Konsert Generasi Baru 'show' terakhir Lan bersama MUH

Diterbitkan: Jumaat, 26 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Taja mengesahkan tentang pengunduran Lan sebagai vokalis MUH pada sidang media semalam - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Taja mengesahkan tentang pengunduran Lan sebagai vokalis MUH pada sidang media semalam - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG

KEMELUT yang melanda band indie popular Meet Uncle Hussain (MUH) yang dikatakan sering berdepan dengan masalah gara-gara sikap vokalisnya, Lan yang tidak lagi 'sebulu' dengan dua anggota MUH yang lain nampaknya bakal berakhir.

Setelah mengadakan perbincangan bersama pada Isnin lalu, Lan dikatakan nekad meninggalkan MUH untuk membawa hala tuju sendiri. Dan keputusan itu juga diterima dengan hati terbuka oleh dua anggota MUH yang lain, Taja (gitaris) dan Afat (bass) bagi mengakhiri segala 'gelora' yang melanda band tersebut sejak berbulan-bulan dulu.

Walaupun begitu, Lan bagaimanapun telah bersetuju untuk muncul kali terakhir sebagai vokalis MUH pada pada konsert mereka 5 Julai ini di Hard Rock Cafe, iaitu Konsert Generasi Baru yang diadakan bersempena dengan Festival Muzik Kuala Lumpur 2009.

Mengulas mengenai pengunduran Lan daripada band yang telah berjaya mencetuskan fenomena baru terhadap muzik indie ini, kata ketua kumpulan, Taja, dia pernah cuba untuk menyelamatkan band ini agar masih kekal bersama.

Namun, atas sebab-sebab yang dilihat tiada kesudahannya, dia dan Afat serta pengurus mereka, Kimi, akhirnya bersetuju untuk 'melepaskan' Lan seperti mana yang diinginkan olehnya.

"Saya tidak boleh nak cakap apa...ini adalah pilihan yang dia buat sendiri. Apa yang jadi masalah buat kami ialah ideologi kami yang sudah berbeza. Dalam erti kata lain, 'kepala dah tak sama'. Kadang-kadang, masalah kecil pun jadi besar.

"Saya akui agak terkilan perkara ini berlaku, tetapi pada masa yang sama saya amat lega. Lan juga telah bersetuju untuk teruskan konsert kami pada 5 Julai ini kerana kita telah ikat kontrak dengan penganjur sejak awal tahun lagi," kata Taja pada sidang media sempena konsert tersebut dan pengumuman tentang pengunduran Lan, semalam.

Pergolakan yang melanda band yang ditubuhkan sejak lapan tahun lalu ini cukup panas diperkatakan apatah lagi Lan dikatakan tidak berdisiplin dan memberi kesan kepada band tersebut. Malah, Lan juga pernah menyuarakan hasratnya untuk membubarkan MUH.

Diajukan tentang perkara itu, kata Taja, dia tidak mahu mengungkit cerita-cerita itu dan menyalahkan sesiapa dalam hal ini.

"Tentang isu disiplin itu, bukan kami yang mengeluarkan kenyataan tentangnya. Tetapi bila perkara itu berlaku secara kerap, sebab itu timbulnya isu. Apa yang boleh saya katakan, ada sebahagiannya betul dan ada yang tidak.

"Tetapi kita tidak boleh asyik menuding jari pada sesiapa bila terjadinya perkara ini kerana ia akan memburukkan lagi keadaan. Saya anggap antara MUH dan Lan sudah tiada jodoh.

"Selepas ini MUH akan mencari vokalis baru dan buat masa ini, kami memang sudah menjumpai beberapa individu yang dirasakan sesuai, tetapi belum diputuskan lagi. Kemungkinan juga kami akan mengambil dua lagi ahli baru.

"Cuma saya takut juga bila memikirkan tekanan yang akan dialami oleh vokalis baru kelak yang mungkin akan dibanding-bandingkan dengan Lan," kata Taja.

Ditanya tentang hubungan MUH dengan Lan ketika ini, apatah lagi bila vokalis itu tidak kelihatan pada sidang media tersebut, kata Taja, hubungan mereka masih baik walaupun tidak lagi berada di dalam band yang sama.

"Dia telah diberitahu tentang sidang media ini, tapi mungkin dia ada masalah tertentu. Apapun, kita tetap berkawan, cuma tidak lagi bekerja bersama," ujar Taja yang tidak kisah dengan persepsi ramai yang mungkin merasakan MUH akan hilang 'taring' selepas ketiadaan Lan nanti.

Konsert Generasi Baru tampil konsep 'MUH & Friends'

Bercerita tentang konsert Generasi Baru yang akan berlangsung tidak lama lagi, kata Taja, keistimewaan yang akan band ini tampilkan nanti ialah kemunculan beberapa penyanyi band lain yang akan turut membuat persembahan mereka selain Lan sendiri.

Salah seorang vokalis yang akan menyerikan konsert itu nanti ialah Noh dari kumpulan Hujan.

MUH dijangka akan mempersembahkan sekitar 10 buah lagu ciptaan mereka sendiri dan sedang di dalam perbincangan sama ada untuk turut menyanyikan lagu-lagu band yang banyak memberikan inspirasi kepada mereka.

Menariknya juga, konsert ini akan turut menyelitkan persembahan daripada Koir Kebangsaan.

Dalam pada itu, menurut pengurus MUH, Kimi, walaupun band ini sebenarnya sedang 'bercuti' selama enam bulan selepas Anugerah Industri Muzik ke-16 baru-baru ini dan tidak membuat sebarang persembahan sejak itu, namun, memandangkan kontrak telah dipersetujui dengan penganjur sejak awal tahun ini, mereka akhirnya bersetuju untuk mengadakan konsert tersebut.

"Selepas AIM tempoh hari, MUH telah bersetuju untuk berehat seketika bagi mengumpul material untuk album baru dan menyelesaikan masalah-masalah tertentu.

"Tetapi memandangkan kita telah bersetuju dengan penganjur mengenai konsert ini sebelum AIM lagi, jadi kami rasa ia perlu diteruskan," kata Kimi yang juga akan melangsungkan pertunangan dengan Taja malam ini.

Tiket berharga RM25 sudah mula dijual dan boleh didapati dengan melayari www.klfestival.org.my atau talian 03-27155555.

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan