Lelongan sebelah sarung tangan Michael Jackson mampu cecah ratusan ribu ringgit

Diterbitkan: Khamis, 2 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Inilah sarung tangan MJ yang bakal dijual tidak lama lagi. -foto REUTERS
Inilah sarung tangan MJ yang bakal dijual tidak lama lagi. -foto REUTERS

MICHAEL Jackson masyhur dengan gelaran "The Gloved One (Bintang handalan yang memakai sarung tangan)".

Nama julukan tersebut diperolehi selepas Raja Pop itu memakai sarung tangan berwarna putih ketika membuat persembahan konsert "30th Anniversary Celebration, The Solo Years (Sambutan Ulangtahun 30, Tahun-Tahun Solo)" pada 7 September 2001 di Madison Square Garden, New York.

Kini, sesiapa boleh memakai salah satu sarung tangan Sut Bercahaya sekiranya mereka sanggup membelinya dengan ratusan ribuan dolar, menurut seorang pelelong, Selasa lalu.

Ketua rumah lelong 'Profiles in History', Joseph Maddalena berkata, item tersebut dihasilkan oleh pereka cipta sarung tangan, Ted Shell dan ia dipakai oleh penyanyi tersohor dalam Jackson's 1984 Victory Tour.

"Michael Jackson ialah 'The Gloved One.' Itu adalah nama julukannya. Dan nama itu adalah satu perkara mendiang akan diingati sepanjang masa," kata Maddalena.

Maddalena memberitahu, sarung tangan itu mempunyai surat ketulenan daripada Shell.

Jackson, 50, mati mengejut Khamis lalu selepas mengalami serangan sakit jantung.

Sepanjang kariernya, Jackson memakai banyak sarung tangan semasa membuat persembahan. Bagaimanapun, sarung tangan yang dijual oleh Profiles in History adalah direka khas agar sepadan dengan sut berkilauan Jackson di atas pentas.

Shell bukan sahaja mereka cipta sarung tangan tersebut, bahkan dia turut menyertai konsert Victory Tour untuk melindungi dan menyelenggaranya.

Selepas persembahan itu berakhir, Maddalena berkata, Jackson memberikan sebelah sarung tangan kepada Shell sementara menyimpan sebelah sarung tangan lagi.

Sarung tangan itu dihias dengan manik-manik begol (bugle beads), 'Austrian crystal rhinestones' dan dipasang dengan 50 lampu kecil.

Ia memperolehi elektrik menerusi bateri kecil yang dipasang pada lipatan sarung tangan itu.

Mentol-mentol kecil diwayarkan pada litar elektrik berasingan untuk membolehkannya berkelipan secara rambang. Ini bagi menambah impak visual di pentas.

"Saya menganggarkan (nilai) di sekitar $60,000 hingga $80,000, tetapi ia mampu mencecah sehingga ratusan ribuan dolar," akui Maddalena.

Malah, Maddalena menjangkakan harganya boleh melambung lagi ekoran kematian Raja Pop tersebut.

Hakikatnya, satu lelongan 21 koleksi memorablia Jackson oleh Julien membawa pulang lebih $200,000. Misalnya, satu lukisan dengan anggaran nilai $1,500 dijual sehingga $20,000, menurut Julien.

Sarung tangan Michael Jackson, "Suit of Lights (Sut Bercahaya)" ialah salah satu item Jackson yang akan dilelongkan di lelongan Profiles in History pada 1 dan 2 Oktober, 2009.

Lain-Lain barangan Jackson yang akan dilelongkan termasuk pakaian yang dipakai Jackson di atas pentas, album platinum untuk salinan ke 20 juta, "Thriller" serta satu 'fedora'.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan