Filem "Zoo" tidak cedok filem "Night at the Museum"

Diterbitkan: Isnin, 13 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Para pelakon dan David Teo bermesra dengan seekor kuda di dalam zoo itu. -foto The Star oleh ONG SOON HIN
Para pelakon dan David Teo bermesra dengan seekor kuda di dalam zoo itu. -foto The Star oleh ONG SOON HIN

FILEM komedi fantasi yang mengisahkan interaksi antara manusia dan haiwan sentiasa mendapat tempat di hati para penonton, tanpa mengira usia.

Antara filem-filem sedemikian yang berada di pasaran termasuklah Adventura, Dr. Dolittle dan Animal. Terbaru, Metrowealth (MIG) Production Sdn. Bhd. menerbitkan filem genre sama, iaitu filem "Zoo".

Penerbit filem "Zoo", David Teo berkata, pihaknya ingin mencari nafas baru sekali gus mencetuskan kelainan pada industri filem tempatan.

Menurutnya, filem yang menelan kos RM1.8 juta tersebut menghidangkan penceritaan yang lebih kepada 'bercitarasakan' Malaysia.

Katanya, teknik penggambaran Computer Generated Imagery (CGI) dan sistem audio Dolby Digital Sound digunakan untuk "menghidupkan" watak-watak haiwan.

"Genre filem itu tidak pernah dihasilkan di Malaysia dan ini bakal membuka lembaran baru dalam industri perfileman negara.

"Seisi keluarga pastinya akan terpaku melihat aksi haiwan-haiwan dan jalan ceritanya yang menarik," kata Teo pada majlis pelancaran dan doa selamat filem "Zoo" di Bear Complex, Zoo Negara, Jumaat lalu.

Sehingga kini, filem "Zoo" merupakan filem ke-35 terbitan MIG Sdn. Bhd.

Ia membariskan barisan pelakon komedi seperti Lan Pet Pet, Lisa Surihani, Bob Lokman, Azlee Jaafar, Angah (Raja Lawak), Jesse Lim dan sebagainya.

Menurut Teo, pembikinan filem tersebut akan menggunakan haiwan dari Zoo Negara sendiri seperti gajah, burung, singa, zirafah dan kuda.

"Malah hampir 70 peratus penggambaran filem akan dijalankan di Zoo Negara dan selebihnya di sekitar Kuala Lumpur bermula dari 15 Julai ini sehingga 8 Ogos ini," katanya yang menyasarkan filem 'Zoo' mampu meraih hasil kutipan tiket sebanyak RM10 juta.

Mengenai pemilihan Lan dan Lisa sebagai watak utama filem tersebut, Teo berkata: "Lan Pet Pet boleh berinteraksi dengan binatang dan haiwan.

"Bila nampak burung, dia boleh buat bunyi seperti siulan burung. Dia boleh berinteraksi dengan haiwan," katanya.

Bagi Lisa pula, Teo memberitahu, selebriti itu telah membuktikan kewibawaannya sebagai pelakon berbakat besar menerusi beberapa filem lakonannya sebelum ini.

Jika diselusuri jalan cerita filem "Zoo" ini, ia seakan-akan sama dengan filem "Night at the Museum" (2006).

Ini kerana kisahnya adalah hampir sama iaitu haiwan "berinteraksi" dengan manusia pada waktu malam. Perbezaannya cuma satu berlatarkan muzium sementara satu lagi di zoo.

Untuk itu, Teo menepis dakwaan bahawa filem terbarunya mencedok intipati filem "Night at the Museum". "Genre mungkin sama tetapi penyampaiannya berbeza-beza," jelas Teo.

SINOPSIS

Zoo merupakan sebuah filem komedi fantasi. Ia mengisahkan seorang jejaka bernama Lan yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan. Sikapnya yang 'gila-gila' membawa padah kepada dirinya apabila sering diberhentikan kerja.

Pada suatu hari, ketika sedang menjual minuman di hadapan zoo, Lan secara tidak sengaja telah menyertai satu sesi temuduga yang dikendalikan pengurus zoo, Encik Din. Lan mendapat jawatan tersebut.

Dari saat itulah bermulalah kisah Lan bersama haiwan-haiwan di zoo sebagai pengawal keselamatan. Lan telah diperkenalkan kepada seorang pekerja di situ iaitu Shila.

Menurut Shila, ramal pengawal di zoo telah lari selepas semalaman bekerja. Mereka mendakwa haiwan di zoo boleh bercakap tetapi Shila sendiri tidak mempercayainya.

Lan yang mendengar cerita daripada Shila bukan sahaja tidak mempercayainya malah telah mentertawalkannya. Pelbagai insiden lucu berlaku pada hari pertama rondaan Lan di zoo tersebut.

Lan sendiri melihat haiwan-haiwan seperti singa, gajah, zirafah, monyet dan sebagainya bercakap dan menegur Lan. Lan demam keesokan harinya.

Lan menceritakan perkara itu kepada Shila dan Encik Din tetapi mereka tidak mempercayainya. Begitu juga dengan Encik Osman yang turut bekerja di zoo tidak mempercayai kata-kata Lan.

Osman pula pandai membodek Encik Din dan berlagak seperti pekerja yang baik dan boleh dipercayai.

Pada suatu hari, zoo tersebut kecoh dengan kes kehilangan haiwan-haiwan eksotik.

Osman yang terkenal dengan sikap yang tidak disenangi telah menuduh Lan bersubahat dengan penjenayah mencuri haiwan-haiwan tersebut.

Encik Din yang percaya dengan semua tuduhan Osman itu telah memberikan surat amaran kepada Lan. Lan telah meminta pertolongan haiwan-haiwan tersebut untuk membuktikannya tidak bersalah.

Menerusi siasatan yang dibuat oleh Lan dan haiwan-haiwan di zoo, mereka mendapati sindiket diketuai

oleh Rain dan dibantu oleh Bad telah menyeludup haiwan-haiwan itu keluar dengan bantuan orang dalaman.

Lan telah menamakan beberapa suspek yang dicurigai tetapi tiada bukti kukuh untuk menuduh mereka.

Selang beberapa hari, zoo menjadi lebih kecoh apabila lebih banyak haiwan telah dicuri.

Adakah Lan dapat membuktikan bahawa dirinya tidak bersalah? Adakah tepat dakwaan Lan terhadap suspek-suspek tersebut? Bagaimanakah haiwan-haiwan itu dan Lan sendiri dapat membantu antara satu sama lain?

Saksikan Zoo untuk mengetahui kesudahannya...

iklan

Video

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Selasa, 14 November 2017 2:00 PM

Nasi Kandar 3 Jam!

Selasa, 14 November 2017 9:00 AM

“Penat..Tapi Best!” - Nad Zainal

Kolumnis

iklan

Iklan