Juhara lega dapat tebus 'kesalahan' dengan Cikgu Noordin

Diterbitkan: Isnin, 6 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Juhara Ayob memegang watak 'Lembaga Suci 3' dalam teater, 'Intan yang Tercanai'. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW
Juhara Ayob memegang watak 'Lembaga Suci 3' dalam teater, 'Intan yang Tercanai'. -foto MSTAR oleh AU YEONG HOW

SEPANJANG pembabitannya dalam bidang teater selama 20 tahun, mungkin ramai tidak sedar 'Lembaga Suci III' dalam teater 'Intan yang Tercanai', Juhara Ayob sudah terlibat dalam lima teater karya Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan.

Lima teater tersebut menurut Juhara ialah Cindai, Anak Tanjung, Sirih Bertepuk Pinang Menari, Jangan Bunuh Rama-Rama atau Bukan Lalang Ditiup Angin.

Bagaimanapun katanya, dia hanya terlibat sebagai penari yang melatari pementasan teater tersebut.

"Saya memang terlibat dengan teater Cikgu tetapi tidak berpeluang untuk pegang watak sampingan atau utama sehinggalah teater 'Intan yang Tercanai'," kata Juhara yang merupakan pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sejak 2000.

Juhara, 37, mula berkecimpung dalam bidang teater pada tahun 1989. Ketika itu, dia merupakan penari kebudayaan di Kompleks Budaya Negara.

Hajat pelakon dan aktivis teater terkenal ini untuk memegang watak dalam teater Cikgu Noordin akhirnya tertunai dalam teater karya terkini cikgu, 'Intan yang Tercanai'.

Sebenarnya, Juhara boleh merealisasikan cita-citanya lebih awal jika dia tidak menolak tawaran Sasterawan Negara itu untuk pementasan teater, 'Sarah'.

Aktres Pembantu Drama Terbaik pada Anugerah Skrin 2004 ini menyimpan rasa kesal yang teramat kesal sehingga hari ini atas penolakannya itu ekoran terlibat dengan teater, 'Nyonya'.

"Apa yang mengharukan saya ialah Datuk Noordin sendiri menelefon saya untuk menawarkan peluang berlakon dalam teater, 'Sarah'. Namun, saya terpaksa menolaknya kerana terikat dengan teater 'Nyonya'.

"Ini menyebabkan saya berasa seperti 'kurang ajar'. Apabila Pengarah Teater, A. Wahab Hamzah menawarkan peluang berlakon dalam teater Cikgu Noordin, saya tidak teragak-agak menerimanya untuk menebus kesalahan saya," kata Juhara.

TEBUS 'KESALAHAN'

Untuk menebus 'kesalahannya' kepada Cikgu Noordin, Juhara bertekad memberikan persembahan terbaik melakonkan malaikat dalam teater 'Intan yang Tercanai' yang akan dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 8 hingga 12 Julai ini.

"Saya nak buktikan kepada Cikgu bahawa hati saya sememangnya beria-ia hendak terlibat dalam teater 'Sarah' tetapi saya terikat dengan teater lain.

"Saya hendak menunjukkan kesungguhan saya dengan memberikan persembahan terbaik saya untuk menebus kesalahan lampau saya," ujar Juhara dengan penuh keazaman.

Mengenai watak malaikat yang dibawanya, Juhara berkata, dia mengakui sukar untuk menjiwai watak Lembaga Suci kerana tidak ada apa-apa rujukan tentang malaikat tersebut.

Menurutnya, dia mendapat sekelumit maklumat tentang sifat-sifat malaikat dari buku yang bertajuk 'Malaikat dan sifat-sifatnya' seperti tidak berjantina serta tidak bernafsu umpama manusia.

"Mujurlah Cikgu Noordin memberikan nasihat watak Lembaga Suci perlu dilakonkan seperti manusia biasa. Lebih-lebih lagi, Cikgu berpendapat malaikat hadir dalam bentuk manusia, binatang dan sebagainya," kata Juhara.

Tambahnya, rakan-rakannya Fauziah Ahmad Daud sebagai Lembaga Suci I dan Norzizi Zulkifli (Lembaga Suci II) saling mengkritik lakonan masing-masing untuk memperbaiki lakonan kelak.

Sementara itu, Juhara menasihatkan para penonton teater 'Intan yang Tercanai' agar menyelami mesej tersirat teater itu dengan hati terbuka, optimistik dan berfikiran matang.

"Keistimewaan teater 'Intan yang Tercanai' akan dibongkarkan apabila para penonton mencari apa yang tersirat di sebaliknya," katanya.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan