Faizal Tahir tetap hadiri APM di Jakarta

Diterbitkan: Jumaat, 17 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: "Tiada apa-apa sebenarnya, hal sudah selesai. Faizal tetap hadiri APM dan telah pun berangkat ke Jakarta," ujar Ketua Pegawai Eksekutif 8TV dan Penerbit Eksekutif Monkeybone, Ahmad Izham Omar ketika diminta mengulas tentang artisnya, Faizal Tahir yang dilaporkan gagal menaiki pesawat untuk menghadiri Anugerah Planet Muzik (APM) di Jakarta, semalam, akibat tidak melunaskan bayaran pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut laporan sebuah akhbar hari ini, Faizal dikatakan tidak dapat menyertai rombongan artis tempatan lain menaiki pesawat untuk ke Jakarta dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang, petang semalam setelah gagal melepasi saringan Imigresen.

Sekatan ke luar negara untuk kira-kira 78,000 peminjam PTPTN yang gagal membayar hutang mereka telah dikeluarkan oleh perbadanan itu sebelum ini.

Menurut Izham, dia sendiri kurang pasti sama ada sekatan terhadap Faizal itu benar-benar disebabkan oleh masalah PTPTN, atau hal-hal lain.

"Saya sendiri tidak begitu pasti. Tapi jika tidak silap saya, ada sedikit masalah yang berlaku ketika itu, namun ia dapat diselesaikan.

"Lagipun, apa yang lebih merisaukan saya ketika ini ialah keselamatan artis-artis kita di sana ekoran kejadian letupan bom yang berlaku di Jakarta pagi tadi (Jumaat)," kata Izham, sambil enggan mengulas lanjut tentang insiden 'sekatan' terhadap Faizal itu.

APM akan berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta malam esok. Faizal turut tercalon bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular dan Artis Serantau Paling Popular pada anugerah tersebut.

Dalam pada itu, Pengurus Artis 8 Unit, Jacynta berkata, insiden yang berlaku semalam dianggap hanyalah satu masalah kecil.

"Ada sedikit masalah kecil berlaku di Imigresen dan tiada kena-mengena dengan PTPTN. Faizal telah pun menaiki pesawat ke Jakarta hari ini. Memang dia sangat teruja untuk ke sana, malah ramai yang berharap Faizal dapat turut serta di APM kerana dia turut membuat persembahan.

"Lagipun, seperti mana yang Izham katakan tadi, kami lebih memikirkan tentang keselamatan artis di sana gara-gara letupan bom tersebut. Tapi, menurut penganjur, kejadian itu tidak akan menjejaskan perjalanan APM," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan