Pergolakan dalam MUH buat ahli Hujan lebih rapat

Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Noh (kanan) bersama dengan Pengarah Urusan Restoran Kunang-Kunang, Syamsul Hisham Nordin pada sidang media sempena persembahan Hujan 24 Julai ini
Noh (kanan) bersama dengan Pengarah Urusan Restoran Kunang-Kunang, Syamsul Hisham Nordin pada sidang media sempena persembahan Hujan 24 Julai ini

PENGUNDURAN vokalis Meet Uncle Hussein (MUH), Lan, daripada band indie tersebut gara-gara 'kemelut' yang melanda di antaranya dan anggota-anggota band itu sebenarnya turut meninggalkan impak buat sebuah lagu band indie popular, Hujan.

Mereka yang bersama-sama MUH memperjuangkan muzik 'underground' sejak bertahun-tahun lalu nyata cukup sedih melihat 'pergolakan' yang dilalui oleh MUH sehingga Lan nekad untuk membawa haluan sendiri.

"Hujan dan MUH sangat rapat. Kami bergerak di dalam industri 'mainstream' ini bersama-sama, malah kami juga sering buat persembahan bersama sejak di zaman 'underground' lagi.

"Sejujurnya, saya amat sedih bila mendapat tahu Lan ingin meninggalkan MUH. Tapi nak buat macam mana, mungkin itu keputusan terbaik yang difikirkannya.

"Ada juga saya perkenalkan mereka dengan vokalis Awan Band, Faris yang mungkin boleh menjadi 'back-up vocalist' kepada MUH untuk mana-mana persembahan.

"Bukannya apa, kami tidak mahu melihat MUH berkubur kerana perkara seperti itu," kata vokalis Hujan, Noh, yang ditemui pada sidang media persembahan Hujan bersempena ulangtahun ketiga Restoran Kunang-Kunang, baru-baru ini.

Lan dikatakan nekad meninggalkan MUH untuk membawa hala tuju sendiri dan keputusan itu juga diterima dengan hati terbuka oleh dua anggota MUH yang lain, Taja (gitaris) dan Afat (bass) bagi mengakhiri segala 'gelora' yang melanda band tersebut sejak berbulan-bulan dulu.

Walaupun begitu, Lan bagaimanapun telah bersetuju untuk muncul kali terakhir sebagai vokalis MUH pada pada konsert mereka semalam (5 Julai) di Hard Rock Cafe, iaitu Konsert Generasi Baru yang diadakan bersempena dengan Festival Muzik Kuala Lumpur 2009.

Menurut Noh, apa yang melanda MUH itu sedikit-sebanyak turut membuatkannya dan anggota-anggota Hujan yang lain iaitu Acer, Jaja, AG dan Dimas lebih berhati-hati agar tidak melalui nasib yang sama.

"Bila tengok benda ni berlaku pada mereka, Hujan sendiri sebenarnya jadi lebih rapat.

"Secara tidak langsung, ia jadi satu pengajaran juga kepada kami supaya apa saja masalah yang melanda kumpulan kami kelak, dapat diselesaikan antara kami dengan cara yang baik.

Album kedua tidak lagi tangkap muat

Bercerita tentang perkembangan terkini karier seni Hujan, kata Noh, ketika ini, bandnya sedang di dalam proses menyiapkan album kedua mereka yang dijangka akan dipasarkan pada penghujung bulan ini.

Ujarnya, album yang mula menjalani proses rakaman sejak Jun lalu itu akan menampilkan tujuh buah lagu ciptaan mereka dan berkemungkinan akan memasukkan sebuah lagu versi akustik.

Ketika ini, single terbaru mereka, 'Mencari Konklusi', sudah mula diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.

"Untuk album kedua ini, memang kami puas hati dari banyak aspek. Memandangkan Hujan sudah ada bajet sendiri, jadi kami dapat menghasilkan album ini dengan lebih baik 'proper'.

"Memandangkan AG juga sudah ada studio sendiri, jadi proses rakaman berjalan lebih teratur. Lagipun kami tidak kejar 'deadline', memandangkan kami sudah mula rancang tentang album baru ini sejak awal tahun lagi.

"Album pertama dulu mungkin benar nampak seperti 'tangkap muat' kerana kami kena siapkan cepat atas kehendak orang. Tetapi, kali ini kami benar-benar berpuas hati," ujar Noh.

Hujan juga bakal mempersembahkan lagu-lagu terbaru itu ketika showcase mereka sempena ulangtahun ketiga Restoran Kunang-Kunang, Gombak, pada 24 Julai ini, bermula pukul 9 malam.

"Persembahan ini jadi platform yang baik untuk kami promosikan juga album terbaru nanti. Ia akan berlangsung kira-kira sejam setengah dan kami mungkin akan menyanyikan sekitar 15 buah lagu termasuk lagu-lagu baru," tambahnya.

Ditanya tentang perjalanan seni mereka di Indonesia pula, kata Noh, penerimaan peminat muzik di sana ketika mereka ke Indonesia pada Mac lalu menunjukkan respon positif.

"Mereka tidaklah begitu 'diskriminasi' sangat di sana. Malah, muzik 'underground' di sana juga hebat. Kami bernasib baik kerana kami ke sana di atas tiket 'mainstream' dan 'underground', jadi kami boleh masuk kedua-dua 'line' tersebut.

"Malah, sewaktu mengadakan showcase di sana, sambutannya juga baik. Cuma tidak dinafikan, ada juga yang masih letak tanggapan 'stereotaip' pada kita," kata Noh.

Dalam pada itu, bagi mereka yang ingin menyaksikan showcase Hujan pada 24 Julai ini, tiket berharga RM38 boleh dibeli di kaunter Restoran Kunang-Kunang di Jalan Lingkaran Tengah 2, Gombak dan juga di Acoustic Music Station, Kompleks Pertama, Kuala Lumpur.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan