APM2009: Siti senarai teratas Artis Serantau Paling Popular!

Diterbitkan: Sabtu, 11 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Mungkinkah Siti akan berjaya mengekalkan takhtanya sebagai Artis Serantau Paling Popular dalam APM2009?
Mungkinkah Siti akan berjaya mengekalkan takhtanya sebagai Artis Serantau Paling Popular dalam APM2009?

KEPUTUSAN tidak rasmi yang diperolehi semalam menunjukkan penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin berada pada kedudukan teratas bagi kategori Artis Serantau Paling Popular dalam Anugerah Planet Muzik (APM) 2009.

Seminggu lalu, kedudukan Siti yang memegang takhta itu selama lapan tahun berturut-turut itu ‘dicantas’ oleh band popular Indonesia, ST12. Band itu kini berada di tempat ketiga.

Undian khidmat pesanan ringkas (SMS) setakat ini menunjukkan Siti berjaya menduduki tempat pertama dengan 22 peratus, diikuti penyanyi popular Singapura, Hady Mirza (13 peratus), ST12 (13 peratus), penyanyi popular Indonesia Agnes Monica (13 peratus) dan penyanyi popular Singapura Taufik Batisah (8 peratus).

Menurut pihak penganjur, Pengarah Urusan Beyond Events Sdn. Bhd., Amin Hussen, selepas sidang media meuar-uarkan supaya menyokong artis tempatan dibuat pada minggu lalu, undian SMS bagi kategori itu menunjukkan banyak perubahan.

“Undian (Artis Serantau Popular) banyak perubahan. Itu menunjukkan ramai pihak yang menyokong artis tempatan.

“Bagaimanapun, sejak undian bagi Singapura mula dibuka semalam, pengundi di negara itu memberikan saingan yang sangat kuat hingga menyebabkan penyanyi tempatan Faizal Tahir ketinggalan di belakang sedikit.

“Kita harap pengundi di Malaysia akan terus mengundi artis tempatan,” ujar Amin ketika dihubungi.

Keputusan tidak rasmi pada Khamis minggu lalu menunjukkan Faizal berada di tangga ketiga selepas Siti.

Waktu undian SMS untuk kategori Artis Serantau Paling Popular di Malaysia dibuka sejak 18 Jun lalu terlebih awal berbanding Indonesia yang dibuka undian mulai 28 Jun lalu diikuti dengan undian di Singapura yang dibuka bermula 10 Julai.

Selain Siti dan Faizal, Malaysia turut mempertaruhkan dua artis tempatan lagi untuk bersaing dalam kategori itu iaitu Hujan dan Meet Uncle Hussain.

Sementara itu, artis Indonesia yang turut bertanding bagi kategori Artis Serantau Paling Popular adalah Afgan dan Nidji manakala artis Singapura adalah Aliff Aziz dan Ahli Fiqir.

Jelas Amin, undian kategori Artis Serantau Paling Popular agak penting untuk ditekankan kerana artis setiap negara diberi peratusan yang sama rata iaitu 33.3 peratus

APM2009 turut membuka peluang kepada pengundi di Malaysia untuk mengundi 12 artis tempatan yang bersaing dalam kategori Artis Malaysia Paling Popular iaitu Aizat, Anuar Zain, Bunkface, Estranged, Faizal Tahir, Hujan, Mawi, Meet Uncle Hussain, Misha Omar, Siti Nurhaliza, Stacy dan Yuna.

Mereka yang ingin mengundi, bolehlah melihat paparan nombor-nombor kod setiap artis di KOSMO! Dan HAI sejak bulan lalu, tidak ketinggalan juga di laman web www.sinarfm.com.my iaitu stesen radio Sinar FM selaku radio rasmi, murai.com, Era TV, Chat @ 15, Astro Ria, Awani Pagi dan Gala TV di Astro Awani.

Cara undian adalah dengan menghantar SMS: APM MY1 hingga MY12 dan hantar ke 33660 bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular manakala APM AS1 hingga AS12 dan hantar ke 33660 bagi kategori Artis Serantau Paling Popular.

Artis Malaysia Paling Popular: Aizat (MY1), Anuar Zain (MY2), Bunkface (MY3), Estranged (MY4), Faizal Tahir (MY5), Hujan (MY6), Mawi (MY7), Meet Uncle Hussain (MY8), Misha Omar (MY9), Siti Nurhaliza (MY10), Stacy (MY11) dan Yuna (MY12).

Artis Serantau Paling Popular: Artis Singapura- Aliff Aziz (AS1), Ahli Fiqir (AS2), Hady Mirza (AS3), Taufik Batisah (AS4); Artis Malaysia- Faizal Tahir (AS5), Hujan (AS6), Meet Uncle Hussain (AS7), Siti Nurhaliza (AS8); Artis Indonesia- Afgan (AS9), Agnes Monica (AS10), Nidji (AS11) dan ST12 (AS12).

APM2009 yang akan diadakan buat pertama kalinya di Jakarta pada 18 Julai ini sedang hangat menjalankan promosi dan perancangan untuk menjayakan malam anugerah berprestij itu.

Bertempat di Pusat Konvensyen Jakarta, pukul 9 malam (waktu tempatan), majlis itu akan diserikan dengan persembahan artis seperti Stacy, Reshmonu, Hujan, Aizat, Dafi, Ayu, Faizal Tahir dan Siti.

Sementara artis Indonesia yang turut berkongsi pentas adalah ST12, Kuburan, Yovie N Nuno, Kotak, Bunga Citra Lestari, Nidji, Afgan dan Dewi Sandra tidak lupa artis Singapura iaitu Taufik Batisah, Didicazli, Nana dan Hady Mirza.

Menyentuh tentang wabak Selesema Babi (H1N1) yang sedang melanda dunia sekarang sehingga membuatkan orang ramai bimbang untuk ke luar negara, Amin berkata setakat ini mereka belum mendapat apa-apa berita yang membimbangkan untuk ke Jakarta.

“Sesiapa yang hendak ke APM 2009 nanti tidak perlu risau kerana kalau sesiapa yang keberatan, mereka boleh memakai topeng muka sama ada di dalam kapal terbang atau di lapangan terbang,” tutur Amin.

Dalam perkembangan lain, Amin juga berkata mereka sedang memaklumkan semua artis di Malaysia dan Singapura yang membuat persembahan supaya melakukan dengan baik.

Kepada peminat-peminat yang ingin menyaksikan APM2009 secara langsung di Jakarta, tempahan pakej pelancongan disediakan oleh agen Beyond Events dengan menghubungi talian 03-2141 5011.

APM2009 juga akan bersiaran secara langsung di Astro Ria, pukul 9 malam.

iklan

iklan

Iklan