Bayi kembar Ziana belum diberi nama, masih ditahan di hospital

Diterbitkan: Khamis, 30 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

HARI INI, genap seminggu usia bayi kembar penyanyi dan pelakon popular Ziana Zain setelah selamat dilahirkan di sebuah hospital swasta di Shah Alam.

Namun begitu, menurut pengurus Ziana, Lisa Aryanti Tahir, bayi kembar lelaki dan perempuan itu masih belum diberikan nama mereka.

Lagipun, tambah Lisa, bayi kembar itu masih kecil dan sedang ditahan di hospital manakala Ziana sedang berpantang di rumahnya.

“Ziana belum memberikan nama bayi kembarnya kerana mereka sedang berada dalam ‘incubator’ setelah dilahirkan awal tiga minggu.

“Bayi kembar tu ‘ok’, sihat, bagus..setakat ni semuanya cukup sifat.

“Sekarang, doktor sedang ‘monitor’ kedua-duanya kerana mereka masih kecil lagi. Mungkin dalam dua atau tiga hari lagi baru mereka boleh keluar dari hospital,” jawab Lisa.

Ziana telah melahirkan anak kembarnya secara pembedahan (caesarian). Sebelum ini, Lisa pernah memaklumkan yang Ziana terpaksa bersalin awal kerana mengalami tekanan darah tinggi.

Ditanya tentang keadaan penyanyi yang popular dengan lagu ‘Madah Berhelah’ itu, Lisa berkata kesihatan Ziana sudah kembali normal seperti biasa.

“Saya tengok dia normal dan dah ‘ok’ selepas mengalami tekanan darah tinggi. Lagipun, hal seperti ini biasa dilalui oleh ibu-ibu yang mengandung.

“Sekarang dia sedang berpantang di rumah selepas pulang dari hospital pada dua hari lalu.

“Ini bukan kali pertama Ziana bersalin awal kerana kandungan yang keduanya dulu juga bersalin awal seperti ini,” kata Lisa.

Bayi pertama yang dilahirkan oleh Ziana adalah bayi lelaki yang beratnya 2.1kg seterusnya melahirkan bayi perempuan seberat 1.7 kg.

Sebelum ini, Lisa juga pernah memberitahu yang Ziana belum bersedia untuk menunjukkan wajah bayinya kepada umum.

"Ziana seorang yang cukup berdisiplin. Gambar baby tidak akan ditunjukkan pada masa ini. Hanya apabila dia sudah bersedia, barulah dia akan tunjukkan babynya.

“Orang luar juga boleh melawatnya selepas dia selesai berpantang selama 100 hari,” tuturnya.

Kata Lisa, kemungkinan besar Ziana tidak akan menagndung lagi memandangkan usianya sudah 41 tahun.

iklan

iklan

Iklan