Kakak Tua: Lain diacah, lain yang jadi!

Diterbitkan: Khamis, 11 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KALAU belum cukup ilmu di dada, jangan cuba mengacau hak orang. Walau setakat mengacah-ngacah saja itu pun sudah dikira salah. Itu pesanan orang tua-tua.

Baik lelaki atau perempuan, kita jangan sesekali cuba menceroboh hak atau privasi orang lain. Kesannya akan kita tanggung sendiri satu hari nanti.

Mungkin tidak semua orang berfikiran seperti Kakak Tua. Tapi setelah melalui perjalanan yang penuh dengan onak duri, banyak pengalaman dan pesanan yang boleh dikongsi bersama terutama tentang mengawal naluri wanita yang kacau bilau.

Isteri atau wanita sememangnya 'dianugerahkan' emosi yang terlebih dan obsesi yang melampau apabila hak kepunyaan mereka seperti suami 'dicerobohi'.

Walaupun kesalahannya cuma meminjam kereta saja seperti dalam kes penyanyi/pelakon Haleeda yang diserang baru-baru ini oleh isteri pelakon yang cemburu.

Semua tindakan ini berpunca daripada dendam kesumat dan prasangka. Bila hati kita dinodai oleh hasad dan bisikan cemburu, kita tidak mungkin dapat menilai dengan cara rasional. Maka jadilah insiden-insiden memalukan seperti menyerang, tarik rambut, ludah-meludah, saman menyaman dan cemburu buta.

Ini semua bunga-bunga dan petanda penyakit jiwa yang kalau tidak dibendung akan memakan diri bila tua nanti.

Oleh sebab itu, Kakak Tua selalu titipkan pada anak-anak - jangan terlalu taksub menyayangi sesiapa pun waima ibu, ayah, anak-anak, suami, isteri, kekasih atau kawan-kawan.

Semuanya tidak kekal lama dan bersifat sementara. Perasaan sayang, romantis atau asyik masyuk hanya satu fasa dalam hidup fana ini.

Seperti halnya dalam kes Haleeda. Aib yang tertulis di wajah jelita Haleeda setelah diserang kerana 'silap faham' itu akan menjadi titik hitam dalam kariernya.

Waktu-waktu begini, Haleeda juga tentu berfikir kenapa nasibnya sedemikian. Pada pendapat Kakak Tua, baik yang diserang ataupun yang menyerang, kedua-duanya terkhilaf. Renungkanlah perbuatan kita yang tidak elok itu dan cuba ambil pedoman. Jangan pula sampai tidak boleh menerima teguran hingga orang cakap 'buruk tidak tahu akan hinanya.'

Membuat laporan polis hanya memenuhi satu tuntutan peribadi untuk menutup malu dan bukan penyelesaian.

Agaknya, kalau tersedar dan renung balik perbuatan aib dan dangkal yang telah berlaku, mungkin kita akan tertunduk malu macam burung kasawari yang membenamkan muka kecilnya kedalam pasir supaya tidak kelihatan.

Malu itu satu perhiasan wanita. Tak elok sungguh, bila keterlanjuran bertindak seperti kaum Adam, menjerit-jerit, memukul-mukul dan menyerang. Seeloknya kita kembali kepada fitrah wanita - bersifat lembut dan memaafkan. Akurlah yang lelaki itu lazimnya boleh mencintai dan berkahwin hingga empat wanita.

Maka, perebutan untuk mendapatkan kasih sayang lelaki hingga berpukul-pukul hanya akan menjatuhkan martabat wanita. Takkanlah pasal seorang lelaki, kita sanggup merendahkan harga diri kita sebagai wanita.

Teringat sepotong pepatah Inggeris, "Pride goes before a fall". Lagipun bila kita ikut rasa kita akan binasa, ikut kata hati...tanggunglah sendiri!

KAKAK TUA: Insaf setelah banyak belajar dari kesilapan...

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan