Album ditangguh lagi, Zarina fokus pada kandungan

Diterbitkan: Selasa, 21 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Zarina bersama anak sulungnya, El-Athilia Deena
Zarina bersama anak sulungnya, El-Athilia Deena

AGAK lama juga penyanyi yang meledak namanya dengan lagu Langit Ketujuh ini 'menyepikan' diri. Menurut tuan empunya diri, dia akui aktiviti seninya tidak lagi seaktif dulu dan lantaran itu dia lebih senang menguruskan restoran miliknya dan suami, Restoran Baso Sapi Asli yang terletak berhampiran Sunway Pyramid.

Kesempatan bertemu Sharifah Zarina di majlis pernikahan pelakon Maya bulan lalu, penyanyi berusia 28 tahun ini sempat berkongsi perkembangan terbarunya yang kini sedang hamil lima bulan.

Kisah kegembiraan untuk menimang cahaya mata ketiganya itu bersambung pula menerusi perbualan telefon selepas itu. Ternyata, penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak ini cukup teruja menantikan proses kelahiran, apatah lagi setelah dikhabarkan dia kemungkinan akan melahirkan bayi lelaki.

"Sebenarnya saya tidak rancang pun untuk mengandung dalam masa terdekat ini, lebih-lebih lagi anak kedua saya baru saja mencecah usia setahun. Alhamdulillah, Allah terus mengurniakan rezeki kepada saya dan suami untuk memiliki cahaya mata lagi.

"Apa yang menggembirakan saya, setelah menjalani sesi imbasan, doktor beritahu saya mengandung bayi lelaki. Sudah lama sebenarnya saya harap untuk dapat anak lelaki.

"Tetapi saya tidak mahu terlalu berharap juga, mungkin ramalan itu silap. Bagi saya, lelaki atau perempuan, saya dan suami tetap bersyukur. Asalkan bayi yang lahir nanti sihat, itu sudah cukup menggembirakan saya," kata ibu kepada El-Athilia Deena, 6, dan Ariana Deena, setahun.

Menurut Zarina, kerana ingin memberikan tumpuan kepada kandungannya, dia juga terpaksa menangguhkan dulu proses penghasilan album ketiganya yang tertunda sejak lebih setahun lalu.

"Kalau ikutkan, memang saya ingin cepat hasilkan album, maklumlah sudah lama sangat saya tidak ada album baru. Tapi, memandangkan kali ini saya yang akan hasilkan dan biayai sendiri kos pembikinannya, saya rasa lebih baik saya jangan terburu-buru.

"Tambahan pula sekarang ini saya sedang mengandung, jadi saya buat keputusan untuk tunda ke tahun depan.

"Namun, setakat ini, saya sudah rakamkan sebuah lagu ciptaan Alim OAG dan sepatutnya lagu itu akan menjadi single terbaru saya.

"Tapi, saya rasa lebih baik saya 'hold' dulu lagu itu dan mungkin tahun depan saya akan 'release' single ini terlebih dahulu," kata penyanyi yang turut popular dengan lagu Tak Secantik Wajah dan Harapan Berbunga Realiti ini.

Ujar Zarina lagi, walaupun karier seninya tidak seaktif dulu, dia sebenarnya masih lagi mendapat undangan menjayakan persembahan.

"Saya terkejut juga kerana ada pihak yang masih memanggil saya menjayakan persembahan. Tapi, sejak mengandung, saya terpaksa menolak. Lagipun, kali ini walaupun kandungan baru berusia lima bulan, tetapi saya rasa seperti sudah sarat tujuh bulan.

"Tidak seperti mengandungkan dua anak saya sebelum ini, yang mana saya masih mampu membuat sebarang persembahan walaupun sedang mengandung. Cuma bezanya kali ini, saya tidak ada sebarang alahan berbanding ketika pertama kali hamil dulu," tuturnya.

Namun begitu, kata Zarina, tatkala kandungannya baru mencecah usia dua bulan, dia sempat membintangi sebuah drama berjudul 6 Sharifah terbitan KL Motion Picture yang telah disiarkan di Astro Ria, baru-baru ini.

Kata penyanyi ini, itu adalah percubaan sulungnya bergelar pelakon dan dia akui pengalaman yang dikutipnya menerusi drama itu cukup berharga.

"Tidak lama dulu saya suka menonton drama Jula Juli lakonan Misha Omar. Saya sering cakap pada suami saya, jika ada peluang, saya teringin nak berlakon dalam cerita komedi seperti itu.

"Bukannya tidak ada tawaran yang singgah, tetapi sebelum ini saya tidak pernah tergerak hati untuk mencuba. Tak sangka pula seminggu kemudiannya, pihak produksi KL Motion menghubungi saya dan tawarkan saya membintangi drama 6 Sharifah itu, memegang salah satu watak adik-beradik Sharifah di dalamnya.

"Saya beritahu mereka, saya tidak pernah ada pengalaman berlakon. Tetapi mereka suruh saya cuba. Akhirnya saya ambil cabaran itu, walaupun susah juga pada awalnya sebab saya perlu lakonkan watak seorang yang garang dan 'boyish'.

"Tetapi, pengalaman yang saya dapat di lokasi penggambaran memang menyeronokkan. Lagipun, apa yang menarik, rata-rata pelakon yang memegang watak Sharifah di dalam drama ini memang berpangkal nama Sharifah juga di luar drama, seperti Sharifah Shahora dan Sherry Merlis," kata Zarina yang tidak kisah untuk berlakon lagi andai kata ditawarkan watak yang sesuai.

Berbicara tentang bisnes restorannya itu pula, kata Zarina, perniagaanya yang mula beroperasi kira-kira 10 bulan yang lalu semakin berjalan dengan baik. Malah, dia dan suami juga akan membuka sebuah cawangan baru di Seksyen 7, Shah Alam, selepas Hari Raya nanti.

"Alhamdulillah, bisnes nampaknya bergerak dengan baik. Setiap hari saya memang akan sibuk di restoran saja. Begitu juga dengan suami, setiap kali habis kerja di pejabat, dia akan datang ke restoran dan dia sendiri akan memasak.

"Walaupun penat, tetapi dia tidak kisah sebab dia memang gemar memasak. Saya pula selalunya akan ke pasar membeli barang-barang dan jika di restoran, saya selalunya akan ambil tempahan pelanggan," kata isteri kepada Buswani Abdullah ini.

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan