengan hampir 60 peratus perubahan dalam program untuk musim ini, Pop Kuiz 2009 telah pun mula bersiaran di TV3 pada 19 Julai lalu, setiap Ahad. Menariknya, episod pertama Pop Kuiz musim ini mendapat rating awal yang cukup baik iaitu mencecah 900,000 penonton.

Pop Kuiz kali ini turut memecah tradisi kerana buat julung kalinya memperkenalkan tiga peringkat dalam program ini iaitu peringkat awal, separuh akhir dan peringkat akhir.

Bagi peringkat pusingan awal, terdapat tiga segmen yang perlu dilalui oleh peserta iaitu Cepat Jawab, Action...Cut! dan Star Pop. Cepat Jawab menguji sejauh mana pengetahuan peserta dalam bidang hiburan tempatan dan luar negara.

Segmen Action...Cut! akan menyaksikan peserta dicabar untuk menggunakan kreativiti masing-masing secara spontan dalam melakonkan satu watak dari filem atau drama dengan situasi yang berbeza mengikut arahan daripada seorang juri tetap yang digelarkan Tuan Pengarah.

Markah juga berdasarkan penilaian Tuan Pengarah tersebut. Bagi musim pertama, Khir Rahman telah diundang sebagai juri manakala untuk musim kedua yang sedang menjalani proses rakaman, aktor Harun Salim Bachik pula bertindak selaku juri untuk pusingan awal dan Khir Rahman akan kembali mengambil tugas itu untuk peringkat separuh akhir dan peringkat akhir.

Bagi segmen Pop Star, seorang penyanyi tanah air akan diundang untuk menyanyikan dua buah lagu pilihan penyanyi itu sendiri. Sebaik saja lagu habis dinyanyikan, lima soalan akan dibuka berkenaan lagu tersebut. Antara penyanyi yang diundang ialah Aizat, Ezlynn, Nurul, Lan Meet Uncle Hussein dan Mus May.

Peserta yang berjaya mengumpul markah tertinggi secara keseluruhan akan berentap di pusingan separuh akhir. Pada peringkat ini, segmen bertajuk Adlib iaitu berdialog dalam skrip spontan diwujudkan.

Setiap pemenang di peringkat separuh akhir akan mara ke peringkat akhir. Peserta yang berjaya di peringkat akhir akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.

Barisan produksi yang menjayakan Pop Kuiz ini ialah Hanif Kassim sebagai penerbit penyelaras, Intan Suraya sebagai penerbit, Zaidy Salim selaku penolong penerbit dan Mohd Nor Fikri Mohd Taib sebagai pembantu penerbitan.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan