Rossa: Saya masih isteri 'gantung' Yoyo

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Keayuan Rossa terserlah. - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU
Keayuan Rossa terserlah. - foto THE STAR oleh SIA HONG KIAU

"KAMI memang sudah tinggal berasingan tetapi belum bercerai," jawab Rossa mengenai dakwaan yang mengatakan dia dan suaminya telah bercerai.

Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handiyani akui walaupun telah tinggal berasingan sejak setahun lalu, namun dia 'belum tahu' sama ada akan bercerai dengan pemain drum band Padi itu atau tidak.

"Saya masih isteri 'gantung' Yoyo.

"Saya belum punya kekuatan untuk bercerai dan hanya berserah kepada yang di atas (Allah) agar memberi yang terbaik dan kekuatan kepada saya," kata Rossa sejurus selepas sidang media ‘Konsert Mini Cerita Cinta Rossa’ di ibu kota semalam.

Jelas Rossa, sebolehnya dia enggan menghebahkan tentang sebab sebenar hubungan dia dengan Yoyo atau nama sebenarnya Yoyo Prasetyo berantakan.

Malah tidak mengiyakan atau menidakkan yang puncanya adalah disebabkan ‘orang ketiga’.

“Saya rasa tak perlulah diceritakan tentang hal ini kerana ia mungkin disimpankan untuk cerita hidup saya.

“Banyak hal-hal yang tak sesuai untuk diceritakan tetapi kami akan berikan yang terbaik,” tutur penyanyi yang popular dengan lagu ‘Ayat-Ayat Cinta’ dan Terlanjur Cinta (duet dengan Pasha Ungu) ini.

Tambahnya, “Saya tak pernah bergaduh besar dengannya kerana kami masih memikirkan tentang anak.

“Saya anggap kami memang tiada jodoh dan berpisah (tinggal berasingan) secara baik.”

Rossa berkata mujurlah dia masih mempunyai ‘penggemar’ (peminat) yang membuatkan dirinya kuat untuk berhadapan dengan situasi sekarang ini.

Lalu, dia tidak mahu peminatnya terlalu mempercayai sesetengah sumber daripada media di Indonesia yang mengesahkan dirinya dengan Yoyo telah bercerai.

“Di sana (Indonesia) tidak semua cerita itu benar sebab ia hanya gosip sahaja.

“Saya hanya kuatkan semangat untuk membesarkan anak dengan baik-baik. Begitu juga dengan Yoyo. Hidup mesti diteruskan,” ujarnya yang akan berduet dengan Pasha daripada kumpulan Ungu dari Indonesia dalam konsert mini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 26 Jun ini.

Konsert mini kedua di Malaysia

Para peminat Rossa berpeluang untuk menonton persembahannya ‘Konsert mini Cerita Cinta Rossa’ itu dengan lebih dekat di KL Live @ Life Centre, Jalan Sultan Ismail, pukul 8 malam.

Dia akan menyanyikan lebih 18 buah lagu sekitar satu jam 45 minit dengan iringan band yang didatangkan khas dari Jakarta.

Menurut Rossa, konsert mini ini merupakan salah satu ‘road tour’ yang diadakan selepas dia menjayakan konsert mini di tujuh buah kota di Indonesia iaitu Jambi, Jogjakarta, Palembang, Pekanbaru, Lampung, Padang, dan Medan.

“Saya cukup teruja untuk mengadakan konsert mini ini di hadapan lebih 3,000 orang penonton dan bisa membuatkan orang gembira kerana lebih mengutamakan intimasi untuk semua yang memuat turun lagu, muzik video dan penghias skrin saya.

“Saya harap dapat berada lebih dekat lagi dengan mereka kerana ketika mengadakan persembahan di hadapan 5,000 penonton di Bandung dan Surabaya, saya hanya boleh ‘perform’ tetapi tidak boleh berbicara dengan penonton,” beritahu Rossa.

Antara lagu yang akan didendangkan oleh Rossa adalah Tegar, Pudar, Sakura, Aku Bukan Untukmu, Terlalu Cinta, Ayat-Ayat Cinta termasuk dua buah lagu duet dengan Pasha iaitu Tercipta Untukku dan Terlanjur Cinta.

“Saya akan menyampaikan lagu-lagu berkaitan cinta seperti Terlanjur Cinta yang menyentuh tentang cinta saya sama manusia dan Tuhan, cerita tentang saya dan teman-teman yang menjadi inspirasi saya.

“Saya akan bercerita tentang latar belakang lagu. Jadi, orang akan tahu kenapa ada lagu Perawan Cinta, Hatinya Yang Kau Sakiti dan banyak lagi,” katanya.

Band tempatan, Sofaz dijangka akan membuka tirai persembahan dengan dua single terbaru mereka.

Persembahan ini adalah eksklusif untuk para pelanggan Hotlink dan Maxis sahaja.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket konsert hanya perlu memuat turunkan pakej nada dering Rossa pada harga RM5 dengan menaip GET ROSSA1 dan hantar kepada 29000.

Mereka akan menerima SMS pengesahan yang mereka boleh gunakan untuk mendapat dua tiket percuma.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan