Mana Setangginya: Bila agama dijadikan kosmetik oleh ahli politik

Diterbitkan: Selasa, 16 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Azizah Mahzan membawakan watak Mira dengan berkesan. -foto The Star oleh RICKY LAI
Azizah Mahzan membawakan watak Mira dengan berkesan. -foto The Star oleh RICKY LAI

TEATER 'Mana Setangginya' agak berat untuk dirungkaikan lebih-lebih lagi karya yang akan dikritik ini adalah milik sasterawan negara terkenal, Datuk Noordin Hassan.

Pelbagai komen dititipkan daripada kaca mata empat penulis yang menonton teater ini di majlis pra-tontonnya semalam, 15 Jun di Istana Budaya. Teater ini telah mula dipentaskan mulai 13 Jun lalu sehingga 21 Jun depan, pukul 8.30 malam dengan tiket berharga RM30, RM50, RM 70 dan RM100.

Pohon setanggi ibarat pohon wangi yang dijadikan ubat untuk mengubati penyakit jiwa dikalangan manusia yang berhati kotor dan busuk namun pohon itu hanya tinggal nama sahaja lalu dipersoalkan, mana setangginya?

Begitulah sedikit intipati yang cuba disampaikan dalam teater 'Mana Setangginya' yang sedang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 21 Jun depan.

JALAN CERITA 'MANA SETANGGINYA'

Karya agung sasterawan negara ke-7, Datuk Noordin Hassan ini menceritakan tentang sebuah perkampungan nelayan di mana penduduknya menyara hidup dengan menangkap ikan dan menjual hasil pohon setanggi namun nelayan dilarang untuk menangkap ikan pada hari Sabtu, iaitu hari beribadat seperti yang tertulis dalam Kitab Taurat.

Kumpulan nelayan yang derhaka di bawah pimpinan Hawar telah berpindah ke atas bukit dan dinamakan provinsi 'Gemilang'.

Walaupun hidup mewah, mereka melanggar perintah. Kedatangan Uzza selaku orang asing telah membawa falsafah baru dalam kehidupan mereka.

Juda, iaitu anak kepada Hawar, mengahwini kekasihnya Iriam, iaitu anak kepada Ibra. Tetapi Silbi dan Subat telah menabur fitnah akan asal-usul Iriam.

Juda bermuka-muka akan kebaikannya untuk mengaburi penduduk kampung.

Lantaran itu, beliau dan ayahnya mahu kampung-kampung nelayan yang bertaburan mengiktirafkan kedudukan mereka selaku 'Raja'.

Yang ingkar akan diserang. Mereka menguasai kampung-kampung ini, dan berkehendakan segala tangkapan hendaklah dijual kepada mereka.

Paderi yang menasihatkan Hawar dan Juda telah ditangkap oleh Uzza. Ibra dan Iriam yang datang untuk membebaskan paderi telah dikenakan syarat 10 bakul ikan sebagai tebusan.

Iriam juga diserahkan kepada Uzza dengan persetujuan Juda.

Tiba-tiba turunlah ribut yang maha dahsyat serta halilintar yang membelah suasana. Belut gergasi yang dibela Uzza akhirnya memakan tuannya serta membunuh Hawar.

Akhirnya, Juda telah pun menemui 'sodom wa gamurahnya'.

Memang benar, manusia dijadikan di tahap yang tinggi, tetapi ia kembali kepada Tuhannya dalam tahap serendah-rendahnya.

Berikut adalan komen daripada 4 orang wartawan yang menonton pra-tonton 'Mana Setangginya' semalam:

SITI AZIRA ABD AZIZ

Seawalnya interpretasi teater ini dirasakan agak berat dan mendalam maksudnya namun selepas menonton teater ini ramai yang mudah untuk memahaminya.

Ceritanya mudah, ia menceritakan tentang taklukan kuasa yang bermaharajalela di muka bumi ini.

Apabila ada kuasa, semua orang akan tunduk patuh walaupun orang yang disembah itu datang dari golongan munafik.

Yang lemah dan lurus terus ditindas namun akhirnya menemui kemenangannya di sisi yang Maha Esa.

Jika diamati, apa yang dipentaskan ini boleh dikaitkan dengan fenomena yang berlaku dalam dunia sekarang walaupun isi karya ini diterjemahkan dari kitab Taurat.

Melihat dari sudut pergerakan dan lakonan, Tony Eusoff (Juda), Azizah Mahzan (Mira), Shaharuddin Tamby (Hawar), Abdul Mutalif Abu Bakar (Paderi) dan Mohd Nor Fatih Mohtar (Silbi) harus diangkat selaku pelakon terbaik apabila mereka berjaya menjiwai watak masing-masing selain lontaran vokal yang jelas didengari.

Bakat seni teater mereka diperhalusi seiring dengan 'mis-en-scene' yang mengagumkan.

Dapat dirasakan seolah-olah pentas itu 'hidup' dengan bantuan props, kostum, latar set dan mekap yang memukau.

Tambah menarik apabila beberapa orang Pari-Pari (Artistana Istana Budaya) diterbangkan dari atas sambil menari dan belut gergasi buatan yang muncul di akhir cerita.

Secara keseluruhannya, ramai yang berpuas hati dan mengucapkan tahniah kepada tenaga produksi 'Mana Setangginya' dan pihak Istana Budaya. Tahniah!

AU YEONG HOW:

Luar biasa dari awal hingga akhir. Begitulah persembahan teater 'Mana Setangginya' yang kini sedang dipentaskan.

Jalan cerita hasil karya agung Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan ini cukup bermakna.

Mesej teater ini yang memetik sepotong ayat dari al-Quran cukup jelas: "Manusia dijadikan di tahap yang tinggi tetapi kembali kepada Tuhannya dalam tahap yang serendah-rendahnya."

