Susahnya merungkai 'Intan Yang Tercanai'!

Diterbitkan: Selasa, 7 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

LEMBAGA SUCI... Juhara Ayob (berbaju merah), Fauziah Ahmad Daud (berbaju kuning) dan Norzizi Zulkifli (berbaju hijau).-foto THE STAR oleh RICKY LAI
LEMBAGA SUCI... Juhara Ayob (berbaju merah), Fauziah Ahmad Daud (berbaju kuning) dan Norzizi Zulkifli (berbaju hijau).-foto THE STAR oleh RICKY LAI

BAGI mereka yang tidak faham maksud yang tersirat, tentu akan berkata setiap babak dalam teater 'Intang Yang Tercanai', naskah terbaru Sasterawan Negara Dato' Noordin Hassan nampak pelik dan sukar ditanggapi.

Jangankan hendak cuba faham jalan ceritanya, sinopsisnya saja memerlukan penghayatan. Banyak persoalan akan berlegar di dalam kepala dan jawapan pada setiap persoalan ini memerlukan seseorang berfikir dan terus berfikir.

Sepuitis manapun sepotong ayat yang dilafazkan, ianya membawa maksud berbeza bagi setiap penonton. Umpama sekeping gambar abstrak. Yang dilihat berbeza namun nilainya tetap tinggi kerana ketinggian pencapaian

Tapi begitulah buah tangan Noordin atau lebih mesra disapa 'Cikgu' itu. Seperti semua karya beliau, pemahaman tidak akan lengkap kalau naskah itu tidak diamati dan dikupas di sebalik apa yang tersurat pada dasar jalan cerita itu.

Bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, 'Intan Yang Tercanai' akan dipersembahkan selama lima hari, bermula dari 8 Julai hingga 12 Julai.

Pengkritik filem dan teater tersohor, A.Wahab Hamzah diberi tugas menggalas kerja pengarahan dengan bantuan kekuatan barisan pelakon Mardiana Alwi, Arwindran, Geethanjali dan penampilan istimewa Fauziah Ahmad Daud, Norzizi Zulkifli dan Juhara Ayob.

Ceritanya berkisar keperibadian seorang wanita unggul bernama Ungku Intan Anis (lakonan Mardiana Alwi) dan hubungannya dengan pemuda India bernama Danial Sundaram (lakonan Arwindran).

Anis seorang yang luarbiasa yang sanggup meredah kepanasan dan kepayahan untuk menyatakan sokongan kepada teman baiknya, Danial yang mengangkat kavadi.

Dalam usia muda, Ungku Anis ke Mekah tetapi telah hilang dalam peristiwa Terowong Al-Mu'asyam yang mengorbankan 1426 jemaah haji.

Kehilangannya telah mendorong Danial ke Mekah untuk mencarinya. Di sana, Danial ketemu Hj Faizal, yang mengatakan dia telah membantu Ungku Anis sewaktu peristiwa di terowong tempoh hari dan pernah terlihat kelibat Ungku Anis di Gua Hira'.

Hj Faizal, kemudiannya membawa Danial ke Gua Hira' tetapi Anis telah ghaib di depan mata.... Sekali imbas, tentu kita tidak dapat mengagak apakah kaitan peristiwa di Terowong Al-Mu'asyam dengan kasih sayang yang meragut seluruh jiwa raga Danial. Kasyaf apa yang dimaksudkan dalam cerita ini?

Kisah pemakaian susuk disulam dengan begitu menarik sekali dengan kisah Danial membawa kavadi, 'kashaf' Ungku Anis yang dapat mengagak Danial pakai ihram dan mencarinya di Tanah suci, pengislaman Danial yang tidak mengharapkan ganjaran berkahwin dengan Ungku Anis dan kerakusan manusia yang berasak-asak di terowong hingga ramai yang terbunuh dalam tragedi menyayat hati itu.

Halus sekali naluri Cikgu Noordin menceritakan perihal kemanusiaan. Pemikiran orang Melayu yang selalunya jumud dan bersifat menghukum dipaparkan dalam teater ini. Seperti kisah mak tiri Ungku Anis yang baik hati.

Meskipun dia tidak berpelajaran, menghambakan diri untuk seni dan memakai susuk untuk cantik, dia adalah wanita yang baik budi, membesarkan anak-anak tiri dengan penuh kasih sayang.

Dan mereka yang datang untuk tujuan beribadah tetapi bila tiba di dalam terowong, ada yang terlupa niat asal hingga berasak-asak, memijak, menolak dan terlupa segala batasan hingga berlaku peristiwa menyayat hati yang berakhir dengan kematian.

Di sinilah percaturan baik atau jahat atas neraca timbangan manusia selalu mengatasi apa yang sebenarnya.

Tatacara apakah yang dituntut ketika melaksanakan ibadah haji? Benarkah kita mencontohi cara Rasulullah atau kita sengaja mengabaikan kerana nafsu? Untuk meraih pahala dan keampunan dari Allah, benteng apakah yang perlu kita lepasi?

Hidayah itu datang dalam banyak segi dan kepada sesiapa yang dikehendakkiNya.

Setiap langkah mengucap 'Labbaikallahumma-Labbaik', (Adalah kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu, ya Allah) dan 'Labbaika-la-Syarika-Laka Labbaik' (Tiada sekutu bagi-Mu dan kami memenuhi panggilan-Mu).

Tika laungan ini diulang-ulang sepanjang pementasan 'Intan Yang Tercanai', pilu hati mencari jawapan kemana hilangnya nilai sebuah kemanusiaan. Adakah warna kulit itu memisahkan yang benar dan yang bathil? Musibah dalam apa bentuk sekalipun, seperti kematian yang mampu merobek seluruh jiwa raga manusia tapi apakah hikmahnya untuk mereka yang ditinggalkan?

Sentuhan muzik yang cukup merdu dan menghiburkan, banyak membantu menghidupkan jalan cerita dan suasana yang seharusnya. Pujian untuk pengarah muzik Mohd Hafiz Askiak dengan diserikan oleh korus Teka Voices, UiTM.

'Intan Yang Tercanai' umpama mutiara dan permata berharga yang 'dicanai' begitu indah menjadi satu kalung.

Mungkinkah rungkaian semua permata ini ibarat kualiti seorang manusia mewarnai sebuah kehidupan?

Jika mustahil pada tersurat, carilah pula apa tersirat dalam teater 'Intan yang Tercanai', karya terkini Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan dari 8 hingga 12 Julai 2009 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan