Maya Karin teruja ingin bertemu Al Gore

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SATU perkara yang sudah sinonim dengan aktres jelita ini ialah perjuangannya dalam aktiviti pemuliharaan alam sekitar. Pencinta alam ini saban hari dilihat semakin aktif mengikuti kempen bagi membina kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu penting berkenaan alam semulajadi.

Meskipun jadual aktiviti seninya cukup padat, seboleh mungkin Maya Karin akan memastikan dia tetap berpeluang menyertai mana-mana aktiviti berkaitan alam sekitar.

Terbaru, aktres berusia 29 tahun ini bakal menghadiri Persidangan Asia Pasifik Projek Iklim di Melbourne, Australia pada 11 hingga 13 Julai ini, yang merupakan anjuran bersama Pertubuhan Pemeliharaan Australia dan bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore.

Akui Maya, dia amat teruja untuk menghadiri persidangan itu apatah lagi dia terpilih sebagai salah seorang daripada 300 peserta daripada 2000 pemohon yang rata-ratanya dari Australia dan wilayah Asia Pasifik.

"Saya memang seronok sangat bila dapat tahu terpilih ke persidangan ini. Bukannya mudah untuk dapat peluang seperti ini, apatah lagi dapat bertemu dengan Al Gore yang juga seorang aktivis persekitaran.

"Saya memohon untuk hadiri persidangan ini selepas saya terbabit dengan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik sekitar Mei lalu dan tidak sangka pula saya diberi peluang ini kerana mengikut kepada kriteria, mereka memang akan memilih individu yang benar-benar berminat dengan iklim dan alam sekitar," kata Maya.

Pada persidangan berbentuk forum itu nanti, ujar Maya, peserta akan dilatih tentang sains dan penyelesaian kepada isu perubahan iklim yang semakin mengancam kehidupan sejagat.

Para peserta juga akan akan dilatih oleh Al Gore sendiri dan panel antarabangsa seperti kemahiran mempengaruhi rangkaian dan komuniti masing-masing berkaitan kesedaran tentang krisis perubahan iklim.

Persidangan ini merupakan satu usaha dalam mewujudkan satu suara antarabangsa untuk Persidangan Iklim UNCCC yang dijadualkan berlangsung di Copenhagen pada bulan Disember nanti.

Ujar Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-49 ini lagi, meskipun pada awalnya dia turut terfikir tentang penularan virus Influenza A (H1N1) di Melbourne ketika ini, namun kata Maya, dia tidak mahu perkara itu menghalang hasratnya untuk menghadiri persidangan itu.

"Bagi saya, itu tidak ada masalah. Di Malaysia juga virus ini semakin menular. Apa yang penting, kita kena berhati-hati dan mengambil langkah keselamatan," tuturnya.

Sekembalinya Maya dari Melbourne kelak, kata isteri kepada Muhammad Ali Abdullah ini, dia akan cuba berkongsi ilmu dan pengalaman yang dikutip sepanjang berada di persidangan tersebut.

"Pihak penganjur sememangnya tidak mahu para peserta hanya datang dan dengar saja. Selepas habis nanti, kami digalak menyerbarkan maklumat yang kami perolehi sewaktu persidangan itu kepada masyarakat di tempat masing-masing.

"Mungkin bagi saya sendiri, apa yang boleh saya lakukan ialah dengan bercakap kepada media tentang pengalaman tersebut dan mungkin juga saya akan mengadakan acara-acara tertentu berkaitan dengan apa yang saya perolehi kelak," katanya yang ketika ini sedang di dalam proses penghasilan album terbarunya.

Album ketiganya itu akan diterbitkan oleh Audi Mok dan ketika ini, mereka sedang meneliti lirik-lirik lagu yang sesuai untuk melodi-melodi yang telah siap dihasilkan.

Sebelum ini, Maya yang juga sedang menantikan tayangan filem terbaru lakonannya bersama Fazura iaitu Pisau Cukur, pernah menghasilkan dua buah album iaitu Erti Cinta (2001) dan Bukan Qalamaya (2004).

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan