Kes tuntutan harta : Fareez minta penangguhan

Diterbitkan: Selasa, 23 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Noraniza Idris ditemani peguam belanya, Zuri Zabuddin Budiman (tengah) dan penolongnya.
Noraniza Idris ditemani peguam belanya, Zuri Zabuddin Budiman (tengah) dan penolongnya.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Syariah hari ini memutuskan kes tuntutan harta sepencarian penyanyi Noraniza Idris terhadap bekas suaminya, Mohammad Fauzi Ahmad Tajuddin atau Fareez (defendan) akan disambung perbicaraannya pada 11 dan 12 Ogos depan.

Hakim syarie Mohamad Shakir Abdul Hamid membuat keputusan tersebut setelah mempertimbangkan permohonan Fareez untuk mengkaji dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh bekas isterinya atau plaintif.

Dua dokumen tersebut ialah surat pengakuan cerai dan salinan sijil perjanjian jual-beli sebuah rumah kedai tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju, di sini.

Fareez membuat permohonan itu selepas diminta hakim untuk mengemukakan apa-apa persoalan kepada plaintif (Noraniza) dalam sesi soal jawab.

Alasan Fareez untuk menangguhkan perbicaraan hari ini kerana beliau tidak diwakili peguam dan memerlukan masa untuk menyiapkan dirinya dalam sesi soal balas dengan plaintif kelak.

Menurut Mohamad Shakir, "Demi keadilan, mahkamah memberi peluang kepada defendan (Fareez) untuk mengkaji keterangan-keterangan untuk sesi soal balas dengan plaintif (Noraniza) pada 11 dan 12 Ogos, 10.30 pagi ini."

Difahamkan tuntutan harta dibuat ke atas rumah kediaman di Seksyen 6, sebuah rumah kedai tiga tingkat di Seksyen 1, Wangsa Maju serta barangan salun dan butik yang dianggarkan bernilai RM10,000.

Noraniza yang hadir berpakaian merah jambu dan bertudung perang diwakili peguambela, Zuri Zabidin Budiman.

Terdahulu, sebelum perbicaraan bermula, Zuri meminta kebenaran hakim agar Noraniza dibenarkan memakai cermin mata gelap atas masalah kesihatan.

Mahkamah membenarkan Noraniza memakainya sepanjang prosiding berjalan.

Zuri: Apakah dokumen-dokumen yang dilampirkan?

Noraniza: Surat pengakuan cerai.

Zuri: Siapakah pihak-pihak yang terlibat?

Noraniza: Antara saya dengan defendan (Fareez).

Zuri: Apakah dokumen lain?

Noraniza: Sijil perjanjian jual-beli sebuah rumah kedai tiga tingkat.

Zuri: Adakah ia dokumen asal?

Noraniza: Tidak. Ia hanya merupakan salinan sijil.

Zuri: Di manakah salinan asalnya?

Noraniza: Tidak ada bersama saya.

Zuri: Dalam keterangan kes semalam, Puan Noraniza mengesahkan terdapat satu surat ditulis defendan berhubung penjualan kedai bertarikh pada 2006; sekitar Disember 2008 pula, rakan kongsi defendan memberitahu kedai tersebut telah pun dijual dan pada tahun ini, anak sulung puan memaklumkan kedai itu telah dijual tetapi sehingga kini puan masih belum menerima sebarang hasil jualan kedai itu. Minta jelaskan bagaimana ini boleh berlaku.

Noraniza: Ia berkisar kepada masalah pembayaran tunggakan Syarikat Gerak Budaya di bawah nama saya yang menjalankan bisnes di Taman Mini Asean, Ayer Keroh kepada kerajaan negeri Melaka. Sijil perjanjian jual-beli itu adalah untuk menunjukkan kapasiti membayar kepada kerajaan negeri Melaka. Defendan telah bersetuju rumah kedai tersebut dijual dan saya difahamkan hasil jualan rumah kedai itu akan dijual untuk melangsaikan tunggakan saya. Bagaimanapun, saya tidak dapat pasti sama ada ia telah dijual atau belum.

Sejurus selesai prosiding, Fareez terus meluru keluar dan berlari meninggalkan wartawan dan jurugambar yang sudah menunggunya di luar kamar mahkamah.

Pasangan Noraniza-Fareez bernikah pada 31 Mac 1988 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohd. Alif Haikal, 20, dan Mohd. Alfeq Haikal, 16.

Bagaimanapun mereka disahkan bercerai pada 4 Mei 2006 oleh Mahkamah Rendah Syariah di sini selepas berpuas hati dengan lafaz cerai luar mahkamah yang dibuat Fareez terhadap Noraniza pada 7 April 2006.

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan