Jamal masih mencari teman hidup

Diterbitkan: Sabtu, 25 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Jamal bersama pemenang-pemenang Bintang RTM 2009 yang akan menjadi artis undangan pada konsertnya (dari kiri) Fatin, Jamal, Ernie dan Jo-Anna
Jamal bersama pemenang-pemenang Bintang RTM 2009 yang akan menjadi artis undangan pada konsertnya (dari kiri) Fatin, Jamal, Ernie dan Jo-Anna

HASRAT Jamal Abdillah untuk kembali 'bergabung' dengan Ogy Ahmad Daud menerusi konsert Jamal...Kembara Seniman nampaknya tidak kesampaian apabila pelakon dan pengarah itu menarik diri sebagai pengarah persembahan konsert berkonsepkan teater muzikal itu.

Namun, bagi Jamal, tidak terpalit perasaan kecewa di dalam dirinya apabila Ogy tidak dapat bekerjasama dengannya kali ini. Malah, kata penyanyi berusia 50 tahun itu, dia tidak berasa ralat memandangkan Ogy juga belum sempat melakukan apa-apa untuk konsert itu.

"Dia terpaksa menarik diri setelah dua minggu tawaran itu diberikan kepadanya kerana sibuk dengan komitmen lain. Bukan kerana isu bayaran atau perkara lain, tetapi kerana kesibukan jadual hariannya.

"Lagipun, dia belum buat apa-apa pun termasuk skrip, jadi tidak timbul sebarang masalah. Jadi, akhirnya, saya memutuskan untuk buat sendiri skrip kerana saya rasa, saya lebih memahami cerita hidup saya.

"Saya juga akan dibantu oleh Zainal Abidin Bujang yang akan menjadi pengarah persembahan serta pengarah tari, Mohd Fairuz Ariffin sebagai pengarah artistik dan S.Atan selaku pengarah muzik konsert ini," kata Jamal pada sidang media tentang konsertnya itu di Istana Budaya (IB), baru-baru ini.

Konsert Jamal...Kembara Seniman akan berlangsung di Panggung Sari, IB bermula 5 hingga 9 Ogos depan. Konsert anjuran syarikatnya, Bintang Channel bersama IB ini akan memaparkan perjalanan seni Jamal selama 30 tahun di dalam bidang ini.

Konsert ini akan menampilkan persembahan Jamal menerusi dua segmen iaitu muzikal dan konsert yang mana penyanyi ini sendiri akan merungkai kisah suka dukanya sejak lahir dan sehingga dia menceburi bidang seni.

Kata Jamal, setakat ini, jualan tiket untuk konsert itu tidak menghampakan. Namun, akui Jamal, dia agak kecewa kerana sehingga kini, masih belum ada pihak yang tampil ingin menjadi penaja di dalam konsert tersebut.

"Selain Hotel Quality, kami masih belum ada penaja lain. Kalau ada, dapatlah saya buat lebih lagi untuk konsert ini seperti penambahan prop dan bilangan pemuzik atau 'full orchestra'. Buat masa ini, saya akan gunakan khidmat lebih kurang 40 pemuzik.

"Tapi, saya ambil senario ini sebagai satu cabaran. Walaupun tiada penaja, saya tidak boleh patah semangat dan 'lupakan' peminat kerana mereka yang membeli tiket pasti ingin melihat persembahan yang baik daripada saya.

"Tak bolehlah hingga ke tahap perlu menunda konsert, walaupun tiada penaja. Apa pun yang terjadi, saya akan tetap teruskan konsert ini. Rugi atau untung, itu tolak ke tepi," ujar Jamal yang akan menyanyikan lagu-lagu hitsnya seperti Kekasih Awal dan Akhir, Penghujung Rindu, Gadis Melayu dan Aku Penghibur.

Pada konsertnya itu nanti, Jamal turut mengundang pemenang-pemenang Bintang RTM 2009 sebagai artis jemputan iaitu Nur Ernie Shahirah (johan), Jo-Anna Sue (naib johan) dan Nur Fatin Nabila (tempat ke-3) yang akan berduet bersama Jamal untuk lagu-lagu tertentu.

"Pada peringkat awal, memang saya ingin mengundang ramai artis. Tetapi memandangkan konsert ini berlangsung selama lima malam, saya perlu keluarkan belanja yang besar jika berbuat demikian.

"Lagipun, saya rasa tidak salah menonjolkan bakat-bakat Bintang RTM ini kerana saya dulu juga lahir daripada program yang sama," katanya yang ketika ini sedang rancak membuat latihan sempena konsert itu.

Tiket untuk menyaksikan Jamal...Kembara Seniman yang berharga RM75, RM100, RM150, RM250 dan RM300 boleh didapati dengan melayari laman web www.ticket2u.biz atau hubungi 03-41498600.

Diskaun 10 peratus akan diberikan kepada Orang Kurang Upaya yang membeli tiket berharga RM150, RM200 dan RM300.

Sementara itu, mereka yang membeli tiket berharga RM200 akan mendapat sebuah CD album terbaru Jamal, terhad kepada 500 keping sahaja.

Bagi tiket premier RM300 pula akan menerima CD album terbaru dan eksklusif beramah-mesra bersama Jamal.

Ubat kesunyian melalui 'show'

Banyak 'perubahan' dilihat pada Jamal ketika ini. Jika dulu, Raja Pop ini lebih bersikap pendiam dan tidak banyak bercakap, namun penampilan Jamal pada hari itu cukup berbeza.

Dia sudah bijak mengusik media yang menemubualnya, dan lebih terbuka untuk berbicara tentang banyak perkara.

"Bagi saya, ini adalah satu proses kehidupan manusia. Dengan umur saya sekarang, ia buatkan saya terfikir banyak benda.

"Saya selalu berfikir, masih ramai orang yang boleh terima saya, jadi mengapa saya tidak buat sesuatu yang baik untuk diri sendiri juga," luahnya ringkas, apabila ditanya tentang 'perubahannya' itu.

Diajukan soalan tentang kehidupan barunya kini setelah kembali solo, kata Jamal, dia hanya mengubat 'kesunyian' menerusi undangan persembahan yang cukup banyak diterimanya sejak kebelakangan ini.

"Hampir setiap minggu pasti saya akan dapat undangan 'show'. Pada masa yang sama, saya juga sibuk dengan program 'Kenali Anak Kita' anjuran Pengasih, Petronas dan Kementerian Kesihatan yang mana saya diundang menjadi salah seorang penceramah dan turut membuat persembahan.

"Program ini bertujuan untuk memberi panduan kepada ibubapa bagaimana untuk mengenali anak-anak dan sekaligus dapat mengelakkan mereka terjebak dengan perkara-perkara yang tidak elok.

"Program ini adalah bersiri dan dibuat di seluruh Malaysia. Ia telah bermula bulan lepas. Bagi saya, ini adalah tanggungjawab sosial yang mampu saya lakukan kepada masyarakat," tutur Jamal.

Dalam pada itu, ditanya pula sama ada dia ada mempunyai perancangan untuk berkahwin lagi, sambil ketawa Jamal menjawab:

"Sudah tentulah. Cuba bayangkan betapa sunyinya hidup tanpa pasangan," seloroh Jamal.

Jamal dan bekas isterinya Fatimatu Zahra sah bercerai dengan talak satu pada 4 Julai lalu di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam.

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan