Memey: Kami semakin serius tapi belum rancang berkahwin

Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Memey ingin menguruskan kariernya selain kes khalwat yang masih lagi dalam perbicaraan sebelum memikirkan soal perkahwinan. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Memey ingin menguruskan kariernya selain kes khalwat yang masih lagi dalam perbicaraan sebelum memikirkan soal perkahwinan. - foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

SETIAP kali diajukan soalan tentang hubungan mereka, baik Norman Hakim mahupun Memey sendiri lebih senang untuk tidak mengulas lanjut.

Kedua-duanya seboleh mungkin akan cuba 'mengelak' walaupun umum sedia maklum hubungan 'mesra' yang terjalin itu bukan lagi rahsia.

Sejak tercetusnya kontroversi menjadi 'orang ketiga' dan gara-gara kes khalwat yang membabitkan kedua-dua pelakon ini sehingga mengakibatkan perceraian Norman sendiri dan aktres Abby Abadi, pelbagai khabar angin semakin bertiup kencang tentang status hubungan mereka.

Bukan sekali dua kisah mereka yang kononnya sudah merancang untuk berkahwin diperkatakan. Paling baru, Norman dan Memey dikatakan bakal berkahwin pada 6 Jun lalu.

Memey hanya tergelak besar tatkala mengimbas semula kisah kahwin '6 Jun' itu. Ujar aktres berusia 21 tahun itu, dia bagaimanapun tidak pernah ambil kisah dengan kisah-kisah seperti itu, asalkan ia tidak melampau.

Ditanya, mungkinkah mereka sudah merancang satu tarikh yang lain untuk mendirikan rumahtangga, sambil tersenyum Memey menjawab:

"Memang saya tidak nafikan, hubungan kami memang semakin serius sejak kebelakangan ini, apatah lagi ahli keluarga kami juga sudah saling mengenali. Tetapi sejujurnya, saya dan Norman memang belum merancang untuk berkahwin.

"Biarlah kami uruskan hal dan karier masing-masing dulu, termasuklah kes khalwat yang masih lagi dalam perbicaraan.

"Insya-Allah, bila semuanya selesai, barulah boleh fikir perkara yang lain pula," kata Memey yang ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Puteri Aurora Beradu di Kuang, Selangor, baru-baru ini.

Tambah pelakon kelahiran Kota Tinggi, Johor, ini, dia akui dirinya kini sudah semakin terbuka untuk bercerita tentang hubungannya dengan Norman berbanding dulu kerana faktor keadaan.

"Kami memang tidak suka bercerita tentang hubungan kami awal-awal dulu. Bukannya ape, kami tidak mahu orang meletakkan macam-macam spekulasi dengan kenyataan-kenyataan yang kami keluarkan.

"Rasanya, lebih baik macam ni...biarlah bercerita sikit-sikit saja dulu," tutur Memey, sambil enggan mengulas lanjut lagi tentang hubungannya dengan Norman.

TERTEKAN DENGAN KES KHALWAT?

Berbicara tentang karier lakonannya pula, kata Memey, dia bersyukur kerana rezekinya sebagai pelakon semakin mencurah-curah walaupun imejnya pernah tercalar gara-gara kisah 'panas' yang melandanya itu.

Terbaru, pelakon yang melonjak namanya menerusi drama-drama seperti Graduan dan Farah Syakirah ini telah membintangi sebuah drama bersiri terbaru, Puteri Aurora Beradu yang akan disiarkan di TV3 dan TV9 tidak lama lagi.

"Alhamdulillah, peluang yang diberikan semakin banyak. Malah, saya turut diberi peluang membawakan pelbagai karektor. Tetapi, sejujurnya, saya tidak mahu terlalu mengejar 'job'.

"Kebiasaannya, saya suka selesaikan satu-satu kerja dulu sebelum memulakan kerja yang lain kerana ia memerlukan komitmen yang tinggi. Saya tidak mahu terkejar-kejar pula nanti," katanya.

Namun begitu, kata Memey, dia akui, adakalanya dia pernah berasa tertekan kerana pada masa yang sama perlu memikirkan tentang kes perbicaraan khalwat yang masih belum selesai.

"Memang agak tertekan juga, tapi saya akan cuba berfikiran positif memandangkan saya pernah lalui perkara yang lebih teruk daripada ini. Tapi, saya memang berharap sangat agar kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Tapi nak buat macam mana...kes ini melibatkan perundangan, jadi kenalah ikut prosedur yang ditetapkan walaupun memakan masa juga," kata Memey.

Dalam pada itu, bercerita lanjut tentang projek lakonan terbarunya, Puteri Aurora Beradu arahan Fairuz Loy, kata Memey, drama bersiri berkisarkan ala 'Sleeping Beauty' ini menyaksikannya membawakan watak sebagai gadis yang lemah-lembut dan tidak pernah merasakan hiburan di luar bernama Puteri Aurora.

"Idea cerita ini memang berdasarkan sedikit kisah Sleeping Beauty, tetapi jalan ceritanya jauh berbeza sama sekali dan lebih moden.

"Di dalam drama tersebut, saya menjadi anak kepada Tuan Imran lakonan Eizlan Yusof dan Aishah (Rozita Che Wan), tetapi saya dijaga oleh tiga dayang sejak kecil lagi kerana bapa saya ingin menyelamatkan nyawa saya daripada kejahatan Sofia (Norish Karman).

"Pada masa yang sama, saya menyukai seorang lelaki bernama Hakimi lakonan Iqram Dinzly, tetapi masing-masing tidak meluahkan hasrat hati kerana saya dikawal ketat oleh tiga orang dayang saya.

"Kami dapat bercakap tentang perasaan masing-masing hanya ketika saya sedang berada dalam koma. Lama jugalah episod yang akan menyaksikan saya koma, tetapi ia akan diselitkan dengan kisah 'flashback'," kata Memey dalam nada ceria.

Diusik sama ada dia turut ditawarkan peluang untuk berlakon bersama Norman, akui Memey, dia memang pernah ditawarkan untuk berbuat demikian.

"Ada beberapa drama yang menawarkan kami bergandingan bersama. Tetapi, nampaknya belum berpeluang untuk berbuat demikian kerana terikat dengan urusan masing-masing.

"Insya-allah, kalau ada peluang, saya rasa kami tiada masalah. Lagipun kami sudah kenal antara satu sama lain, jadi tidaklah rasa janggal," ujarnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan