Fasa baru Rosma setelah bergelar ibu

Diterbitkan: Isnin, 20 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Muhammad Amzar Danish atau Danish lahir pada 17 Julai lalu. -foto ihsan Rosma dan Khai
Muhammad Amzar Danish atau Danish lahir pada 17 Julai lalu. -foto ihsan Rosma dan Khai

BERGELAR ibu seawal usia 20-an mungkin tidak memberikan apa-apa masalah buat penyanyi Rosma, 24, lebih-lebih lagi dia sendiri memang gemarkan budak.

Penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia (AF) musim pertama ini telah selamat melahirkan bayi sulungnya, Muhammad Amzar Danish di Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah, Bangi pada 17 Julai lalu.

“Selepas bersalin, saya tidak kekok untuk memegang ‘baby’ sebab saya pernah mendukung anak saudara.

“Saya rasa gembira dan teruja kerana memang saya nak anak sangat. Apabila dia berada di depan mata, perasaan tu memang lain berbanding saya melihat bayi orang lain sebelum ini.

“Saya tahu selepas ini tanggungjawab saya semakin berat memandangkan saya bukan sahaja perlu memikul tugas seorang isteri malah tugas seorang ibu.

“Harap-harap saya dapat menjadi ibu yang baik,” kata Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik.

Berkongsi pengalamannya semasa bersalin anak sulungnya itu, Rosma berkata dia tidak terlalu memikirkan tentang kesakitan sewaktu bersalin memandangkan dia turut ditemani oleh suaminya, penyanyi Khairul Nizam Wahi atau Khai.

“Masa saya bersalin tu saya dah tak fikirkan apa-apa lagi cuma inginkan anak selamat.

“Sebelum dan semasa bersalin, saya juga ada mengamalkan selawat, doa dan surah-surah dalam al-Quran untuk memudahkan bersalin dan mententeramkan hati dari perasaan ‘nervous’.

“Alhamdulillah, saya bersalin secara normal dan senang ‘deliver’ (bayi),” ujarnya dalam nada ceria.

Setakat ini, Rosma berkata dia menerima kedatangan ibu bapa, ibu bapa mertua dan keluarganya di hospital dan selebihnya seperti rakan-rakan diajak datang ke rumah.

Selepas ini, Rosma berkata dia akan berpantang selama dua bulan di rumah keluarganya di Kuantan, Pahang.

“Saya akan berpantang selama dua minggu di Kuala Lumpur dahulu dan selepas itu baru saya akan berpantang di rumah ibu sendiri di Kuantan, Pahang.

“Dalam masa saya berpantang di sana nanti, Khai akan berulang-alik dari KL ke Kuantan kerana dia sedang sibuk berlakon telefilem,” kata Rosma.

Sesudah berpantang, Rosma akan menyambung kariernya dalam bidang seni suara sekaligus merakamkan single duet keduanya dengan suaminya, Khai, 30, selepas pertama kali menghasilkan single bersama menerusi lagu ‘Warna Cinta’.

“Saya rasa selepas berpantang nanti, saya akan memulakan karier seni seperti biasa. Lagipun Khai tak halang saya untuk terus menyanyi.

“Jadi, kami akan bahagikan masa untuk bersama ‘baby’,” tuturnya.

Pasangan ini diijabkabulkan pada 26 April 2008 di Masjid Putra, Putrajaya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan