Memey kini pengurus kerjaya Norman

Diterbitkan: Jumaat, 24 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Memey mengaku dia sebagai pengurus kerjaya seni Norman. -foto TV3
Memey mengaku dia sebagai pengurus kerjaya seni Norman. -foto TV3

TELAHAN orang ramai yang menyangka aktres Memey Suhaiza sebagai ‘orang ketiga’ sehingga mengundang penceraian aktor Norman Hakim dengan aktres Abby Abadi mungkin ada benarnya kerana akhirnya gadis berusia 21 tahun ini merungkai sedikit demi sedikit tentang hubungannya dengan duda anak tiga itu.

“Terpulang pada penilaian masing-masing....saya mungkin menjadi penyebab penceraian mereka tetapi saya tak boleh cerita secara menyeluruh.

“Tetapi saya bukanlah punca utama kerana mungkin mereka ada sebab lain,” ujarnya.

Setelah kontroversi itu surut, hubungan Memey-Norman dilihat agak mesra dan Memey sendiri tidak menafikan yang mereka semakin ‘serius’.

“Alhamdulillah...hubungan kami lagi rapat,” luahnya yang dalam malu-malu mengaku memanggil Norman ‘abang’.

Namun, Memey turut mengaku dia dan Norman jarang berjumpa bagi mengelakkan ia menjadi buah mulut orang ramai.

“Saya berjumpa juga dengan Norman tetapi tidaklah terlalu kerap sebab orang akan perhatikan dan pandang negatif.

“Saya masih bekerja dengannya sebagai pengurus kerjaya seni dan kerja pejabatnya.

“Kami agak rapat misalnya kalau produksi tak dapat hubungi dia, mereka boleh hubungi saya. Saya bantu secara tak langsung,” jawabnya.

Malah Memey juga membuat pengakuan yang dia bersedia menerima status duda yang dipegang oleh lelaki itu termasuk tiga orang anaknya.

“Kalau saya terima dia, bermakna saya perlu terima dia seadanya..,” beritahunya ringkas tetapi penuh bermakna.

Namun, jawapan itu tidak memberikan maksud yang gadis ini akan menamatkan zaman bujangnya dengan Norman dalam masa terdekat ini.

“Wallahualam (hanya Allah yang tahu) ia (perkahwinan) akan berlaku. Perkara ini tiada paksaan. Sampai satu tahap kita akan beritahu dan takkan letak sasarannya.

“Kahwin bukan penyelesaian masalah kerana kes (berkhalwat) masih berjalan dan cerita masih berjalan.

“Jadi, saya tak perlu terburu-buru. Mungkin (kahwin) penyelesaian yang terbaik tetapi lebih baik kami kenali antara satu sama lain terlebih dahulu,” ulasnya yang akan menghadiri perbicaraan kes khalwatnya dengan Norman yang dijadualkan pada 31 Julai ini, pukul 9 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur.

Mengulas sedikit tentang kes itu, Memey berkata kes itu mungkin memakan masa yang lama lagi.

“Saya rasa proses kes itu macam lama lagi kerana mungkin ada saksi-saksi lain,” katanya.

Memey turut ditanya tentang tidakkah dia merasa takut jika sikapnya yang semakin 'terbuka' bercakap mengenai Norman akan memakan dirinya nanti.

“Saya mula bersikap terbuka sebab orang mula bercakap tentang kami. Walaupun saya nafi, cerita tetap keluar.

“Saya tak nak terus nafikan dan mahu belajar dari kesilapan. Jika orang kata kami lebih terbuka, itu hak kami.

“Dulu saya menafikan kami mempunyai hubungan dan sekadar berkawan kerana tak nak ia terlalu drastik.

“Banyak benda yang saya perlu fikirkan kerana hal ini melibatkan banyak pihak. Kami tidak mahu buat orang tersinggung,” katanya.

Tambah pelakon utama drama bersiri ‘Puteri Aurora Beradu’ ini, “Apa yang berlaku mengajar saya menjadi lebih kuat dan matang supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini.

“Saya juga bersedia untuk menghadapi apa yang berlaku.”

Dalam drama bersiri ala-ala 'Sleeping Beauty' itu, dia melakonkan watak Puteri Aurora, gadis yang lemah-lembut dan tidak pernah merasakan hiburan di luar dan dijaga oleh tiga dayang sejak kecil.

Pada masa yang sama, dia menyukai seorang lelaki bernama Haikal lakonan Iqram Dinzly tetapi masing-masing tidak meluahkan hati kerana dia dikawal ketat oleh tiga dayang itu.

“Sebelum ini saya sudah banyak kali memegang watak utama seperti dalam drama Roda-Roda Kuala Lumpur dan ini merupakan kali ketiga saya memegang watak utama untuk tahun ini.

“Saya cuba buat yang terbaik dan keputusannya terletak di tangan penonton. Saya harap ia diterima dengan baik,” katanya yang bakal berlakon dalam drama 44 episod, ‘Cinta Balkis’ dan ‘Roda-Roda Kuala Lumpur musim ke-3’.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan