Jenazah Khairil Khamis selamat dikebumikan

Diterbitkan: Jumaat, 17 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Jenazah penyanyi dan pelakon Khairil Khamis, 53, telah selamat dikebumikan selepas sembahyang Jumaat kira-kira pukul 2 petang tadi di Tanah Perkuburan kampung Malaysia Tambahan, Salak Selatan, Cheras.

Allahyarham meninggal dunia kira-kira 6.20 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat sakit jantung.

Allahyarham yang merupakan abang kepada penyanyi Azizul Khamis itu dikatakan mengadu sakit dada dan sesak nafas, sebelum dibawa ke HKL oleh anak angkatnya, Aril, 21.

Arwah belum berumahtangga dan hanya tinggal bersama anak angkatnya itu.

Azizul yang dihubungi hari ini berkata, dia sendiri agak terkejut dengan berita kematian abangnya itu.

"Arwah memang ada darah tinggi dan sakit jantung. Tapi, selama ini tidak pula dia mengadu apa-apa pada saya. Awal pagi tadi, anak angkatnya kata dia mengadu sakit dada dan sebaik tiba di hospital, dia disahkan meninggal dunia.

"Saya agak terkilan tidak dapat bersama dengan arwah pada saat-saat akhirnya ini. Tapi nak buat macam mana, ajalnya sudah tiba," kata Azizul cuba menahan kesedihan.

Menurut Azizul lagi, kali terakhir dia bertemu dengan abangnya itu ialah kira-kira dua minggu lalu di sebuah majlis anjuran Persatuan Karyawan di Finas. Allahyarham adalah ahli jawatankuasa Biro Pelakon Karyawan.

"Pada waktu itu, dia nampak gembira seperti biasa. Tapi baru-baru ini ketika saya berada di Sarawak, dia ada menghubungi saya.

"Ketika berbual, saya sempat suruh dia jaga kesihatan dan jangan lupa makan ubat. Waktu itu dia menangis sepanjang kami berbual di telefon," luah Azizul yang turut menyifatkan abangnya itu seorang yang peramah dan periang.

Allahyarham merupakan anak kelima daripada tujuh beradik.

Dalam pada itu, presiden Karyawan, Freddie Fernandez menyifatkan Khairil seorang staf Karyawan yang dedikasi dan bertanggungjawab dalam melakukan setiap kerja yang diberikan.

“Kami di Karyawan merasakan kehilangannya kerana dia merupakan seorang yang jujur dan rajin bekerja serta sentiasa berusaha membantu artis lain.

“Kalau ada masalah artis, dia akan beri bantuan untuk selesaikan masalah. Dia juga akan hadiri semua mesyuarat.

“Dia seorang yang sentiasa bekerja keras dan rajin walaupun turut menjalankan tugasnya sebagai penyanyi, pelakon dan pengurus produksi TV.

“Kami pasti akan merinduinya pada masa akan datang,” katanya yang terkejut apabila mendengar berita kematian Khairil.

Kata Freddie, dia melihat Khairil sihat dan masih sempat menghadiri beberapa mesyuarat AJK dalam beberapa minggu ini.

Tambahnya, dia mengetahui Khairil pernah dimasukkan ke hospital kerana masalah kesihatan.

“Bagaimanapun, saya ingatkan dia sudah kembali sihat sepenuhnya selepas kali terakhir dimasukkan ke hospital sejak setahun lepas,” ujar Freddie.

Sementara itu, penyanyi Nash yang menyampaikan berita kematian Allahyarham kepada mStar pagi tadi turut melahirkan rasa sedih dengan kehilangan rakannya itu.

"Saya mengetahui berita sedih ini melalui pelakon Liza Abdullah pagi tadi. Saya mengucapkan takziah atas pemergian allahyarham. Semoga rohnya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh," katanya.

Kesemua ahli keluarga, saudara mara, anak angkat, adik angkat serta rakan-rakan artis arwah, hadir pada upacara pengebumian.

Antara rakan artis yang menghadiri upacara pengebumian arwah Khairil ialah Datuk Salwa Abdul Rahman, Nassier Wahab, Ramlah Ram, Noraniza Idris, Fareez, N.D Lala dan Ibnor Reza.

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan