FFM22: Penyertaan kategori animasi, filem pendek 'dingin'

Diterbitkan: Rabu, 1 Julai 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TINGGAL lima hari lagi sebelum penyertaan sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) ditutup untuk proses penjurian bermula. Namun, sehingga hari ini, penyertaan untuk kategori animasi, filem pendek, dokumentari dan digital dilihat masih rendah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pencalonan dan Penjurian FFM22, Nancie Foo, senario itu telah membuatkan pihak penganjur terpaksa berusaha keras untuk memastikan jumlah penyertaan kategori-kategori tersebut memberangsangkan.

"Kami sendiri tidak tahu mengapa agak 'dingin' sambutan bagi kategori-kategori itu pada tahun ini. Kami sudah pun menghubungi institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) serta pihak-pihak produksi dan stesen TV untuk menghantar penyertaan mereka.

"Mungkin juga sambutan agak kurang memandangkan pelajar-pelajar IPT sedang cuti semester.

"Tetapi, kami berharap akan dapat kerjasama yang baik apatah lagi kami sudah pun menghubungi pihak-pihak terbabit, terutamanya IPTA dan IPTS," kata Nancie yang masih belum dapat mengesahkan jumlah penyertaan bagi semua kategori itu setakat ini.

Tahun lalu, 13 filem animasi, 31 filem pendek, 42 filem dokumentari dan lima filem digital telah bertanding pada FFM21.

Tambah Nancie, bagaimanapun, dari segi penyertaan filem cereka, tahun ini menampakkan peningkatan, yang mana sehingga akhir April lalu, sebanyak 24 buah filem cereka telah mengesahkan penyertaan mereka.

Pada FFM tahun lalu, sebanyak 23 buah filem cereka telah dipertandingkan.

"Setiap tahun, kami memang tidak akan ada masalah dari segi kategori untuk filem cereka. Dan tahun ini, kita jangkakan penyertaan akan lebih banyak berbanding sebelum ini.

"Ada juga dua tiga buah filem cereka yang masih belum ditayangkan dan ingin menyertai FFM22 seperti Papadom dan Jalang," kata Nancie yang menambah, filem-filem yang telah siap dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF) bermula dari tempoh 0gos 2008 sehingga Julai 2009 layak menyertai FFM22 meskipun belum ditayangkan.

Secara keseluruhannya, FFM22 yang akan berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah bermula 5 hingga 8 Ogos depan akan mempertandingkan sebanyak 13 kategori menerusi Anugerah Perdana seperti Filem Terbaik, Pengarah Filem Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Wanita Terbaik manakala sebanyak 12 kategori pula menerusi Anugerah Cipta seperti Pelakon Pembantu Lelaki dan Wanita Terbaik, Pelakon Kanak-Kanak Terbaik serta sebuah kategori baru, Filem Komedi Terbaik.

Lima Anugerah Juri juga akan diberikan menerusi beberapa kategori seperti Anugerah Veteran Lelaki dan Wanita serta Anugerah Filem Box Office.

Antara filem yang telah mengesahkan penyertaan kali ini ialah Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam, Senario The Movie: Episode 1, Geng Pengembaraan Bermula, Talentime, Kami The Movie, Cicakman2: Planet Hitam, Jangan Tegur, Histeria, Sifu dan Tongga serta Syurga Cinta.

Proses penjurian oleh kumpulan profesional akan dibuat sebaik penyertaan ditutup 5 Julai ini sehingga 5 Ogos depan. Sebuah sidang media juga akan dibuat selepas itu untuk mengumumkan senarai finalis untuk FFM22 ini.

Mengulas mengenai persediaan menjelang FFM22, kata Nancie, buat masa ini pihak penganjur sedang membuat persiapan dengan kerjasama kerajaan Negeri Sabah di bawah kementerian-kementerian tertentu seperti Kementerian Pelancongan, kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah.

"Kali ini memang saya akui, proses penganjuran agak mencabar. Banyak aspek yang perlu kami teliti termasuklah pengisian acara dan logistik. Dan pastinya kos agak tinggi kali ini memandangkan kita akan membawa ramai delegasi dari Kuala Lumpur seperti artis, media dan karyawan seni tempatan.

"Tetapi kami berterima kasih dengan sokongan kerajaan Negeri Sabah yang akan menguruskan penginapan dan pengangkutan delegasi ke sana," kata Nancie yang juga menambah, konsep malam kemuncak yang bakal berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), pada 8 Ogos depan juga masih dibincangkan.

Difahamkan, seramai lebih kurang 500 delegasi dari Kuala Lumpur akan dibawa ke Sabah untuk memeriahkan acara berprestij itu.

Ditanya mengenai rangka promosi sempena FFM22 yang dilihat agak 'perlahan' berbanding tahun-tahun lalu, kata Nancie, ketika ini aktiviti promosi tetap dijalankan, namun bukan dengan cara yang 'agresif' kerana perlu mengikut bajet yang diperuntukkan.

"Kalau ikutkan, kami memang ingin buat secara 'grand', tetapi kami terpaksa memikirkan dari segi kos. Kami tidak dapat lakukan mana-mana aktiviti yang memerlukan kos yang tinggi.

"Tetapi baru-baru ini Finas telah mengadakan promosi di program Laman Santai di Istana Budaya anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Malah, di Sabah juga akan turut diadakan pelbagai aktiviti," ujar Nancie.

iklan

Video

Selasa, 26 September 2017 2:30 PM

“Tiada Yang Melampau Pun” – Dayana Roza

Selasa, 26 September 2017 10:30 AM

Bakat Namron Ditidakkan?

Selasa, 26 September 2017 7:16 AM

Inilah Fesyen Artis Sempena FFM29

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Kolumnis

iklan

Iklan