Pengarah Yasmin Ahmad selesai jalani pembedahan otak

Diterbitkan: Khamis, 23 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)
Pengarah filem dan iklan terkenal Yasmin Ahmad dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar Damansara. -fotoBERNAMA
Pengarah filem dan iklan terkenal Yasmin Ahmad dibawa masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pakar Damansara. -fotoBERNAMA

PETALING JAYA: Pakar Neuro di Hospital Pakar Damansara, Dr. Zakaria Zahri memberitahu pengarah Yasmin Ahmad telah mengalami serangan strok.

"Yasmin telah mengalami serangan strok dan terdapat pendarahan pada otaknya. Kami telah melakukan pembedahan untuk mengurangkan bengkak di dalam otaknya," kata Dr Zakaria Zahri yang telah membuat pembedahan kecemasan ke atas Yasmin selama lebih sejam bermula dari pukul 6 petang tadi.

Pengarah filem dan iklan terkenal, Yasmin Ahmad yang kurang sihat ketika sedang membentangkan kertas kerja di Sri Pentas, TV3, hari ini menjalani pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Damansara dan keadaannya kini stabil.

Datuk Dr Zakaria yang juga adik ipar Yasmin berkata pengarah itu mengalami strok dan pendarahan di bahagian otak.

"Jantungnya disokong oleh ubat-ubatan bagi mengawal tekanan darah... tempoh beberapa jam akan datang amat penting bagi kami, tapi beliau kini dalam keadaan stabil sungguhpun masih belum sedar," katanya.

Sementara itu penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin bersama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang turut berada bersama Yasmin pada pembentangan kertas kerja itu, berkata Yasmin mengadu sakit selepas 15 minit membentangkan kertas kerja berkenaan.

Menurut Dr Zakaria, beberapa jam seterusnya amat kritikal bagi Yasmin yang sedang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut.

"Buat masa ini, jantungnya disokong oleh ubat-ubatan dan keadaannya sekarang stabil," kata Dr. Zahari pada sidang akhbar di Hospital Pakar Damansara di sini, petang tadi.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Presiden Mercy Malaysia, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood.

Beberapa selebriti terkenal turut berada di hospital untuk mengetahui perkembangan Yasmin. Di antara mereka ialah Datuk Siti Nurhaliza dan suami Datuk Khalid Mohd Jiwa, Adibah Noor, Fatimah Abu Bakar, Jaclyn Victor, Dafi, Rozie Rashid dan Afdlin Shauki .

Dalam perkembangan yang lain, keluarga Yasmin meminta pihak media dan orang ramai agar memberi mereka privasi. Mereka juga memohon agar semua orang mendoakan Yasmin kembali sihat seperti biasa.

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Pengarah Yasmin Ahmad yang dilaporkan jatuh pengsan di TV3, hari ini, selamat menjalani pembedahan otak di Pusat Perubatan Pakar Damansara, di sini, sekitar pukul 7.30 malam tadi.

Pembedahan itu dilakukan setelah doktor mendapati pengarah terkenal telah diserang strok.

Keadaannya kini dilaporkan stabil, selepas pembedahan yang memakan masa kira-kira sejam lebih itu.

Terdahulu, keluarga pengarah Yasmin Ahmad telah melantik Pengarah Urusan Leo Burnett, Tan Kien Eng sebagai jurucakap untuk menerangkan situasi sebenar keadaan Yasmin yang dilaporkan sedang 'tenat'. Ini adalah kerana terlalu banyak spekulasi tentang pengarah terkenal filem 'Sepet' itu yang dilaporkan jatuh pengsan selepas satu sesi 'pitching' di Sri Pentas TV3, petang tadi.

Yasmin telah dikejarkan ke Pusat Perubatan Pakar Damansara kira-kira jam 4.30 petang tadi dan berada di dalam keadaan koma di Unit Intensif (ICU).

Kata Kien Eng, "Yasmin dalam keadaan okay dan tidak menunjukkan apa-apa masalah kesihatan."

"Saya ingin betulkan laporan tidak benar yang mengatakan Yasmin pengsan. Dia tidak pernah pengsan. Dia berada dalam keadaan duduk dan memberitahu yang dia tidak sihat. Itu saja.

"Dan saya juga ingin tekankan yang Yasmin tidak pernah berhenti bernafas seperti yang dilaporkan cuma keadaan pernafasannya agak perlahan.

"Pada saat ini, doktor sedang cuba melakukan sesuatu untuk merawat Yasmin. Keluarga Yasmin berharap agar peminat dan mereka yang mengenali Yasmin akan berdoa agar dia dapat melepasi saat yang sukar ini," kata Kien Eng.

BERITA TERDAHULU

Yasmin kini dilaporkan berada di ICU dalam keadaan koma.

Menurut sumber, Yasmin sedang membentangkan kertas kerja pada jam 3.10 petang. Selepas 15 minit, Yasmin mengadu dia tidak sihat dan menekup mukanya di atas meja.

Penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan kawan-kawan yang berada di situ tidak mengesyaki apa-apa kerana memikirkan Yasmin ingin mengingat tentang kertas kerjanya.

Selepas lima saat, Yasmin tidak bangun-bangun, Siti dan mereka yang berada di situ terus gerakkan dia namun tiada respons.

Ketika itu, keadaan Yasmin tercungap-cungap dan Dr Rohaya dari TV3 dan Siti telah cuba melakukan CPR ke atas Yasmin.

Selepas 10 minit, sebuah ambulans telah mengejarkan Yasmin ke Damansara Specialist Centre.

Yasmin telah sampai ke hospital pada jam 3.45 petang.

Jurucakap hospital berkata, Yasmin akan menjalani satu pembedahan sekitar 6 petang nanti.

"Doktor sedang melakukan pelbagai prosedur untuk mengawal keadaan Yasmin," katanya.

Turut berada di hospital untuk menziarah Yasmin ialah Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Khalid Mohd Jiwa dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, Ketua Pegawai Operasi SuriaFM.

Yasmin terkenal dengan filem-filemnya seperti Sepet, Mukhsin, Talentime dan mendapat liputan media di dalam dan di luar negara.

Filem-filem Yasmin juga mendapat pengiktirafan dari negara luar apabila ditayangkan di seperti Berlin, San Francisco, Singapore dan di Filem Festival Cannes.

Kehebatan sentuhan hebat Yasmin sebagai pengarah dapat dilihat di dalam banyak iklan-iklan komersial Petronas.

Yasmin memulakan kariernya sebagai 'copywriter' di Ogilvy & Mather dan kemudiannya menjadi pengarah kreatif di Leo Burnett Kuala Lumpur.

iklan

iklan

Iklan