Apa yang menarik, mesej tersebut disampaikan menerusi dialog puitis. Otak saya bergeliga mengintepretasikan setiap lafaz kata yang sarat dengan makna.

Ini kerana kata-kata tersebut bukan sahaja membawa maksud tersurat, tetapi tersirat. Barangkali ia menjemukan sesetengah penonton tetapi tidak dalam teater ini.

Sesetengah babak lakonan tersebut diselitkan koreografi tarian dan aksi terbang menarik. Visual dan audio diadunkan sebegitu rupa sehingga lakonan benar-benar "hidup".

Antaranya, pari-pari berterbangan mencetuskan suasana alam mistik yang wujud dalam skrip naskhah Noordin.

Dalam satu babak, bunyi dentuman guruh, kilat sabung-menyabung dan diiringi gegaran tanah berkesan dalam insiden gempa bumi.

Boleh dikatakan terdapat kejutan untuk setiap siri babak cerita itu. Selain itu, satu keistimewaan teater ini ialah suntikan humor oleh para pelakon.

Ini menyebabkan para penonton tak kering gusi. Pendek kata, teater ini memainkan emosi penonton. Perasaan gembira, sedih dan sebagainya semua berbaur.

Menariknya, walaupun selepas persembahan berakhir, minda masih tertanya-tanya apakah mesej tersiratnya. Teater 'Mana Setangginya' meninggalkan semerbak harum baunya.

Ini menjelaskan kenapa keharuman 'Mana Setangginya' masih dirasai sehingga kini.

SHAHRIL ADZRIN

Pementasan yang ditunggu selama 10 tahun merupakan karya agung sasterawan negara, Dato' Noordin Hassan telah dipentaskan dengan jayanya di Istana Budaya. Di bawah arahan Zaifri Husin, teater ini dilihat telah membawa satu transformasi dalam industri teater.

Bermula dengan nyanyian dan tarian, agak sukar difahami jika kurang penghayatan.

Penggunaan metafora dan simbolik membuat kita tertanya-tanya akan mesej yang ingin disampaikan sedangkan ia mempunyai maksud yang mendalam.

Sensitiviti hanya akan dirasai oleh orang-orang tertentu sahaja. Bagi orang biasa yang suka berfikir, teater ini amat sesuai ditonton.

ZIEMAN

Sindiran tajam, subteks yang mendalam serta falsafah tersirat menjadi tunggak penceritaan teater 'Mana Setangginya'. Watak-watak yang diperkenalkan seperti Hawar, Juda, Iriam, Uzza, Sami, Paderi, Mira, Ibra, Subat dan Silbi bagai memberi gambaran tokoh-tokoh atau karektor yang pernah kita dengar dan baca dalam suasana politik Malaysia kini.

Anda dimaafkan seandainya membuat tafsiran, rumusan, perspektif tersendiri dan tercari-cari persamaan tokoh politik kontroversial di tanah air. Tokoh agama juga tidak terkecuali dari pengamatan tajam Cikgu Noordin. Siapakah yang menggunakan agama untuk kepentingan sendiri dan membuat 'fatwa' sesuka hati?

Begitu juga dengan simbol pari-pari, Megda, haiwan ganas dalam bentuk biawak dan belut raksaksa. Siapakah 'Megda', pari-pari yang pernah menjadi korban dan dieksploitasikan?

Mungkinkah belut raksaksa yang begitu seram dan menakutkan tidak ubah seperti hukuman ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) yang kemudiannya menelan Uzza (Pendatang yang raja yang paling berkuasa dan berpengaruh) tidak ubah seperti 'senjata memakan tuan'.

Dan apa jua yang terlintas di benak kita tentang watak Sami, Lord Krishna, Paderi, Mira dan Hawar mungkin ada kebenarannya tetapi 'sensitiviti' dan keseriusan yang diketengahkan dalam teater ini dikupas dengan menarik sekali.

Fahaman agama (waktu diturunkan Kitab Taurat), konflik politik, fitnah, dendam kesumat dan pembalasan akan membuat kita tertanya-tanya benarkah apa yang sedang bermain dalam fikiran kita?

Atau adakah ini secara kebetulan saja? Sebabnya isu-isu ini masih relevan meskipun dipersembahkan 10 tahun kemudian.

Bagi mereka yang tidak mempunyai fahaman politik yang jumud DIGALAKKAN menyaksikan pementasan ini. Tapi bagi mereka yang tidak mampu mengawal golak perasaan yang dibatasi emosi kacau tentang politik dan agama yang 'konservatif' atau mereka yang pernah menghampiri sifat 'MUNAFIK' mungkin akan mudah terasa dan tidak mampu menghayati naskah hebat dan teragung Cikgu Noordin ini.

"Mana Setangginya" menyentuh nilai dan kualiti agama seseorang. Kalau nama sahaja ada agama tetapi sikap dan jiwa seperti orang tidak beragama hingga halal dan haram tampak sama sahaja, pergaulan lelaki dan lelaki dihalalkan, babi juga dihalalkan, waktu ibadah juga boleh diubah-ubah......di 'Manakah Setangginya?' Carilah jawapannya dalam 'Mana Setangginya'.

iklan

Video

Jumaat, 28 November 2014 12:15 AM

Anak Doakan Nurul Wahab Dapat Bayi Kembar

Jumaat, 28 November 2014 12:00 AM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 4)

Khamis, 27 November 2014 2:11 PM

Syabu Dalam Ekzos Bernilai RM4.1 Juta Dirampas

Rabu, 26 November 2014 10:44 PM

Sejauh Mana Anda Tahu (Bahagian 3)

Kolumnis

iklan

Produk Berkaitan

Iklan