"Setem" membanggakan, setaraf filem komedi antarabangsa

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Barisan krew dan pelakon filem 'Setem'.-foto THE STAR oleh AZMAN GHANI
Barisan krew dan pelakon filem 'Setem'.-foto THE STAR oleh AZMAN GHANI

TIGA filem romantis 'Cinta', 'Sepi' dan 'Love' di bawah garapan pengarah terkenal Kabir Bhatia berjaya menyentuh hati. Mungkin sebab itu, 'buah tangan' terbarunya, filem komedi "Setem" sesuatu yang dinanti-nantikan.

Filem komedi padat dengan aksi ini bermula dengan Charles Barring IV mengadakan sidang akhbar di A Famosa.

Beliau mempamerkan warisan keluarganya, Setem Barring. Setem Barring melalui perjalanan yang panjang dan kini kembali ke bumi Melaka, di mana ia dihasilkan.

Ianya akan dipamerkan di Muzium Melaka. Sid dan Joe menghadiri sidang akhbar itu, dengan tujuan mahu mencuri setem yang dianggarkan bernilai jutaan ringgit.

Sebenarnya, Pak Ramli yang memaksa Sid dan Joe mencuri setem tersebut. Mahu tidak mahu, Sid dan Joe terpaksa melakukannya kerana budi Pak Ramli yang menjaga mereka di rumah anak yatim tersebut.

Setem tidak sampai ke tangan Sid & Joe tapi singgah di tangan Aryanto, seorang pendatang tanpa izin yang tidak mengetahui apa-apa.

Aryanto membawanya ke rumah kongsi Marcello. Malangnya sekali lagi setem tersebut singgah ke tangan orang lain pula iaitu Iskander, pemuda buta yang juga tidak mengetahui apa-apa tentang setem tersebut.

Yasmin, kakak Iskander yang ternampak setem tersebut, lalu menampalnya pada surat permohonan untuk membiayai pembedahan mata Iskander.

Siapakah yang memilikinya? Apa pula berlaku kepada mereka semua? Nantikan ‘SETEM’ di pawagam tidak lama lagi.

Berikut adalah dua ulasan yang agak memberangsangkan setelah menyaksikan tayangan perdana filem 'SETEM' di Tropicana City Mall baru-baru ini:

Ulasan KEITH JONATHAN DEUNTZER

Mungkin sebelum ini ramai yang masih lagi ragu-ragu tentang sambutan yang akan diperolehi apabila pengarah filem yang terkenal dengan cerita romantik seperti Sepi dan Cinta, Kabir Bhatia memutuskan untuk mengarahkan filem baru genre komedi.

Namun semuanya terjawab semalam selepas filem itu berjaya membuai hadirin yang datang menonton tayangan perdana filem itu di Tropicana City Mall.

Rata-ratanya begitu terhibur dan berpuas hati dengan jalan penceritaan serta watak yang ditonjolkan dalam filem itu.

Mesej yang hendak disampaikan oleh Kabir jelas sekali iaitu orang tamak selalu rugi.

Plot atau jalan penceritaan filem itu sangat mudah diikuti dan sesuai ditonton semua lapisan masyarakat.

Walaupun durasi filem itu agak lama iaitu hampir 2 jam, tetapi plotnya yang begitu menarik menyebabkan masa yang berlalu ketika menonton filem itu seperti 'tidak terasa'.

Kabir begitu bijak menghiburkan penonton dengan plot yang sukar dijangka dengan memaparkan perjalanan setem yang menjadi rebutan ramai pihak dan saling bertukar tangan itu.

Filem tersebut penuh dengan aksi padat dan meningalkan kesan yang mendalam kepada penonton.

Lawak jenaka yang diselitkan dalam filem itu juga sangat berkesan lebih-lebih lagi ia dibintangi oleh pelakon yang tidak asing lagi dalam genre komedi seperti Afdlin dan Sathiya.

Malah ini diakui sendiri oleh Afdlin ketika sidang akhbar.

"Watak yang dibawa oleh Sathiya mempunyai impak yang sangat kuat" akui Afdlin.

Gabungan Afdlin dan Rashidi Ishak serta Sathiya dan Indi Nadarajah dalam filem itu adalah faktor utama yang memberi kekuatan kepada filem itu.

Walaupun ini merupakan penampilan sulung Isma Yusof, tetepi beliau berupaya melakonkan karakter Adyanto (seorang warga Indonesia yang datang ke Malaysia mencari pekerjaan) dalam filem itu dengan baik.

Que Haidar juga berjaya menjiwai wataknya sebagai seorang yang buta.

Teknik pengambaran yang digunakan oleh Kabir juga menarik terutamanya apabila beliau menampilkan pengunaan CGI (imej janaan komputer) ketika aksi adengan tembak-menembak antara Burn (Bront Palarae) dan pihak polis.

Kesan-kesan khas seperti aksi letupan di sebuah rumah dan perlanggaran kereta kelihatan lebih 'real' dalam filem ini.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan ada sekual filem Setem, Kabir menjelaskan ia bergantung kepada sambutan filem ini terlebih dahulu.

Beliau menambah sekiranya ada sekual untuk filem ini ia akan dinamakan sebagai 'Syiling'.

Ini merupakan kali pertama Kabir menulis sendiri sebuah skrip penuh untuk filemnya.

Pujian harus diberikan kepada beliau kerana berjaya menarik 'mood' penonton melalui skripnya itu.

Harapan untuk filem yang menelan belanja RM 1.8 juta ini dinobatkan sebagai salah satu filem terbaik untuk tahun ini, amat cerah.

Tak sangka produksi tempatan pun boleh menghasilkan filem komedi bertaraf antarabangsa seperti 'Setem'!

Ulasan AU YEONG HOW

Menonton filem 'Setem' adalah resipi terbaik untuk menceriakan kehidupan serta menghilangkan stres.

Sebabnya penonton filem tidak akan kering gusi sepanjang 110 minit tayangannya.

Tabik kepada pengarah filem, Kabir Bhatia kerana filem genre komedi pertama arahannya meninggalkan impak yang mendalam.

Kabir mempunyai cara tersendiri untuk 'mempermainkan' emosi para penonton.

Jika mereka yang pernah menonton tiga filem cinta arahan terdahulunya, 'Cinta', 'Sepi' dan 'Love' mengesatkan air mata, penonton kini ketawa terbahak-bahak melihat skrip 'Setem' dirungkaikan.

Pengarah tersohor ini mempunyai sentuhan magis untuk memancing, mengekalkan dan mengembangkan minat para penonton melalui tempoh tayangan selama 110 minit itu.

Semasa tayangan perdana filem 'Setem' baru-baru ini, penulis yang berpeluang menontonnya mendapati tiada sesiapa berganjak dari kerusi empuk di situ.

Dewan itu bergema dengan hilai ketawa dan tepukan gemuruh. Boleh dikatakan setiap karakter berupaya 'menggeletek' para penonton.

Pujian harus diberikan kepada Afdlin Shauki, Bront Palarae, Indi Nadarajah dan Sathia.

Karakter-karakter mereka adalah penuh humor. Percakapan mereka, gaya pakaian, mahupun bahasa badan cukup melucukan!

Ahli komedi, Sathia layak digelar Raja Lawak menerusi filem ini. Setiap babak kemunculannya pasti mengundang gelak ketawa yang tidak keruan.

Gandingan penglipur lara Sathia ialah semestinya Afdlin Sathiya. Mereka menghidupkan keseluruhan skrip 'Setem'.

Di sini terletaklah kekuatan Kabir. Jalan cerita 'Setem' penuh aksi ini diserikan dengan unsur humor.

Pun begitu, logik sebenar kadang-kala diketepikan.

Misalnya, Bront Palarae masih hidup walaupun dibom. Afdlin mengelak peluru dengan menggunakan kotak mekanik ketika terperangkap dalam but kereta.

Perkara remeh itu boleh diketepikan kerana penonton sudah leka dibuai keseronokan humor yang cuba dipaparkan oleh penonton.

Malah, jalan cerita filem 'Setem' begitu lancar dan licin. Kabir dapat membawa para penonton menghayati pelbagai suasana, dari pelbagai perspektif watak berbeza, dalam satu-satu masa!

Pendek kata, Kabir berjaya menyulamkan plotnya dengan begitu baik sekali. Penonton dapat melayari perjalanan dengan mudah sekali.

Secara keseluruhannya, langkah (pace) filem ini agak meleret-leret kerana titik noktahnya tak kunjung tiba pada sesuatu ketika.

Bagaimanapun kita perlu ingat, filem 'Setem' adalah bergenre komedi dan aksi. Apa yang penting, Kabir berjaya menunjukkan kepada kita filem padat dengan aksi tidak semestinya melibatkan pertumpahan darah...

Para penonton pun boleh bergelak ketawa sambil melihat watak-watak utama terlibat dalam aksi mencemaskan.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan