Kes ugut bekas isteri: Peguam Jamal tarik diri

Diterbitkan: Selasa, 28 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Penyanyi, Jamal Abdillah hadir di Mahkamah Majistret 4 Shah Alam bagi mendengar perbicaraan kes ugutan melalui pesanan ringkas terhadap bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad. - foto UTUSAN
Penyanyi, Jamal Abdillah hadir di Mahkamah Majistret 4 Shah Alam bagi mendengar perbicaraan kes ugutan melalui pesanan ringkas terhadap bekas isterinya, Fatimatuzahra Samad. - foto UTUSAN

SHAH ALAM: Peguambela penyanyi Jamal Abdillah, Datuk Mohd Taqiyuddin menarik diri kerana tidak berdaya membantu anak guamnya meneruskan perbicaraan mengugut bekas isterinya, Fatimatuzahra Samat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Taqiyuddin membuat bantahan awal disebabkan dokumen pertuduhan tidak mengandungi bukti ugutan SMS jenayah tersebut. Namun pihak mahkamah menolak.

Taqiyuddin mendakwa laporan analisis yang bertarikh 18/4/2009 itu merupakan laporan pertuduhan yang tidak mempunyai bukti.

"Setiap laporan pertuduhan haruslah disertakan bukti, tetapi dalam laporan ini tidak dikepilkan gambar ugutan SMS tersebut.

"Saya memohon keadilan buat anak guam saya, pihak kami tidak diberi sebarang dokumen untuk dibaca sebelum perbicaraan ini.

"Jadi bagaimana anak guam saya nak membela diri dia kerana dia tidak dapat membaca laporan pertuduhan itu terlebih dulu," kata Taqiyuddin ketika perbicaraan sedang berjalan.

Namun hakim menolak bantahan Taqiyuddin kerana perkara tersebut bukan lah satu isu yang perlu dibangkitkan kerana tarikh perbicaraan telahpun ditetapkan hari ini.

Kemudian isu kehadiran pengadu, bekas isteri Jamal dibangkitkan Taqiyuddin kerana pengadu tidak hadir dan seperti tidak berminat untuk meneruskan kes ini dan Taqiyuddin memohon kes ini ditangguhkan.

Timbalan pendakwa raya, Syakimah menjelaskan kepada mahkamah bahawa Fatimatuzahra tidak dapat hadir kerana tidak sihat dan sedang berada di hospital.

Bagaimanapun, Mahkamah membantah permohonan Taqiyuddin dan meneruskan perbicaraan dengan memanggil saksi pertama.

Selepas itu, Taqiyuddin memohon maaf dan menyatakan dia ingin menarik diri dengan persetujuan anak guamnya, Jamal Abdillah kerana gagal untuk memperolehi semua dokumen yang dimohon.

Hakim Majistret Norkamilah Aziz menangguhkan kes ini ke 2 September bagi membolehkan Jamal mendapat peguam baru.

Jika pada tarikh tersebut Jamal masih gagal mendapatkan peguam yang baru, Jamal perlu menguruskan kes ini tanpa bantuan guaman kerana kes ini telah banyak kali tertangguh dan tidak boleh ditangguh lagi.

Jamal yang ditemui selepas perbicaraan kes tersebut enggan memberi sebarang kenyataan mengapa peguambelanya menarik diri dari terus membantunya.

Pada 23 April dan 3 September 2008, Fatimatuzahra telah menghantar dua pucuk surat kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya di Selangor untuk memohon supaya pertuduhan terhadap Jamal ditarik balik.

Namun mahkamah pada 20 Februari lalu dimaklumkan oleh pendakwaan bahawa surat representasi Jamal dan Fatimatuzahra telah ditolak Jabatan Peguam Negara.

Jamal terpaksa melalui proses perbicaraan setelah surat representasi yang dihantar Jamal bersama isterinya, Fatimatuzahra Samad selaku pengadu agar pertuduhan itu dipertimbangkan telah ditolak oleh Jabatan Peguam Negara.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidullah Ali, 48, didakwa telah mengugut Fatimatuzahra, 26, menerusi SMS.

Dia didakwa menghantar kata-kata ugutan daripada nombor 013-3088080 ke nombor 017-3887258 pada pukul 7.44 pagi 30 April 2007.

Jamal yang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 30 Ogos 2008, Fatimatuzahra telah membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11 di sini yang mengandungi penjelasan kepada laporan polis pertama yang dibuat sejurus selepas kejadian.

Fatimatuzahra dalam laporan polisnya menyatakan, dia telah tersalah anggap hingga menyebabkan suaminya didakwa di mahkamah pada 21 April 2008. Walhal Jamal, menurut pengadu langsung tidak berniat jahat terhadapnya.

Jamal berkahwin dengan Fatimatuzahra pada Disember 2005 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Zaki Yamani, 2.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan