Filem Tamil versi Melayu cara Mamat Khalid

Diterbitkan: Khamis, 16 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Farid Kamil dan Jasmine, antara tunggak utama filem Estet
Farid Kamil dan Jasmine, antara tunggak utama filem Estet

SIAPA yang tidak kenal dengan sutradara yang cukup terkenal dengan idea 'merapu' dalam karya-karyanya seperti yang dihasilkan di dalam filem arahannya sebelum ini iaitu Lang Buana, Rock, Man Laksa, Zombie Kampung Pisang dan Kala Malam Bulan Mengambang.

Ada saja idea yang muncul di fikirannya setiap kali tampil dengan filem baru. Malah, Mamat Khalid yang pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem hitam putih Kala Malam Bulan Mengambang sekaligus merangkul anugerah Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM 21) tahun lalu tidak pernah ambil pusing jika ada yang 'menghentam' karyanya itu.

Bagi Mamat, dia mempunyai cara dan pendirian tersendiri ketika berkarya. Apa yang pasti, ujar Mamat, dia sentiasa akan cuba mencari formula untuk menghasilkan filem yang mengetengahkan konsep kenegaraan.

Terbaru, pengarah ini akan mempertaruhkan filem Estet yang bakal ditayangkan di pawagam sekitar penghujung tahun ini dan merupakan filem pertama di bawah produksinya sendiri, Naga VXS Sdn Bhd.

Membariskan barisan pelakon Melayu dan India seperti Farid Kamil, Rosyam Nor, Shashi Tharan, Jasmine Michael dan Kenchana Devi, filem Estet juga turut menampilkan penyanyi Alleycats, David Arumugam pertama kalinya beraksi di layar perak.

Menariknya, filem ini banyak dipengaruhi dengan elemen filem-filem Tamil, yang mana disifatkan oleh Mamat sebagai satu kelainan dalam usahanya mengetengahkan konsep kenegaraan di dalam karyanya.

"Filem Estet ini bagi saya adalah satu-satunya filem yang menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak terhadap konsep 1Malaysia. Malah, ketika saya menghasilkan filem ini, konsep tersebut masih belum diperkenalkan.

"Ini adalah sebuah filem kenegaraan yang saya selitkan dengan unsur hiburan dan mesej. Tetapi, saya tidak lakukannya dalam bentuk 'bersyarah' tentang negara, saya olahkan dengan pelbagai elemen lain seperti komedi, cinta dan tragedi.

"Pada masa yang sama, saya terapkan elemen keakraban berbilang bangsa yang sedia ada di negara ini walaupun ramai yang tidak menyedarinya," kata Mamat yang ditemui pada penggambaran muzik video lagu tema filem Estet, berjudul Ayuh Kawan, nyanyian Awie dan penyanyi Tamil, Siva yang dilakukan di Institut Penyelidikan Getah Malaysia, Sungai Buloh semalam.

Mengulas lanjut tentang filem yang turut mendapat bantuan dana daripada Finas ini, kata Mamat, dia mengibaratkan Estet sebagai sebuah filem Tamil yang dibuat dalam versi Melayu kerana turut memasukkan elemen yang sering boleh disaksikan di dalam filem-filem Tamil.

"Estet memang banyak dipengaruhi oleh filem Tamil. Seperti yang kita sering saksikan di dalam filem Tamil terutamanya untuk adegan pergaduhan seperti tumbuk-menumbuk yang lengkap dengan bunyinya sekali, saya juga turut berbuat demikian di dalam filem ini.

"Babak-babak menyanyi dan menari juga pastinya ada. Malah, dalam filem ini, saya turut masukkan 20 peratus dialog bahasa Tamil dan selebihnya bahasa Melayu," tutur Mamat mengenai filem yang memaparkan kehidupan masyarakat estet itu.

Jelas Mamat lagi, filem ini bagaimanapun mengambil masa lebih kurang setahun untuk disiapkan memandangkan ia memerlukan banyak penggunaan teknik CGI.

"Filem ini mempunyai 33 minit babak yang menggunakan teknik CGI. Jadi sudah tentu prosesnya agak memakan masa juga untuk disiapkan. Lagipun, memandangkan ini adalah filem sulung produksi saya, sudah tentu saya ingin hasilkannya sebaik mungkin.

"Tetapi secara peribadi, saya berpuas hati dengan filem ini, sama seperti filem-filem saya terdahulu. Malah, saya rasakan Estet adalah gabungan elemen lima buah filem yang pernah saya hasilkan sebelum ini.

"Jika filem ini mampu mendapat sambutan ramai, ia adalah satu kejayaan yang besar buat saya. Sudah tentu semua penerbit mengharapkan filem terbitan mereka mampu meraih kutipan yang memberangsangkan.

"Tetapi, saya yakin, filem ini ada tarikan tersendiri untuk diterima ramai," kata Mamat yang turut gembira filem ini layak menyertai Festival Filem Malaysia ke-22 tahun ini.

Ditanya mengenai barisan pelakonnya pula, jelas Mamat, dia sememangnya berpuas hati dengan pelakon-pelakon yang terbabit di dalam filem ini.

"Farid dan Rosyam memang sudah terbukti kemampuan mereka. Malah, Farid turut sahut cabaran untuk menari di dalam filem ini. Begitu juga dengan barisan pelakon India yang membintangi filem ini.

"Sebagai contoh Shashi dan Jasmine, walaupun nama mereka tidak dikenali oleh masyarakat Melayu, tetapi mereka adalah antara pelakon India tempatan yang hebat dan pernah memenangi anugerah pelakon terbaik di dalam majlis anugerah hiburan India tanahair.

"Malah, percaturan saya menjemput Datuk David Arumugam juga rasanya sesuai kerana dia merupakan salah seorang ikon muzik bagi masyarakat Melayu dan India," ujarnya.

Bercerita tentang muzik Video lagu tema filem itu, Ayuh Kawan, kata Mamat, lagu itu merupakan satu gabungan indah antara bahasa Melayu dan Tamil dalam menyampaikan mesej perpaduan.

"Lagu ini sebenarnya dinyanyikan oleh Farid dan Shashi di dalam satu babak filem ini. Tetapi nyanyian itu menggunakan vokal Awie dan Siva. Apa yang menariknya, lirik Tamil dalam lagu ini dinyanyikan oleh Awie, manakala Siva menyanyikan bait-bait bahasa Melayu," katanya.

Secara ringkasnya, kisah Estet bermula apabila Estet Cinta Manis digemparkan dengan berita mengenai perlawanan bola sepak yang akan diadakan bersama Estet Red Cobra yang telah 20 tahun tidak diadakan.

Pertandingan antara dua estet itu sebenarnya diwujudkan semula atas satu tujuan tertentu.

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan