Stephen dari Hang Tuah ke Merong Mahawangsa

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Stephen di samping Jing Lu sebagai pelakon filem Merong Mahawangsa. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Stephen di samping Jing Lu sebagai pelakon filem Merong Mahawangsa. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

SEJAK di awal kemunculannya, teater Muzikal Puteri Gunung Ledang (PGL) telah mengangkat nama aktor Stephen Rahman Hughes menerusi lakonannya sebagai Hang Tuah.

Kali ini dia tampil dalam filem terbarunya, Merong Mahawangsa yang diterbitkan oleh KRU Studios.

Stephen melakonkan watak utama iaitu sebagai Merong Mahawangsa.

Lantas, Stephen menganggap tawaran itu sebagai suatu 'privilege'.

"Saya rasa seronok untuk kembali ke Malaysia. Ibu saya juga 'push' saya untuk muncul semula.

" Lagipun saya mahu dikenali lebih dari PGL," kata Stephen dalam majlis memperkenalkan barisan pelakon filem itu di Masjid Wilayah Persekutuan, semalam.

Menurut Stephen, dia perlu banyak membuat persediaan dari segi aksi dan mempelajari cara lakonan dan berbahasa Melayu dengan jurulatih lakonan, Fatimah Abu Bakar.

“Saya rasa tidak terlalu bimbang untuk melakukan babak aksi namun cabarannya apabila saya perlu belajar bercakap banyak bahasa termasuk bahasa Melayu,” tambahnya yang begitu teruja untuk berlakon dalam filem ini.

Sebelum berlakon dalam filem ini, Stephen telah berlakon dalam filem pertamanya, Los dan Faun arahan Afdlin Shauki.

Yusry mahu realitikan Merong Mahawangsa

Di sebalik tunggak utama filem yang memakan belanja puluhan juta ringgit ini, pengarah Yusry Abdul Halim bertindak selaku pengarah dengan dibantu oleh tiga orang pembantu pengarah yang bertungkus-lumus dalam menyiapkan kerja pra-produksi sejak setahun lalu.

Filem yang menggunakan 50 peratus bahasa Melayu dan selebihnya bahasa Inggeris dan Cina ini merupakan filem terbesar di bawah pengarahan Yusry yang mendapat sokongan geran 'e-content' dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

“Kerjanya terlampau seni. Banyak perkara yang saya perlu fikirkan dari segi props, kostum, latar set, pelakon dan banyak lagi.

“Saya ingin berikan sedikit realiti dalam filem ini agar ia menjadi lebih logik kerana karya ini diangkat daripada buku sastera yang dicampur dengan sedikit sejarah.

“Kita hanya mengambil karektor dan sedikit jalan cerita dalam buku Hikayat Merong Mahawangsa dengan menggunakan imaginasi dan menokok tambah cerita kami sendiri sehingga skrip diubah sebanyak 17 kali.

“Untuk rujukan lain, kami juga menggunakan internet dan filem kerana kurang bahan rujukan,” ujar Yusry mengenai filem yang skripnya ditulis oleh pendatang baru, Amir Hafizi.

Filem yang mengambil rujukan kisah sejarah Hikayat Merong Mahawangsaini menggunakan kostum seperti topi dan baju besi serta props yang diimport dari Amerika Syarikat dan China.

Ini kerana filem filem yang menggunakan latar masa kurun ke-2 itu mengisarkan tentang Empayar Rom dan Empayar China mengikut buku sejarah hikayat itu.

Menyentuh tentang para pelakon, Merong Mahawangsa menggunakan lima orang pelakon yang diimport dari luar negara sementara yang selebihnya adalah pelakon tempatan.

Mereka adalah Stephen Rahman Hughes, Jing Lu, Gavin Stenhouse, Henrik Norman, Wan Hanafi Su, Khir Rahman, Datuk Rahim Razali, Ummi Nazeera, Nell Ng, Craig Fong, Keith Chong, Jehan Miskin, Cat Farish, Deborah Henry, Ravi Sunderlingam, Kuswadinata, Mano Maniam, Cico, Vanida Imran dan Faiz Aizuddin Azmi (pemenang Drama Pendek ERA).

“Seramai tiga orang pelakon dari United Kingdom, seorang pelakon dari Sweden dan seorang lagi dari Australia.

“Kebanyakan daripada pelakon yang diimport mempunyai pengalaman berlakon dalam teater, filem cereka dan TV.

“Sementara pelakon tempatan pula, kita pilih dari kalangan mereka yang jarang ‘expose’ kerana tak nak nampak moden,” tuturnya mengenai filem yang bergenrekan epik dengan elemen komersial seperti filem ‘Pirates of Carribean’.

Menjawab sebab Stephen dipilih sebagai Merong Mahawangsa dalam filem ini, Yusry berkata: “Kami memilih Stephen kerana dalam filem ini dia mempunyai darah Alexander The Great.

“Dia juga boleh ‘fight’, menguasai bahasa Inggeris dengan baik, boleh belajar bahasa Melayu dan betul-betul mendalami karektor.”

Bercerita lanjut mengenai filem yang menggunakan banyak teknik Computer Generated Imagery (CGI) ini, ia akan menjalani pengambaran mulai hari ini dengan menggunakan 90 peratus lokasi di Terengganu seperti Setiu dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu termasuk Kuantan, Pahang.

Selain itu, filem ini akan menggunakan empat buah kapal yang diubah suai daripada bot oleh seorang pakar sejarah dalam bidang perkapalan.

Selepas terbabit dengan filem yang menggunakan khidmat lebih 100 orang krew ini, Yusry berkata dia sudah serik membuat projek besar seperti ini lagi kerana perlu menempuhi banyak kerja dan tekanan.

Kata duda berusia 36 tahun ini, ‘This film is one of last time project'.

Apa kata pelakon lain:

Jing Lu- Permaisuri Cina

"Ini merupakan kali pertama saya perlu mempelajari bahasa yang baru dan ia amat menarik bagi saya. Bagi saya, filem ini mengenai budaya, dan falsafah. Saya tidak pernah terfikir tentang watak yang fantastik asalkan filem ini mempunyai mesej yang ingin diperkatakan."

Craig Fong- Maharaja China

"Ini merupakan filem epik pertama yang mengandungi unsur romantik yang dilakonkan oleh saya. Filem ini ibarat 'east meet west' yang membuatkan saya sangat teruja. Orang Malaysia sangat mengalu-alukan pelbagai budaya.

"Saya berasa sangat dihargai dalam negara ini dan seronok untuk berlakon dalam filem ini seperti belajar seni kung fu dan terbang."

iklan

iklan

Produk Berkaitan

Iklan