Anita Sarawak sahut cabaran Perang Kuali

Diterbitkan: Selasa, 14 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Bidang pengacaraan bukan lagi asing bagi diva tersohor ini. Terbaru, Anita Sarawak boleh disaksikan menerusi program realiti masakan, Perang Kuali - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Bidang pengacaraan bukan lagi asing bagi diva tersohor ini. Terbaru, Anita Sarawak boleh disaksikan menerusi program realiti masakan, Perang Kuali - foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

KREDIBILITI diva tersohor ini sebagai pengacara memang tidak boleh disangkalkan lagi. Gelagat spontan dan kepetahannya berbicara tatkala mengendalikan program-program seperti Anita, Chef Diva dan Kwek Mambo Anita tidak lama dulu memang cukup menghiburkan.

Itulah keistimewaan selebriti bernama Anita Sarawak ini. Bukan saja hebat sebagai penghibur, malah bidang pengacaraan juga sudah tidak asing lagi di dalam kamus hidup wanita berusia 57 tahun ini.

Terbaru, wajah eksklusif Astro ini kembali mengendalikan sebuah program realiti masakan berkonsepkan 'game show' iaitu Perang Kuali yang bakal bersiaran di Astro Prima bermula 17 Julai ini, setiap Jumaat pada pukul 7.30 malam.

Menurut Anita yang mesra dengan panggilan Kak Nita ini, berbeza dengan program-program yang pernah dihoskannya sebelum ini, Perang Kuali cukup mencabar kerana selain tidak berpandukan sebarang skrip, dia juga perlu bijak menyuntik elemen keseronokan agar program ini nampak 'hidup'.

"Ini adalah kali pertama saya terlibat sebagai hos untuk program realiti. Saya akui, ia memang amat mencabar apatah lagi rakamannya bukan di buat di dalam studio, tetapi di tempat terbuka iaitu di Carrefour Ampang.

"Tetapi saya gembira kerana Astro memberi kebebasan idea kepada saya untuk menyuntik elemen 'excitement' di dalam program ini. Sebelum memulakan rakaman setiap episod, kami akan berkumpul untuk berbincang idea-idea menarik.

"Apa yang pasti, program ini memang menyeronokkan," kata Anita yang ditemui pada sidang media program itu di Bukit Damansara, semalam.

Secara keseluruhannya, program 15 episod ini mengetengahkan pembabitan ahli keluarga yang mana pada setiap minggu, rancangan ini akan melihat dua buah pasukan yang terdiri daripada empat orang ahli keluarga bertanding bagi merebut 'kuali emas'.

Bermula di peringkat saringan selama lapan episod, si bapa ditugaskan untuk memasak dan si isteri pula hanya dibenarkan untuk membantu saja.

Dua orang anak akan ditugaskan untuk membeli keperluan barang-barang yang akan dimasak. Peserta-peserta yang bertanding tidak akan mengetahui menu yang perlu disediakan sehinggalah dimaklumkan oleh Anita dan artis undangan pada setiap minggu.

Antara selebriti yang diundang ialah Mawi, Ekin, Chef Ismail, Jasmin Hamid, Isma AF, Amber Chia, Anita Baharom, Zarina Zainuddin dan suami Anita sendiri, Mahathir.

Di peringkat suku akhir yang akan bermula dari episod sembilan hingga 12, tugasan memasak diberikan kepada si suami dan seorang anak manakala tugas untuk membeli barang-barang keperluan diberikan kepada ibu.

Kebebasan untuk mengagih-agihkan tugasan sama ada memasak, membantu dan membeli keperluan di antara ahli keluarga akan diberikan di peringkat separuh akhir iaitu episod 13 dan 14.

Pada setiap episod, satu kejutan akan diberikan di pertengahan rancangan apabila dua ahli keluarga iaitu anak-anak dikehendaki untuk menyertai permainan yang disediakan. Mereka yang memenangi permainan ini berpeluang untuk memperolehi satu lagi bahan yang dapat menambahkan lagi keenakan menu yang disediakan.

Di akhir rancangan, masakan mereka akan diadili oleh artis undangan dan Anita sendiri berdasarkan keenakan dan kreativiti masakan masing-masing.

Untuk pusingan akhir kelak, peserta perlu melalui empat buah permainan untuk memenangi 'troli emas'. Pada pusingan akhir itu, tugasan memasak akan diserahkan kepada pasangan suami isteri.

Menariknya, para peserta harus meneka menu dan bahan-bahan yang diperlukan berdasarkan arahan cara-cara untuk menyediakan hidangan itu. Sebanyak tiga jenis menu harus disediakan.

Menurut Anita lagi, walaupun dia pernah mengendalikan program masakan Chef Diva sebelum ini, tetapi Perang Kuali tampil dengan konsep yang berbeza dan dilihat turut menonjolkan mesej tersendiri.

"Ketika pertama kali melakukan sesi 'brainstorming', saya sudah rasakan bahawa program ini memang unik. Ada 'part' yang serius dan ada yang menghiburkan. Dan apa yang menariknya juga adalah ketika sesi penilaian masakan yang akan dibuat oleh saya dan artis undangan.

"Tetapi, apa yang saya lihat, program ini sekadar tidak langsung dapat menggalakkan anak-anak mahupun suami untuk turut ke dapur sekaligus mengeratkan lagi ikatan kekeluargaan," kata diva yang juga bakal mengadakan konsert sulungnya di Singapura tidak lama lagi.

Dalam pada itu, mengulas lanjut tentang format program ini, kata Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, saluran tersebut sememangnya ingin menampilkan sebuah program masakan, namun kerana inginkan kelainan, konsep 'game show' seperti itu akhirnya diketengahkan.

"Astro Prima memang sudah mula menyiarkan program bercorak masakan seperti Warung Kita. Tetapi rasanya, ia akan lebih menarik jika ditampilkan dalam konsep yang berbeza dengan menyelitkan pelbagai aktiviti, selain memfokuskan kepada masakan saja.

"Program ini telah pun selesai menjalani rakaman sekitar penghujung Mei lalu. Dari segi peserta, kita telah mengadakan sesi ujibakat sebelum itu yang mana kita telah mengadakan ujian personaliti terhadap mereka untuk memastikan program itu mempunyai peserta-peserta yang dapat menceriakan suasana," kata Nizam.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan