"Malam Seribu Bintang" hiasi pertandingan akhir Bintang RTM

Diterbitkan: Khamis, 18 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Buat julung kali dalam sejarah 35 tahun pertandingan akhir Bintang RTM, ia kali ini akan diadakan dalam skala yang lebih besar pada 28 Jun ini dan lokasi yang dipilih pula ialah di Stadium Negara.

Sebelum ini ia sering diadakan di Auditorium Perdana, Angkasapuri.

"Keputusan mengubah lokasi adalah bagi membolehkan lebih ramai penonton menyaksikannya memandangkan Stadium Negara mampu memuatkan 10,000 penonton berbanding di Auditorium Perdana.

"Pemilihan ini juga kerana kedudukan Stadium Negara yang strategik di samping bagi membolehkan lebih ramai penonton merasai sendiri secara eksklusif kehangatan bahang pertandingan serta dapat mewujudkan suasana yang lebih gilang-gemilang," kata Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata tema pertandingan akhir ialah "Malam Seribu Bintang" dengan menampilkan lapan orang finalis. Mereka ialah Joanna Sue Henly Rampas (Anna) dari Kota Kinabalu, Nur Ernie Shahirah Zakri (Ernie) dari Kuala Lumpur, Nur Fatin Nabila Noor Sazley (Fatin) dari Kluang, Johor, Saidatul Aina Jamaluddin (Aina) dari Kuala Lumpur, Nur Azilla Mohd Ibrahim (Zilla) dari Kulim, Kedah, Mohd Ikbal Abdul Hatam (Ikbal) dari Lahad Datu, Sabah, Mohamad Adlizan Baharuddin (Adli) juga dari Kulim, Kedah dan Arnizam Michael (Nizam) dari Tawau, Sabah.

Ibrahim berkata antara kelainan lain yang ditampilkan kali ini ialah dengan mengadakan lintas langsung dari tempat asal para peserta bagi memperlihatkan kemeriahan suasana para peminat serta penyokong masing-masing.

Beliau berkata johan pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000, sebuah trofi dan sijil, tempat kedua sebanyak RM15,000 trofi dan sijil dan ketiga RM10,000, trofi dan sijil.

Katanya para pemenang juga akan menerima hadiah samping berupa pelbagai barangan eletrik yang ditaja oleh syarikat swasta.

Pertandingan Bintang RTM yang bermula sejak 1974 telah melahirkan ramai nama besar dalam dunia seni hiburan tanah air seperti Dahlan Zainuddin, Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Datuk Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, Ramlah Ram, Misha Omar dan Noraniza Idris. BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan