Farid ceburi bidang lakonan cara kamikaze

Diterbitkan: Selasa, 9 Jun 2009 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Farid Wari tekad menjadi pelakon berjaya kelak. - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Farid Wari tekad menjadi pelakon berjaya kelak. - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG

PEPATAH Melayu "ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut mata leta" sering dirujuk sesetengah pihak sebelum mereka cuba melakukan sesuatu atau menceburi sesuatu bidang.

Tidak bagi seorang pemuda bernama Farid Wari. Pelakon muda ini menuruti panggilan kalbunya untuk menceburi bidang lakonan walaupun belum tamat pengajiannya.

Farid hanya tinggal satu semester lagi sebelum bergelar graduan Diploma Seni Layar, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Saya baru dapat tawaran pada masa yang sama. Sebab tak nak datangkan masalah kelak, maka saya telah menangguhkan semester keenam saya yang juga terakhir.

"Orang boleh mengatakan saya menceburi bidang lakonan "ala-kamikaze" tetapi minat saya berlakon adalah sangat mendalam," katanya yang ditemui di majlis doa selamat filem 4 Madu di pejabat LineClear Motion Pictures, Shah Alam, baru-baru ini.

Begitulah kuatnya azam Farid yang ingin menjadi pelapis Rosyam Noor suatu hari nanti.

Dan jika dia tidak menangguhkan semester itu, Farid sepatutnya sedang menjalani latihan praktikal di Nuansa Production House Sdn. Bhd. dengan Osman Ali dari bulan Mei hingga Julai.

Tutur pemuda ini, laluan kerjaya yang dititinya itu sebenarnya tidak jauh berbeza dengan dua aktor muda iaitu Farid Kamil dan Iqram Dinzly.

Kata Farid, mereka berdua adalah seniornya di UiTM dan mereka turut berbuat demikian (menangguhkan semester) semasa mula-mula melayari bahtera lakonan.

"Sasaran saya adalah menjadi pelakon yang serba boleh. Di Malaysia, terdapat dua jenis artis iaitu komersial dan karakter.

"Saya memilih menjadi artis karakter kerana saya ingin menyajikan lakonan yang mempunyai nilai komersial," katanya yang pernah membintangi iklan PLKN dan drama seperti Sari Maya (drama TV9), Dendam TV3, Senario (Drama Hari Raya) dan Julia Julie (2009).

Farid juga pernah berlakon dalam drama Gadis Merah Jambu dan Matahari pada tahun ini serta drama baru, Mohd. Jackson, Julai ini.

Telemovie yang pernah dilakonkan pula ialah Cinta Lima Bintang arahan Othman Ali.

Menyoroti bibit-bibit awal penglibatannya dalam dunia lakonan, Farid berkata, dia pada awalnya membabitkan diri sebagai model iklan pada tahun lalu.

"Selepas itu, baru orang panggil untuk berlakon dalam drama dan telemovie," katanya yang pernah terlibat dalam teater di Kelab Teater Kuala Lumpur sejak sekolah lagi.

Dalam filem 4 Madu arahan Prof Madya Razak Mohaideen, Farid memberitahu, dia membawa watak ah long (ceti haram). Menurutnya, dia hanya muncul dalam satu babak di awal cerita.

"Walaupun satu babak, saya perlu memberikan impak mendalam untuk menggerakkan keseluruhan cerita," tegasnya sambil menyatakan 4 Madu merupakan filem pertamanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan